Gendang telah dipalu memberi isyarat kepada jentera parti-parti politik untuk masuk ke gelanggang bagi berentap merebut kuasa politik negara.
Media-media tempatan pula penuh dengan berita pemimpin politik yang menabik dada dengan megah, dengan keyakinan bahawa mereka telah sedia masuk gelanggang merebut kuasa dalam parlimen dan mendirikan Kerajaan Malaysia.
Persoalannya, adakah parti-parti yang terlibat masih mengemukakan calon yang sama atau sebahagiannya menampilkan calon muda?
Dalam pada itu, calon pilihan raya yang aktif dan ‘popular’ di media sosial mempunyai peluang tinggi untuk menambat hati pengundi, terutamanya golongan muda yang pertama kali menjalankan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ini kerana pengundi muda secara umumnya mengutamakan calon yang dianggap serta dipercayai berupaya memberi faedah secara langsung kepada golongan itu.
Selain itu, pengundi muda mengutamakan isu yang dianggap ‘sensasi’ antaranya peluang pendidikan tinggi, peluang perniagaan yang disokong dengan bantuan modal dan insentif lain serta peluang pekerjaan yang menjanjikan insentif terbaik dan segera.
Usia calon – lebih muda lebih dianggap ideal – memberi kelebihan kepada calon namun ia juga bergantung kepada beberapa sifat luaran calon muda seperti perawakan, latar belakang teknikal calon, lokaliti dan juga idealisme politik yang ditunjukkan.
Ogos lepas, Dewan Rakyat diberitahu jumlah pengundi yang berdaftar setakat Mei 2022 adalah 21,113,234 orang, dengan 1,141,749 orang atau 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 hingga 20 tahun.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac lepas menjadi medan pertama pelaksanaan Undi18 bagi golongan berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman keluar dan melalui proses mengundi bagi memilih wakil rakyat pilihan mereka.
Sementara itu, pensyarah Kanan Sejarah Politik Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Dr. Azmi Ariffin berkata, terdapat alternatif yang lebih baik dan relevan sekiranya sesebuah parti itu mengangkat calon muda pada PRU-15 nanti.
Menurutnya, calon muda bukan sahaja berjiwa muda, namun mempunyai asas yang tinggi, bebas bersuara, berdaya saing dan mempunyai idea bernas.
“Pilih (calon) berasaskan prestasi bukan daripada kekuatan sesebuah parti atau kekebalan politik. Orang muda begitu progresif, diyakini dapat menjalankan tugas sebagai Yang Berhormat (YB) dan melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh.
“Sekiranya generasi muda diangkat, politik menjadi dinamik. Jika acuan lama kekal tiada perubahan. Kepimpinan lama sudah tidak relevan lagi.
“Berilah peluang kepada orang muda untuk terajui parti politik. Mereka bersikap terbuka dan tidak berfikir dari sudut sebaliknya. Jika berdebat, mereka agak berilmiah berbanding yang lama,” katanya.
Jelasnya, rakyat seharusnya memahami kandungan yang dibawakan calon orang muda dan bukannya usia serta pengalaman yang menjadi ukuran.
“Masyarakat jika faham betul-betul, mereka sepatutnya memilih orang muda. Pilih yang terbaik dan boleh membuat kerja.
“Mentaliti rakyat sama, kanan atau kiri. Itu yang berlaku pertembungan. Paradigma politik yang tidak dapat dipecahkan sehingga hari ini. Mereka tidak berdaya untuk mencabar orang lama dan masih mahu kekal dengan yang lama.
“Cuba buat perubahan terima calon muda. Saya tidak nampak adanya satu dasar yang jelas. Bagaimana rakyat hendak mewujudkan perubahan untuk parti? Mereka cuba hendak kekalkan yang lama, tidak berani untuk mengubah lanskap sedia ada.
“Ini masalah yang timbul, kita terlalu menyokong parti politik bukan orangnya (calon). Cubalah untuk mewujudkan satu bangsa yang tidak lagi berpecah ikut ideologi,” ujarnya.
Tambah beliau, kepimpinan muda juga perlu berusaha untuk mengajak semua pemimpin pelbagai parti duduk berbincang bersama-sama secara terbuka berkenaan perkara ini.
Ditanya mengenai kesesuaian calon PRU dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau berkata, masyarakat hari ini dilihat sudah terlalu jauh berpecah, hanya segelitir sahaja yang berubah, manakala yang lain tetap terikat dengan parti.
“Jika diangkat sebagai calon bebas, waima satu nama yang hebat sekalipun, masyarakat tetap akan membuat undian berdasarkan parti. Stigma masyarakat tetap memilih calon daripada parti politik berpengaruh. Memang perlu ada perubahan terutama yang berhubung kait dengan daya pemikiran masyarakat,” ujarnya.
Berita tepat dan menyeluruh.