Setelah kian lama hilang dari arena politik negara, Parti Gerakan Rakyat Malaysia kini mungkin kembali menjadi satu kuasa yang disegani.
Dengan sokongan kuat sekutunya dalam Perikatan Nasional, Pas dan Bersatu, parti ini boleh dikatakan berada pada ambang kejayaan dalam pilihanraya negeri (PRN) yang akan datang.
Memperlihatkan keyakinan yang baru, presiden parti Datuk Dr Dominic Lau juga telah mengumumkan bahawa Gerakan akan bertanding di 30 kerusi di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan.
Dengan sokongan padu Pas dan Bersatu, Gerakan mempunyai peluang yang cerah untuk bangkit semula dan menjadi satu pilihan yang serius, terutamanya untuk pengundi bukan Melayu.
Sebagai ahli Bersatu, saya rasa dengan sokongan kuat pengundi Melayu kepada PN, Gerakan hanya perlu meyakini segelintir pengundi bukan Melayu untuk membantu PN memenangi atau merampas negeri-negeri ini di PRN.
Jika PN berjaya, tentunya Gerakan akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri baru.
Walaupun ramai kini memperlekehkan kekuatan parti ini, Gerakan mampu membuat kejutan semasa PRN.
Untuk PN meraih kemenangan besar, ia memang memerlukan sokongan dari semua komuniti, termasuk undi bukan Melayu yang tertumpu di kawasan-kawasan bandar, di mana Gerakan lazimnya akan bertanding.
Disinilah Gerakan akan memainkan peranan pentingnya, iaitu memberi satu alternatif yang realistik daripada DAP atau MCA.
Meskipun Gerakan tidak memiliki sebarang kerusi di dalam Dewan Rakyat, ini tidak bermakna parti ini telah lesu dan tidak mampu bangkit kembali kepada zaman kegemilangannya, di mana ia telah memerintah Pulau Pinang dari 1969 hingga 2008.
Mengikut pengamatan saya, rasa tidak puas hati pengundi bukan Melayu terhadap kerajaan perpaduan semakin meningkat. Ramai kecewa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, walaupun terdapat puluhan kes terhadapnya.
Banyak janji-janji pilihan raya tidak ditepati seperti penghapusan tol, pengurangan harga minyak, dan pemansuhan lantikan politik dan semua ini hanya membara kemarahan rakyat terhadap pimpinan kerajaan perpaduan ini.
Di Pulau Pinang, yang sebelum ini merupakan kubu kuat Gerakan, rakyatnya sudah bosan dengan pemerintahan DAP. Isu yang paling hangat di sana sekarang ialah projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) yang bukan sahaja akan merosakkan ekosistem di negeri itu, malah akan menjejaskan kehidupan nelayan-nelayan di sana.
Lebih buruk lagi, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan DAP yang telah bertapak di negeri itu sejak 2008 masih gagal menyelesaikan masalah-masalah asas seperti kesesakan lalu lintas, dan bekalan air.
Bukan itu saja, kini rebutan kuasa juga dikatakan berlaku dalam DAP, dengan Lim Guan Eng kini dikatakan ingin kembali menerajui negeri itu.
Ketidakpuasan komuniti bukan Melayu bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi juga berlaku di negeri-negeri lain dan semua ini bakal membantu Gerakan bangkit semula semasa PRN nanti.
Perlu kita ingat bahawa Gerakan bukan sebuah parti baharu. Sebelum ini, ia merupakan antara parti komponen utama di dalam Barisan Nasional dan memiliki jentera pilihan raya yang kuat dan berpengalaman.
Ini akan memberikannya kelebihan dalam menjalankan kempen dan menyampaikan mesej kepada pengundi nanti. Tidak mustahil Gerakan akan menjadi “kuda hitam” dalam PRN nanti.
Kemenangan Gerakan semasa PRN ini amat penting buat PN kerana kepelbagaian dan inklusiviti adalah aspek penting dalam sesebuah perikatan politik dan telah menjadi asas kepada pemerintahan negara sejak Kemerdekaan lagi.
Dengan Pas dan Bersatu berpaksi kepada pengundi Melayu, Gerakan boleh menjadi rakan kongsi penting dalam penggubalan dasar di dalam masyarakat majmuk negara.
Sebagai sebuah pakatan politik, PN harus mengeratkan lagi kerjasama di antara parti-parti komponen. Baru-baru ini, pemimpin DAP dan Umno, yang sebelum ini merupakan musuh ketat, telah menyeru agar ahli masing-masing menyokong antara satu sama lain di dalam PRN nanti.
Dalam ertikata yang sama, Bersatu dan Pas juga perlu menyokong Gerakan dan berdiri teguh di belakang parti tersebut.
Kita tidak boleh menafikan kepentingan Gerakan dalam PN. Setiap ahli Bersatu dan PAS perlu memberi sokongan padu mereka terhadap Gerakan dan menjadikan parti ini sebagai sekutu yang kuat dalam PRN nanti.
Melalui kerjasama dan kolaborasi yang erat, PN dapat menunjukkan kepada rakyat bahawa ia adalah sebuah pakatan politik yang menghargai kepelbagaian dan menghormati kepentingan setiap lapisan masyarakat Malaysia.
Abdul Manaf Hanafi
Seremban
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.