Tangan yang menggegar dunia juga mungkin tangan yang bakal memudaratkan orang yang anda sayangi.
Ya, mereka boleh menipu PDRM.
Guna macam-macam cara dan alasan untuk balik kampung. Dah lama tak jumpa; raya pulak tu. Rindu ibu bapa ayam itik di kampung lah kan.
Ya, mereka boleh menipu KKM.
Mohon duduk dirumah tapi tak mengikut arahan; terutamanya yang positif covid dan kontak rapat. Yang bergelang pink pun boleh tutup-tutup. Keluar ke sana ke mari dengan jayanya.
Tapi saya pasti mereka tidak boleh menipu diri sendiri.
Sebelum mendapat gejala Covid19, seseorang sudah berhari-hari menjadi PEMBAWA. Anda dah bawa Covid19 ke sana sini.
Secara tidak sedar. Ianya bak membawa senjata tanpa sedar dan terus menembak bertubi-tubi di dalam senyap. Dan merayap-rayaplah covid tersebut.
Bila hinggap ke orang yang anda sayang, orang tua yang berpenyakit kronik – HABIS.
Sedih saya lihat ada yg bermegah-megah mereka sihat walaupun mengalami jangkitan Covid19. Memang lah anda sihat, TAPI Covid19 yang anda “pass” kepada orang lain – nasib mereka belum tentu lagi.
Nanti jadi punca kemudaratan orang lain. Lagi-lagi orang yang anda sayangi.
Di dalam wad Covid nanti, mereka ini keseorangan. Jika mereka tua, mereka berisiko tenat dan maut dengan kadar tinggi.
Kami pun tidak mampu mengusap mereka; sebab tangan kami juga berbungkus.
Kami hanya buat apa yang terdaya sahaja.
Lindungi orang-orang tua dan berpenyakit kronik.
Jauhi mereka. PLEASE.
Rayuan ikhlas dari saya, pakar oncall yang berhadapan dengan pesakit Covid19 tenat yang meningkat.
Dr Rafidah Abdullah