Yang popular dan viral di sosial media pasti jadi modal politik. Tidak kira samada ia boleh dijadikan agenda Nasional atau isu picisan yang muncul dan hilang ditelan udara yang semakin menyesakkan.
Isu harga barangan naik bukan sesuatu yang muncul 10 tahun sekali. Ia saban tahun memenuhi ruangan berita membabitkan semua sektor kehidupan daripada peladang hinggalah kepada sikap orang tengah yang menjengkelkan.
Lalu dibuat ukuran oleh para pemimpin politik mengenai prestasi kerajaan ketika itu. Kerajaan gagal! kata mereka.
Mudah sungguh andaian dibuat. Bukan berdasarkan strategi dan pelan jangka panjang untuk bantu petani atau cara mengawal manipulasi orang tengah yang bagai lintah kekenyangan.
Kerajaan pun bertindak menyediakan dana untuk membantu rakyat. Tetapi langkah one off ini tak mampu bertahan lama. Kebanyakannya berbentuk adhoc untuk mendiamkan kritik massa. Atau sekadar memenuhi tuntutan KPI yang luarnya sahaja nampak mulus tetapi dalamnya penuh dengan angka-angka yang sukar dicapai.
Prestasi 100 hari contohnya mahu membuktikan sebuah kerajaan yang berprestasi tinggi tetapi jangan sampai ia cuma sekadar impression semata- mata tetapi realitinya ke laut.
Cuba cari yang lebih real dan praktikal. Turun kepada komuniti. Ada satu kumpulan Facebook menamakan diri mereka Kebun Kita yang ambil inisiatif turun padang membantu petani memasarkan hasil tuaian pada harga yang munasabah tanpa orang tengah.
Ini cuma berlaku di Selangor. Komuniti negeri perlu babitkan diri segera.
Selagi kita menunggu kerajaan membantu selagi itu mulut kita tidak berhenti membebel. Lebih baik jadi masyarakat yang pro aktif dan progresif.
Jangan terjerat dengan sikap bodoh kumpulan yang selalu survive dengan tindakan provokatif meraih sokongan sedangkan apabila mereka diberi kuasa menjadi pembuat dasar mereka terlena dengannya.
Berhentilah dengan tindakan adhoc. Kesannya tidak kemana pun. Contohnya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pernah memperkenalkan kempen Satu Daerah Satu Gelanggang. Maka Tun Siti Hasmah, Penaung BAM merasmikan satu gelanggang badminton di Hosba dalam Parlimen Kubang Pasu. Diberi net dan raket badminton. Selepas enam bulan saya ke Hosba semula. Netnya reput raketnya entah kemana. Ia menjadi tempat rehat kambing orang kampung. Hasrat untuk hasilkan bakat baru badminton terkubur begitu sahaja.
Bagi kes BAM mungkin ia tidak membebankan kerajaan. Tetapi kalau tindakan tidak bijak ini membabitkan kerajaan tentu kosnya dipersoalkan.
Jadi agensi seperti FAMA perlu lebih dinamik memikirkan bagaimana isu kenaikan harga barangan ditangani secara kolektif.
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) perlu lebih agresif dalam menentukan slogan Pertanian itu Perniagaan itu benar- benar terlaksana. Jangan bannernya sahaja hebat, hujung jadi sampah yang menyumbat parit dan longkang.
Koperasi komuniti sepatutnya jadi penyelamat peladang dengan membantu menjadi agen pemasaran kepada pasaraya. Atau pasaraya masih taksub dengan ringgit dan sen.
Para pembuat dasar nampaknya macam masih binggung dengan apa yang berlaku sekarang. Berdasarkan jawapan mereka di media mereka macam tergapai-gapai mencari ayat2 yang sesuai.
Lalu mereka menjadi mangsa cemuhan netizen dan seluruh kerajaan dicop sebagai kerajaan gagal.
Ucapan Ismail Sabri yang diedit semula diTikTok dan viral di Whatsapp kononnya kerajaan tak peduli nasib petani patut boleh dielakkan. Tapi ia menjadi rentetan kepada kenyataan Pak Menteri yang membuka ruang kerajaan diserang sebagai gagal. Ini tidak sepatutnya berlaku.
Kalau anda sudah menjadi Wakil Rakyat, anda memang sudah miliki material pemimpin yang bijak. Bijak yang bukan direka-reka tetapi yang natural. Banyak membaca dan buat penyelidikan. Apabila anda menguasai informasi, anda akan menjadi lebih yakin ketika bercakap dengan massa bukan menjadikan isu serius sebagai bahan lawak. Rakyat tidak punya masa untuk tersengih kerana sudah lama menderita.
Kalau kita dah tahu cuaca antara penyebab hasil tanaman merosot carilah solusi mengelak daripada dengan menyusun semula jadual tanaman bukan asyik menyalahkan tengkujuh atau kemarau. Jangan lah pulak keluar kenyataan kalau takut dipukul ombak jangan berumah ditepi pantai.
Kami dah penat makan kangkung !
Fuad Abdul Rahman
Subang Jaya
1 Dis 2021
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.