KENYATAAN MEDIA JAWATANKUASA KERJA PRO-TEM MEMBANTAH PENGEZONAN PADANG GOLF BUKIT JELUTONG KEPADA KAWASAN PERUMAHAN
30 September 2023 – Di sesi perbincangan Town Hall yang diadakan di Dewan Kosmos Bukit Jelutong oleh Majlis Perwakilan Penduduk Zone19, sebuah Jawatankuasa Kerja Pro-Tem bersama penduduk Bukit Jelutong (BJ) telah membantah pengezonan Padang Golf Bukit Jelutong oleh Majlis Bandaraya Shah Alam ( MBSA) yang sekaligus membenarkan pemaju Sime Darby Property Berhad untuk membina sebanyak 425 unit rumah jenis teres, semi-D dan bungalow. Carian Tanah (land search) yang dilakukan pada 16 Ogos 2023 menunjukkan status tanah padang golf Bukit Jelutong sebagai ‘Padang Golf’.
Jawatankuasa Kerja Pro-Tem yang terdiri daripada Puan Zarina Ismail-Omar Hon, En. Parnam Singh, Puan Norli Mohamad, Puan Diane Jesudasan, Cik Maisarah Alanna Firuz, dan En. Tan Kang Hoe telah membentangkan kebimbangan penduduk jika pembangunan diteruskan. Antara isu-isu yang dibangkitkan termasuklah:
- Kesesakan lalu lintas di semua jalan keluar dan masuk Bukit Jelutong dengan anggaran bertambahnya 1000 buah kereta dari 425 unit rumah yang bakal dibina. Ini merumitkan lagi keadaan lalu lintas sediada yang sudah pun sesak.
- Pemaju Sime Darby Property mencadangkan hanya satu pintu masuk dan keluar untuk pembangunan tersebut iaitu di bulatan Persiaran Gerbang Utama berhadapan Masjid Tengku Ampuan Jamaah ( MTAJ).
- Ketidaksudahan banjir kilat di Persiaran Gerbang Utama terutama di bulatan berhadapan MTAJ. Jika pembangunan diteruskan, banjir lumpur dan enapcemar ( sludge) akan merumitkan keadaan.
- Kehilangan paru-paru hijau (green lung) yang hidup di pesisiran Padang Golf Bukit Jelutong yang melestarikan kawasan perumahan Bukit Jelutong.
- Kehilangan fasiliti rekreasi dan riadah bagi penduduk Bukit Jelutong dan kawasan persekitaran. Terkini akibat keterabaian Padang Golf Bukit Jelutong telah berubah wajah kepada satu-satunya padang FootGolf 18 lubang dari sebuah Padang Golf Par-3 di Malaysia. Footgolf adalah sukan terkini yang menggabungkan dua sukan paling terkenal di dunia iaitu golf dan bola sepak.
- Padang Golf Bukit Jelutong yang terbentang seluas 69 ekar merupakan padang golf awam yang diilhamkan oleh pemaju Guthrie Berhad. Mengikut pelan utama (masterplan), sebidang tanah seluas 6.6 ekar telah diperuntukkan untuk Rumah Kelab Rekreasi dan sebuah padang bola. Sehingga kini, penduduk Bukit Jelutong belum merasai fasiliti yang diilhamkan oleh pemaju Guthrie.
Jawatankuasa Kerja ProTem juga membentangkan ketidaksempurnaan proses pengezonan yang dijalankan oleh pihak MBSA pada pertengahan tahun 2020 ketika negara dilanda pandemik Covid. Penduduk Bukit Jelutong tidak menerima sebarang pemberitahuan dari pihak MBSA tentang proses pengezonan tersebut, lantas tidak peka tentang perundingan Draft Rancangan Tempatan 2035 yang telah dijalankan secara atas talian pada waktu itu.
Turut serta di majlis sesi Townhall ialah Ahli Parlimen Shah Alam, YB Tuan Hj Azli Bin Yusuf, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato Sri Muhammad Bin Haji Muhammad Taib, Majlis Perwakilan Penduduk MPP 19, serta wakil dari MBSA, Jabatan Kerja Raya ( JKR), Jabatan Pengairan Selangor (JPS), IPD Shah Alam, pihak bomba serta pemaju Sime Darby Property Berhad dan Persatuan Penduduk Bukit Jelutong sebagai tuan rumah.
Jawatankuasa Kerja Pro-Tem bersama sokongan penduduk Bukit Jelutong telah menyerah surat kepada YB Azli untuk memohon bantuan membatalkan hasrat Sime Darby Property Berhad untuk meneruskan pembangunan itu dan mengekalkan padang golf serta kehijauannya yang matang demi kemaslahatan penduduk dan kelestarian kejiranan Bukit Jelutong.
Lebih 2,000 penduduk Bukit Jelutong telah menurunkan tandatangan petisyen membantah pengezonan kawasan padang golf dan pembangunan oleh Sime Darby Property Berhad. Petisyen atas talian masih aktif di https://bit.ly/bktjelutong-green-lung.
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.