P: Dr saya tak mboh (tak nak) cucuk vaksin dos 2 ni.
D: Apasal?
P: Saya dengar satu audio mengatakan bahawa vaksin itu bahaya. Terutamanya vaksin baru Pfizer, kerana dia mengeluarkan duri protein yang tak dak butang tutup.
Pembentukan duri protein itu akan berkali-kali ganda tanpa henti sehingga boleh menyebabkan tersumbat di dalam badan dan akhir sekali akan timbul penyakit lain dalam diri kita serta boleh bawa maut. Ramai yang akan mati.
D: Pakar mana yang kata tu?
P: Dalam wasap dan audio tu kata dia pakar kromosom ribosom dari Sabah. Memang bidang dia bab ni. Doktor tak dak terima ke wasap tu?
D: Oh yang tu ka…saya dah terima. Dia cenggini bang, Saya bukan nak burukkan peribadi seseorang, tetapi apa yang dia cakap tu tak betul. Kat mana rujukan dia? Dia duk cari dari Google dan YouTube antivaksin barat yang juga duduk menipu berkaitan dengan isu ini.
Awal pandemik Covid-19 dalam negara dulu, kumpulan mereka juga dakwa Covid-19 itu plandemik dan agenda jahat dari perubatan moden. Habis babak tu, keluar pula isu vaksin bahaya pulak.
Kita memang tahu, sebelum dari ini mereka juga memang banyak duduk melawan arus perubatan moden dan memburukkan KKM.
P: Tu dia tuduh ‘duri protein’ dalam vaksin tu boleh bercambah berganda tanpa butang off. Lagu mana pulak?
D: Puak ni macam-macam teori mereka bawa dan imaginasi macam-macam. Menggunakan perkataan duri protein pun nampak sangat mereka ini terlalu negatif dan skeptikal. Sudah ramai pakar yang explain benda ni.
Vaksin mRNA itu selepas dicucuk, telah menjalankan tugas dalam tempoh yang sekejap sahaja antara 10 jam sehingga 72 jam. Kemudian akan dikemuh / buang oleh badan kita, dia tak kekal lama [1].
Spike protein (SP) yang terbentuk hasil translasi dari mRNA itu pun akan ada di dalam badan kita beberapa minggu sehinggalah terbentuk dengan jayanya antibodi [2].
Kemudian ia juga (SP) dikumuhkan. Kalau ikut teori mereka tu, dah lama kami ni jadi zombi. Dulu depa kata 2 bulan 99% mati selepas vaksin, lepas tu teori tak menjadi, naikkan ke 5 bulan jangka mereka. Lepas 5 bulan, elok je jutaan orang yang dah vaksin. Depa buat teori selama 2 tahun pulak. Macam-macam la.
P: Habis tu kenapa lepas cucuk lapar doktor?
D: Bab lapar selepas vaksin tu salah satu dari kesan sampingan ringan. Kami tak pernah nafikan pun terdapat kesan sampingan termasuk lapar, dahaga, sakit tempat cucuk, lenguh lengan, demam dan lain-lain.
Bahkan kajian-kajian mendapati bukan sahaja lapar tetapi dahaga dan ada yang kurang selera makan. Satu kajian dari Renuka kata 5.73% pesakit membuat aduan mereka kurang selera makan, 1.12% mengadu dahaga dan 0.87% bertambah selera makan [3].
Dengan kata lain 573 orang dari 10,000 yang disuntik vaksin tiada selera makan, 87 orang dari 10,000 orang disuntik bertambah selera makan. Selalu lapar. Tidak semua orang mempunyai kesan sama.
Hasil kajian tersebut juga mendapati kesan sampingan berkenaan adalah sementara dan tidak mendatangkan mudarat pun. Janganlah pulak duk karut buat teori akibat tindak balas mRNA yang nak masuk ke sel menggunakan tenaga itu menyebabkan kita lapar selepas vaksin.
P: Kenapa jadi lapar atau tak lalu makan tu doktor?
D: Wallahua’lam. Saya pun tak tahu mekanisma detail. Andai kata Prof Kromosom tu dah buat kajian dalam makmal dia, minta tolonglah buat penulisan berilmiah. Nyatakan metodologi kajian dan persembahkan kepada pihak berautoriti universiti atau seumpamanya.
Kemudian hantar lah ke jurnal untuk kita semua baca dan buat peer review. Kalau setakat buat andaian, ramai boleh sembang.
P: Satu lagi doktor, dalam video lain seorang ustaz kata itulah dajjal yang disebar melalui vaksin. Seluruh manusia akan lapar dan sembah dajjal.
D: Astaghfirullahalazim, betul ke dajjal masuk menyelitkan dalam vaksin? Saya tak pandai bab ni. Apa yang saya tahu dajjal tu seseorang yang akan muncul di akhir zaman. Saya yakin, sebab itulah akidah kita. Nak huraian lanjut, boleh tanya alim ulama.
Err…Nak cucuk ke tak nak ni?
P: Okay doktor, puas hati. Jom cucuk dos 2.
Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Rujukan:
[1] Nebraska Medicine. Feb 2021.
[2] Ini Sains Beb. Mekanisma Vaksin Covid-19. Jan 8, 2021.
[3] Renuka A.K. Kadali, Ravali Janagama, Sharanya Peruru, Srikrishna V. Malayala, Side effects of BNT162b2 mRNA Covid-19 vaccine: A randomized, cross-sectional study with detailed self-reported symptoms from healthcare workers, International Journal of Infectious Diseases, Volume 106, 2021, Pages 376-381,