Tindakan PH-UMNO memansuhkan pelepasan cukai bagi penyimpan SSPN akan memusnahkan usaha menggalak penabungan pendidikan demi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada hutang untuk membiayai pendidikan anak bangsa. Akibat tindakan PH-UMNO ini, anak muda akan terus bergantung kepada hutang PTPTN. Kenapa anak muda dilayan sebegini?
Pemansuhan pelepasan cukai ini menyerlahkan sikap anti-rakyat PH-UMNO dan membuktikan mereka ada dendam terhadap anak muda yang rata-rata memilih PN.
Pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan SSPN adalah insentif yang saya usahakan semasa saya menjadi Pengerusi PTPTN untuk menggalakkan rakyat menabung demi masa depan anak bangsa. Saya mahu penyelesaian jangka panjang agar anak bangsa kita tidak terbeban dengan hutang selepas graduasi. Penabungan awal adalah jawapan jangka panjang yang sebenar, sekiranya kerajaan tidak mahu memberikan pendidikan tinggi percuma.
Saya dan pegawai-pegawai kanan PTPTN naik turun Pejabat Menteri Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri berkali-kali pada 2018 dan 2019 untuk merayu kenaikan pelepasan cukai bagi simpanan SSPN dari RM6,000 ke RM8,000 sebagai penggalak penabungan lebih besar. Saya berjaya mendapatkan persetujuan kerajaan bermula Belanjawan 2019.
Hasilnya, jumlah deposit tahunan SSPN melonjak dari tahun ke tahun. Pada tahun 2017, jumlah deposit hanya RM 726.84 juta sahaja. Apabila saya mengambil alih jawatan Pengerusi PTPTN pada 2018, saya memulakan penekanan kepada penabungan.
Hasil usaha keluarga PTPTN, jumlah deposit SSPN meningkat signifikan menjadi:
- 2018: RM 1.14 bilion
- 2019: RM 1.37 bilion
- 2020: RM 1.99 bilion
- 2021: RM 3.01 bilion
(*Rujuk lampiran kenyataan PTPTN yang disertakan)
Jelas sekali apabila saya dan pegawai-pegawai PTPTN berjaya mendapatkan kenaikan pelepasan cukai menjadi RM8,000 bermula 2019, ia menjadi salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan signifikan deposit SSPN. Tetapi langkah yang mesra rakyat inilah yang mahu dihapuskan oleh PH-UMNO.
PH-UMNO pasti akan beri pelbagai alasan kenapa mereka menghapuskan pelepasan cukai untuk simpanan SSPN. Mungkin mereka akan kata bahawa pelepasan cukai memberi manfaat kepada mereka orang yang mampu menabung sahaja. Sebenarnya memanglah dalam menggalakkan penabungan, kita mensasarkan golongan yang mampu menabung. Ini kerana kita tidak mahu mereka terus berhutang, padahal mereka mampu menabung demi pendidikan anak bangsa. Maka insentif itu adalah alat yang berkesan dan kumpulan sasarnya juga adalah tepat.
Ibu bapa yang menabung dalam SSPN perlu ingat kezaliman PH-UMNO ini. Disebabkan sikap anti-rakyat PH-UMNO, ibu bapa hilang insentif untuk menabung SSPN.
Anak muda juga perlu ingat kezaliman PH-UMNO ini. Disebabkan sikap PH-UMNO yang mendendami anak muda, hutang PTPTN anak muda akan terus meningkat.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.