Cuaca buruk dengan keadaan hujan lebat mengakibatkan misi pencarian satu lagi kotak hitam perakam pesawat China Eastern Airlines (China Eastern) terhalang.
Misi pencarian yang sudah masuk 72 jam gagal menemui sebarang petunjuk kedudukan kotak hitam tersebut, misi tersebut tertumpu di kawasan pergunungan terpencil di Guangxi.
Pesawat itu terhempas di lembah yang dikelilingi bukit curam, dengan hujan lebat menyebabkan tanah runtuh kecil, menyukarkan lagi usaha mencari dan menyelamat (SAR).
Pegawai pemerintah kelmarin mengumumkan satu daripada dua kotak hitam pesawat Boeing 737-800 itu, iaitu perakam audio dalam penerbangan, sudah ditemui.
Pegawai pada mulanya berkata perakam itu rosak teruk hingga mereka memerlukan masa untuk mengesahkan yang mana satu antara dua perakam itu ditemui.
Ketua Pusat Siasatan Kemalangan Penerbangan Awam, Mao Yanfeng, berkata kotak hitam itu kalis kemalangan dan hampir tidak boleh musnah, sambil menambah bahawa pencarian kotak kedua masih dijalankan.
Dua kotak hitam itu boleh membantu kumpulan penyiasat mencari punca utama pesawat MU5735 itu menjunam dengan 132 orang di dalamnya Isnin lalu, ketika dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou.