Penyiasat Amerika Syarikat (AS) percaya ada pihak di atas pesawat yang dengan sengaja menjatuhkan penerbangan China Eastern pada Mac lalu, lapor Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa (17 Mei), dalam apa yang merupakan bencana udara paling dahsyat di China dalam beberapa dekad.
Penerbangan China Eastern MU5375 dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou pada 21 Mac lalu menjunam secara tidak jelas dari ketinggian 29,000 kaki ke lereng gunung, membunuh kesemua 132 penumpang dan anak kapal.
Perakam data penerbangan atau kotak hitam yang ditemukan di tapak pesawat itu terhempas telah dihantar ke AS untuk analisis.
Data itu menunjukkan bahawa seseorang – mungkin juruterbang atau seseorang yang telah masuk secara paksa ke dalam kokpit – mengarahkan Boeing 737-800 menjunam dengan muncung terus ke bawah, menurut WSJ yang memetik sumber yang biasa dengan siasatan itu.
“Pesawat itu melakukan apa yang diarahkan oleh seseorang di kokpit,” WSJ memetik seorang yang biasa dengan penilaian awal AS sebagai berkata.
Pegawai AS percaya kesimpulan mereka disokong oleh fakta bahawa penyiasat China setakat ini tidak menunjukkan sebarang masalah dengan pesawat atau kawalan penerbangan yang boleh menyebabkan nahas dan perlu ditangani dalam penerbangan akan datang, kata akhbar itu.
Kedua-dua Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS dan Boeing enggan mengulas mengenai siasatan itu kepada AFP.
Menurut laporan daripada Boeing, penyiasat tidak menemui bukti “apa-apa yang tidak normal”, kata Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) pada April.
Dalam satu kenyataan, CAAC berkata kakitangan telah memenuhi keperluan keselamatan sebelum berlepas, pesawat itu tidak membawa barangan berbahaya dan tidak kelihatan mengalami cuaca buruk, walaupun agensi itu berkata siasatan penuh boleh mengambil masa bertahun-tahun.
Sejurus selepas kemalangan itu, Parti Komunis China yang memerintah bertindak pantas untuk mengawal maklumat, meningkatkan semula penapisannya ketika media dan penduduk tempatan berlumba-lumba ke lokasi nahas.
Ia telah mengekalkan cengkaman ketatnya terhadap naratif, dengan siasatan awal meninggalkan soalan-soalan utama yang tidak dijawab.
Selepas nahas berhampiran bandar selatan Wuzhou, pihak berkuasa segera mengepung kawasan itu dan pengawal selia internet China mengumumkan ia telah menghapuskan sejumlah besar “maklumat haram” mengenai nahas itu daripada web China yang dikawal ketat.
Hashtag media sosial yang mengandungi nombor penerbangan pesawat kelihatan ditapis.
Nahas itu adalah yang paling dahsyat di China dalam tempoh kira-kira 30 tahun dan menjejaskan rekod keselamatan penerbangannya. – Agensi