
Maricris Abad Santos Albert, 52, lebih dikenali sebagai Cris Albert, adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Fila Filipina, ditemui meninggal dunia di sebuah hotel di Singapura.
Seorang ahli perniagaan wanita Filipina terkenal ditemui meninggal dunia di Hotel The Fullerton Bay, Singapura pada awal pagi Sabtu lalu (23 April).
Maricris Abad Santos Albert, 52, lebih dikenali sebagai Cris Albert, adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Fila Filipina, telah menerajui syarikat pakaian sukan itu sejak 2007.
Ibu kepada dua anak itu juga merupakan Presiden Isport Life dan Athlete’s Gym & Dive, dan pengasas MA Holdings.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura telah dimaklumkan mengenai kejadian itu di 80 Collyer Quay kira-kira jam 1.05 pagi Sabtu lalu.
Albert ditemui terbaring tidak bergerak di tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik.
Jurucakap pihak berkuasa berkata polis sedang menyiasatnya sebagai kes kematian luar biasa.
Fila Filipina mengesahkan kematiannya dalam catatan Facebook pada Isnin (25 April).
“Keluarganya merayu kepada semua orang untuk menghormati privasi kerana mereka bersedih pada masa kehilangan yang besar ini,” tambahnya.
“Butiran tentang kematiannya akan dikongsi tidak lama lagi.”
Kenyataan itu ditandatangani oleh keluarga Abad Santos dan Albert.
Albert dilaporkan berada di Singapura bagi menghadiri satu majlis di Hotel The Fullerton Bay pada petang Jumaat lalu.
Berita kematiannya telah menjadi trend dalam kalangan masyarakat Filipina, terutama di media sosial pada hujung minggu.
Mendiang adalah seorang tokoh terkemuka dalam komuniti dan dibesarkan dalam kalangan industri fesyen.
Menurut laman web Fila Philippines, ibunya ialah Wanda Louwallien, bekas supermodel dan koreografer pertunjukan.
Halaman bio Albert di laman web mengatakan dia menyertai Fila sebagai pengurus pemasaran pada tahun 1992, selepas menamatkan pengajian dengan ijazah sarjana muda dalam pemasaran. – ST