Melayu bukan beruk

SEMALAM sempat tengok Unifi TV satu filem dalam siri filem-filem Small Axe keluaran BBC mengenai kehidupan masyarakat kulit hitam West Indies di London.

Ia menceritakan mengenai cabaran terutamanya diskriminasi dan perkauman yang terpaksa mereka lalui. Filem semalam adalah mengenai pendidikan. Diskriminasi yang berlaku dalam sistem pendidikan di United Kingdom (UK).

Dalam satu scene seorang guru West Indian bertanya kepada sekumpulan pelajar-pelajar West Indian apakah asal-usul mereka?

Pelajar-pelajar itu menjawab hamba abdi. Salah kata guru itu. Katanya itu adalah persepsi yang ditanam oleh orang putih dan ia tidak benar. Satu pembohongan.

Guru itu berkata orang kulit hitam memiliki sejarah yang gilang-gemilang seperti tamadun Nubian dan pahlawan Masai. Orang kulit putih sengaja mewujudkan stereotaip itu supaya mereka terus dapat menjajah pemikiran orang kulit hitam.

Menonton filem itu membuat saya terfikir. Orang Melayu pun berhadapan dengan pengalaman yang sama. Orang Melayu sentiasa dilabel malas, bodoh dan korup sehingga kita percaya kepada stereotaip tersebut.

Orang Melayu juga yang membantu menyebarkan propaganda itu.

Kita terlampau percaya seolah-olah sebelum kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris penduduk di kepulauan Melayu Nusantara tidak bertamadun. Walhal telah terdapat Kerajaan-kerajaan Melayu Pribumi yang hebat yang turut merangkumi Kemboja, Thailand dan Filipina.

Minda orang Melayu masih dijajah seperti orang kulit hitam sebelum muncul ‘Black Power’. Kita tidak yakin dengan diri kita sendiri. Kita tidak yakin dengan kebolehan diri kita.

Kita tidak yakin dapat memerintah negara kita tanpa bantuan orang lain. Kita tidak yakin Islam sebagai satu penyelesaian walhal sebelum penjajah datang Undang-undang Islam telah dilaksanakan. Orang Melayu bukan monyet atau beruk yang tidak ada undang-undang sebelum abad ke-18. Ingat sikit ya!

Kita mungkin tidak dirantai seperti hamba abdi tetapi pemikiran kita masih dipenjara. Masanya telah tiba untuk kita menyedari siapa kita. Masanya untuk mengenali sejarah kita.

Masanya untuk kita bangga dengan warisan kita. Masa depan kita di tangan kita. Di hari raya ini bukan kuih saja yang patut bangkit, kita pun kena bangkit.

Datuk Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)