
Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang dimasukkan ke sebuah hospital di Jeddah bagi menjalani pemeriksaan kolonoskopi akan kekal dirawat dan berehat atas nasihat doktor.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), yang memetik kenyataan daripada pihak diraja berkata Raja Salman ketika ini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Pakar Raja Faisal, namun tiada sebarang butiran lanjut.
“Semoga tuhan memelihara penjaga dua masjid suci dan baginda dapat menikmati kesihatan dan kesejahteraan,” kata laporan itu.
Kerajaan Arab Saudi lazimnya berusaha untuk menutup sebarang spekulasi berkaitan kesihatan pemerintah berusia 86 tahun itu, yang memerintah negara pengeksport minyak terkemuka dan ekonomi terbesar dunia Arab sejak 2015.
Raja Salman, penjaga dua tapak suci Islam, menjadi pemerintah negara pengeksport terkemuka minyak dunia pada 2015, selepas menghabiskan lebih dua setengah tahun sebagai Raja Muda dan timbalan Perdana Menteri.
Baginda menjalani pembedahan pundi hempedu pada 2020 dan penggantian bateri dalam ‘pacemaker’ (peranti mengawal degupan jantung) pada Mac lalu.
Pada 2017, Arab Saudi membidas laporan dan spekulasi memuncak bahawa Raja Salman bercadang untuk menuruni takhta dan memilih anak lelakinya, Raja Muda Mohammed Salman, sebagai pemerintah de facto negara itu.
Di bawah pemerintahannya, Arab Saudi melancarkan reformasi ekonomi yang bercita-cita tinggi bagi era pasca-minyak dan memberikan lebih banyak hak kepada wanita.
Pada masa yang sama, negara itu turut mengamalkan dasar luas lebih tegas, yang menyaksikannya berperang dengan Yaman.