Undang-undang anti lompat parti sebenarnya tidak perlu ada pun. Adanya undang-undang ini pun tidak menghalang seorang Ahli Parlimen untuk ‘melompat’.
Ya, ada loophole di dalam undang-undang ini. Seorang Ahli Parlimen mesti mengosongkan kerusinya jika dia keluar daripada partinya atau keahlian di dalam partinya tergugur dengan sendiri (ceased to be a member).
Ini pun bergantung kepada kuasa Speaker Dewan Rakyat. Hanya Speaker yang mempunyai kuasa untuk mengisytihar kekosongan kerusi Dewan Rakyat. Speaker pula daripada parti kerajaan. Takkanlah dia nak isytihar kerusi Ahli Parlimen yang ‘melompat’ ke dalam kolam partinya kosong dan PRK diadakan.
Sebagai contoh, 4 Ahli Parlimen BERSATU di Sabah yang bertanding menggunakan tiket GRS tidak diisytiharkan kosong kerusi mereka oleh Speaker walaupun mereka keluar parti BERSATU selepas PRU 15.
Kalau diikutkan kerusi mereka mesti diisytiharkan kosong dan PRK mesti diadakan menurut undang-undang anti-lompat parti. Tetapi kerana Speaker adalah daripada parti kerajaan yang mana 4 Ahli Parlimen ini melompat ke dalam kolamnya, maka dicari loophole untuk mewajarkan lompatan itu.
Apakah loophole itu?
Ahli-Ahli Parlimen ini dikatakan telah mendaftar menjadi ahli langsung GRS sebelum PRU-15. Jadi dengan sendirinya keahlian mereka dalam BERSATU telah tergugur sebelum mereka bertanding. Jadi mereka tidak boleh dikatakan melompat keluar BERSATU kerana ketika menang dalam PRU 15, mereka bukan lagi ahli BERSATU.
(Nota: Kes 4 Ahli Parlimen GRS ini dibawa ke mahkamah untuk judicial review)
Ini bermakna, sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh sesebuah parti untuk bertanding dalam pilihanraya, boleh secara senyap-senyap mendaftar menjadi ahli parti lain tanpa pengetahuan partinya. Jika dia menang tetapi partinya kalah dalam pilihanraya, dia boleh mendedahkan bahawa dia sebenarnya adalah ahli parti lain ketika bertanding.
Parti lain itu boleh menyertai kerajaan dan dia tidak boleh dikatakan melompat parti. Kerusinya tak perlu dikosongkan. PRK tak perlu diadakan. Malah dia boleh jadi Menteri walaupun partinya kalah dalam pilihanraya.
Ini sebenarnya suatu penipuan. Tetapi apa nak dikata. Mereka yang culas dalam politik hidup atas ilmu tipu daya.
Ini loophole pertama undang-undang anti lompat parti.
Dalam kes 4 Ahli Parlimen BERSATU yang mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri tetapi tetap setia kepada parti, ini pun satu loophole juga. Mereka ini mungkin awal-awal lagi telah melompat parti jika tidak kerana adanya undang-undang anti-lompat parti. Kerana takut kehilangan kerusi agaknya, mereka tidak berbuat demikian.
Tetapi itu tidak menghalang mereka untuk secara tersiratnya melompat parti tanpa perlu mengosongkan kerusi. Iaitu dengan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri yang bukan daripada parti mereka tanpa perlu mengisytiharkan keluar parti.
Walaupun pelik bunyinya, tetapi ini dibenarkan oleh undang-undang anti lompat parti.
Saya nak berikan satu contoh lain. Ketika proses pelantikan Perdana Menteri selepas PRU 15, 10 Ahli Parlimen BN menandatangani SD menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Ini menjadikan jumlah keseluruhan Ahli Parlimen yang menyokong beliau ketika itu ialah 115, melebihi 112 yang diperlukan untuk seorang Ahli Parlimen dilantik sebagai Perdana Menteri.
10 Ahli Parlimen BN itu tidak keluar parti. Mereka masih ahli parti masing-masing dan parti mereka pun tidak memecat mereka.
Ketika itu ramai yang mengatakan tindakan 10 Ahli Parlimen BN itu salah kerana melanggar undang-undang anti-lompat parti. Sekarang terbukti dengan pengesahan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa tindakan itu tidak bercanggah dengan undang-undang anti lompat parti.
Ini loophole dalam undang-undang anti-lompat parti. Loophole ini pula “cuts both ways”.
Datuk Dr Marzuki Mohamad,
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan.
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.