Hakim Mahkamah Rayuan kata kes Najib adalah satu ‘national embarrassment’. Najib tidak puas hati dengan kenyataan itu.
Memang memalukan. Memalukan kami rakyat Malaysia. Memalukan kami orang Melayu. Orang lain kata orang Melayu memang kuat rasuah.
Apabila pemimpin Melayu membuat salah laku, orang Melayu terpalit sama.
Bangsa lain muncung mulut, dan mencemuh itulah perangai orang Melayu. Sudahlah memalukan bangsa sendiri, tanpa segan silu menuduh bangsanya malas.
Dah lah engkau orang jadi kaya kerana rasuah, kami kerja siang malam nak bagi makan anak bini makan, engkau tempelak kami tak mahu berusaha. Sebab itu engkau orang miskin.
Selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman ke atas Najib, ramai yang bertanya kenapa Najib tidak disumbat ke penjara.
Sebab dia ada lagi satu peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan. Ramai yang mendesak untuk dipercepatkan proses itu. Rakyat dah bosan.
Kepimpinan melalui teladan sudah tidak boleh dipakai lagi di zaman kerakusan mengejar wang ringgit.
Mana boleh kita ikut teladan pemimpin yang kaya hasil rasuah.
Mana boleh kita percaya kepada janji dan kata-kata pemimpin yang hidup bergelumang dengan rasuah.
Apatah lagi nasihat daripada pemimpin yang sah-sah rezekinya dari sumber yang haram.
Ada orang tanya saya apa hukum nya imam-imam dan bilal yang buat haji atas tajaan 1MDB.
Harap-harap ‘national embarrassment’ yang dimaksudksan oleh Yang Arif itu tidak sampai ke tahap Malaysia digelar sebagai ‘corrupt nation’ oleh komuniti antarabangsa. Memalukan dan terhina.
Negara akan hilang segala-galanya. Tersisih daripada mainstream dan dibuli oleh masyarakat antarabangsa.
Tak payah nak berbangga dengan memiliki bangunan kedua tertinggi di dunia kalau rasuah jadi budaya kepimpinannya.
Kemudian menunggang agama untuk membersihkan perbuatan jijiknya.
Cuba meyakinkan rakyat bahawa sebagai orang Islam percayalah bahawa saya difitnah.
Di bawah punyalah perit rakyat nak dapatkan lesenĀ penjaja. Ketika Ramadhan ada pihak yang monopoli hak berniaga sehingga menjual semula lot-lot kepada peniaga lain dengan kos berlipat ganda.
Kenapa ini boleh berlaku kalau tidak ada unsur-unsur rasuah?
Kalau ini boleh berlaku jangkitannya akan merebak bagai virus Covid-19.
Tidak terkawal. Apabila ia menjadi budaya ia lebih sukar ditangani sebab semakin ramai yang tersedut ke dalam vicious cycle nya.
Sahabat kontraktor pernah mengeluh. Rasuah semakin sukar dielak. Kalau tak bagi tak dapat projek. Kalau nak bisnes kena buat juga.
Dosa beri dan terima rasuah sama sahaja. Kalau tak kena di dunia terimalah azab di akhirat nanti. Tengok orang lain buat, macam ok je, katanya. Mungkin niatnya baik.
Seorang lagi sahabat kontrak pun selalu beri rasuah. Yang ni lebih brutal.
Apabila ditanya tak risau ke buat benda-benda macam ni.
Nak risau apa semua orang buat. Dah biasa bang. Kita dah saling memahami. Kenapa abang complaint sangat? Abang tak dapat?
Yang tak pandai sorok kena heret ke Mahkamah. Yang mahir, kaya raya. Tiap tahun tunai umrah. Siap beritahu qariah berapa dia belanja pergi Makkah.
Buat tahlil doa selamat sebelum berangkat ke tanah suci macam kenduri kahwin. Sebab dah dijemput kita pun raikan. Tetapi dalam hati bergetar rasa bersalah. Engkau ada?
Apabila pegawai kerajaan pakai barang kemas berharga hampir RM300k ke pejabat, apa yang strike your mind first? Tak sampai hati nak cakap. Kaum wanita memang suka perhiasan.
Waktu kenduri kahwin saya selalu melihat muslimat yang pakai rantai panjang semata-mata nak tunjuk loket walaupun tudungnya labuh. Kalau dah mampu biarlah, buat apa kita sibuk.
Satu lagi saya cuma tertanya-tanya. Ada pegawai kerajaan yang baru pencen duduk banglo dengan kos renovation dekat setengah juta. Bukan JUSA pun.
Kawan saya nasihat jangan buruk sangka. Mungkin harta pusaka. Hati saya bergetar lagi.
Fuad Abdul Rahman
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.