Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018, PKR muncul sebagai komponen terkuat Pakatan Harapan (PH) bila menang 48 kerusi Parlimen berbanding DAP (42), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 13 dan Parti Amanah Negara (Amanah) 11. Begitupun, ekoran berlakunya ‘Langkah Sheraton’ pada akhir Februari 2020, jumlah ahli Parlimen PKR ini mengecil hingga sekarang tinggal 36 kerusi sahaja dengan sebahagiannya melompat ke Bersatu.
Terkeluar daripada puncak kuasa secara tiba-tiba menjadikan para pemimpin PKR kehilangan taring walaupun ia masih mampu bertahan di dua negeri yang dikuasainya, iaitu Selangor dan Negeri Sembilan. Persoalan yang timbul sekarang, mampukah PH yang kini diketuai oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali mengancam di peringkat Pusat dalam PRU15 pada 19 November ini?
Perlu diingat, kemenangan PKR dalam PRU14 khususnya di kawasan campuran pelbagai kaum banyak dibantu oleh kehadiran undi Melayu melalui Bersatu pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin waktu itu. Kini PKR bergerak solo tanpa mengharapkan bantuan Dr. Mahathir melalui Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahupun Muhyiddin melalui Bersatu sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kemampuan PKR khususnya dan PH umumnya untuk menarik undi Melayu.
Jika dilihat kepada prestasi mutakhir PKR dan PH dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) terdekat, iaitu Melaka pada 20 November 2021, Sarawak (8 Disember 2021) dan Johor (12 Mac 2022), maka nyatalah kekuatan PKR dan PH makin menurun. Dalam PRN Melaka, keputusan menunjukkan di banyak tempat pertarungan sebenar dalam PRN itu adalah di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), bukan di antara BN dan PH, dengan PH mendapat tempat tercorot antara ketiga-ketiga mereka.
Di lebih separuh kerusi ditandingi oleh PKR, calon-calonnya mendapat tempat tercorot manakala daripada 15 kerusi milik PH dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pasca PRU14, hanya lima kerusi tinggal menjadi milik PH, DAP (4) dan Amanah (1). Lebih teruk lagi, dalam PRN Sarawak, PKR meletakkan 28 calon dengan 22 hilang deposit, di mana nasib yang hampir serupa turut berulang dalam PRN Johor bila tujuh calon PKR hilang deposit, menunjukkan tahap sokongan amat rendah sekali.
Sebab itulah pelbagai desakan dibuat daripada pelbagai golongan supaya Anwar mengambil tanggungjawab ke atasnya dan meletakkan jawatan sebagai Presiden serta memikirkan kembali hala tuju PKR untuk lebih berdaya maju dalam politik negara. Malangnya, desakan begini langsung tidak mendatangkan sebarang kesan kepada hala tuju PKR yang terus memilih Anwar sebagai Presiden dalam pemilihan parti itu pada 4 Julai lalu di samping memilih Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden.
Turut dipilih adalah Datuk Seri Amirudin Shari, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Naib-Naib Presiden serta Fadhlina Sidek sebagai Ketua Wanita dan Adam Adli Abd. Halim sebagai Ketua Angkatan Muda Keadlian (AMK).
PUTRAJAYA
Hala tuju PKR kini adalah jelas, iaitu ia akan kekal bersendirian bersama-sama DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di samping parti baharu, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta tidak akan sesekali menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain seperti Pejuang.
Paling jelas ialah pengakuan Nurul Izzah Anwar pada 14 April lalu yang meramalkan PH mungkin memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun atau dua pusingan PRU lagi untuk kembali menguasai Putrajaya. Nurul Izzah dipetik sebagai berkata, “Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.”
Tambah beliau, “Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum ini.”
Ditanya mengenai sebab beliau tidak yakin PH akan kembali berkuasa selepas PRU15, Nurul Izzah berkata, antara puncanya adalah kerana dasar dan kegagalan mereka menunaikan manifesto PRU14 selepas 22 bulan menjadi kerajaan. Walaupun PKR kini cuba menonjolkan wajah berbeza dengan mengumumkan lebih awal 72 calonnya termasuk kononnya tujuh tokoh, hakikat sebenarnya ialah PKR masih terbelenggu dengan segala permasalahan yang menjadikan ramalan Nurul Izzah benar belaka.
Ternampak kini PKR bermasalah dari sudut calonnya sehingga terpaksa mengambil dua pemimpin Amanah, iaitu Datuk Husam Musa dan Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai calon sedangkan kedua-dua pemimpin ini tidak dicalonkan pun oleh parti mereka. Begitu juga dengan pengguguran calon-calon sedia ada serta kemasukan calon-calon baharu yang dibuat seperti bermain terup sehingga menyebabkan pemimpin veteran PKR, Tian Chua menyebut, ramai orang kecewa dengan sesetengah pemilihan calon.
Ditambah pula dengan keghairahan DAP meletakkan calon-calon Melayu sehingga bertembung dengan Amanah di Kedah dan Perak yang kesemuanya menunjukkan cubaan DAP menembusi kerusi-kerusi Melayu yang menjarakkan lagi pengundi Melayu dari PH.
Atas sebab itu, tidak hairanlah jika prestasi PKR khususnya dan PH amnya dalam PRU15 akan merudum teruk, sekali gus menjadikan BN dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri, pilihan terbaik rakyat demi kestabilan dan kemakmuran negara. – UTUSAN
Dr. Suharmili Rosle ialah pemerhati politik bebas.
* Tulisan ini pertama kali disiarkan dalam laman laman portal Utusan Online (1 November 2022). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.