Ahli Parlimen Britain, Sir David Amess maut ditikam berulang kali oleh seorang penyerang ketika dia mengadakan pertemuan dengan pengundi kawasannya di sebuah gereja pada Jumaat.
Polis berkata seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan dalam serangan di gereja Belfairs Methodist di Essex, wilayah pinggir pantai di tenggara England, selain merampas sebilah pisau.
Amess, 69, anggota parti Konservatif menjadi Ahli Parlimen sejak 1983, meninggalkan seorang balu dan lima anak.
Bagaimanapun, tidak ada perincian mengenai motif pembunuhan itu, serangan kedua terhadap anggota Parlimen Britain di kawasan mereka dalam tempoh lima tahun lalu, yang menimbulkan persoalan mengenai keselamatan ahli politik.
Polis bersenjata lengkap mengepung gereja berkenaan ketika paramedik berusaha menyelamatkannya, tetapi dia meninggal dunia di tempat kejadian, kata polis.
“Seorang lelaki berusia 25 tahun ditangkap kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan dan kini dalam tahanan. Kami telah menjumpai sebilah pisau dari tempat kejadian dan tidak mencari orang lain yang berkaitan dengan kejadian itu.”
Siasatan diketuai oleh pasukan khas antipengganas polis metropolitan, yang akan menentukan sama ada kejadian itu ada unsur pengganas atau tidak.
Ketua Polis Essex, Ben Julian Harrington berkata mereka menerima laporan berkaitan kejadian dan mendapati Amess cedera parah sebelum paramedik merawatnya, tetapi dia meninggal di tempat kejadian.
Pada 2016 lalu, Ahli Parlimen parti Buruh, Jo Cox dibunuh di luar perpustakaan di Birstall, Yorkshire. – Agensi