Di manakah terletaknya kekuatan Kerajaan Pak Shaykh (Datuk Seri Anwar Ibrahim)? Pada (parti) kerisnya kah? Atau tenaganya kah? Kekuatan Kerajaan Pak Shaykh terletak kepada huruf ‘B’ nya, iaitu Bossku.
Kerajaan pimpinan Pak Shaykh sebenarnya bersandar kepada sokongan Bossku (Dato Sri Mohamad Najib Tun Razak). Sekiranya pendukung dan penyokong Bossku menarik sokongan, dengan kehendak Allah swt Kerajaan Pak Shaykh boleh tumbang.
Semua maklum, PH hanya memenangi 82 kerusi, iaitu jauh bilangannya untuk mencapai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan. Pak Shaykh bergantung kuat kepada sokongan BN, GPS dan GRS. Sokongan GPS dan GRS pula banyak dipengaruhi oleh kesediaan BN menyokong Kerajaan Pak Shaykh.
Sokongan BN terhadap Pak Shaykh pula dipengaruhi kuat oleh MKT dan Perwakilan UMNO. Sokongan MKT dan Perwakilan UMNO pula didominasikan oleh pengaruh Bossku.
Sebahagian besar sokongan akar umbi UMNO adalah dikuasai oleh Bossku selain daripada pengaruh Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussien.
Para pimpinan akar-umbi UMNO dan Perwakilan PAU, sanggup memansuhkan resolusi PAU mereka sebelum ini, “No Anwar” dan “No DAP”, dengan harapan Kerajaan Pak Shaykh mencari jalan untuk membebaskan Bossku.
Sekiranya Bossku terus terperosok di penjara dalam tempoh terdekat, tidak mustahil UMNO akan menarik sokongan mereka.
Sehingga hari ini saya masih berpendirian, Bossku adalah mangsa pendakwaan politik secara terpilih semasa PH memerintah selama 22 bulan. Amalan pengumpulan dana politik yang seterusnya membawa kepada amalan politik wang, bukanlah baru kepada sesebuah parti yang memerintah.
Semasa Pak Shaykh di dalam UMNO dahulu beliau sendiri sering dituduh oleh pihak lawannya, mengamalkan pengumpulan dana politik dan politik wang. Malah beliau pernah juga dituduh ‘Bapa Pink Form’ oleh lawan beliau.
Bagi mengawal dana politik dan membenteras politik wang, melakukan pendakwaan politik terpilih bukanlah jalannya, tetapi dengan memperkenalkan Akta Kawalan Dana Politik dan pendidikan politik berintegriti kepada rakyat.
Melakukan pendakwaan politik terpilih bertujuan membunuh karakter seseorang dan sesebuah parti, hanya akan menyelesaikan sekelumit barah ini, sedangkan barah ini terus merebak. Sekiranya kerajaan bertukar, maka kerajaan yang baru akan melakukan pula pembunuhan karakter terhadap lawan.
Yang menjuarai usaha untuk membunuh karakter Bossku adalah PH sendiri. Sejak tahun 2015 lagi, para pimpinan PH tidak pernah kering bibir menjadikan Bossku dan isterinya sebagai bahan persendaan.
PAS yang mengambil sikap adil terhadap Bossku ketika itu, iaitu seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, turut diserang bersungguh-sungguh oleh PH sehingga prestasi PAS terjejas dalam PRU ke-14. Apabila PH menguasai kerajaan pada tahun 2018, Bossku telah dikeronyok begitu teruk oleh PH.
Meskipun kes-kes Bossku dilihat adalah pendakwaan politik terpilih, apabila pendakwaan telah dibawa ke mahkamah, maka tiada pilihan lain untuk Bossku melainkan kena menghadapinya secara perundangan.
Setelah melalui proses perundangan, akhirnya Bossku disabitkan kesalahan bagi kes yang berkaitan dengan SRC. Ada beberapa kes Bossku yang lain sedang berjalan berkaitan dengan 1MDB dan pengubahan Laporan Audit. Ringkasnya, yang menyumbat Bossku ke tirai besi sekarang ialah PH, bukan PAS dan PN.
Sekarang PH yang menerajui kerajaan, dan kekuatan kerajaan ini begitu rapuh bersandar kepada Bossku. Mahu tidak mahu, PH perlu mencari jalan bagaimana Bossku boleh keluar dari tirai besi.
Sekiranya Bossku terus terperosok di balik tirai besi, pimpinan akar-umbi UMNO akan mendesak UMNO menarik sokongan terhadap Pak Shaykh. Sekiranya UMNO menarik sokongan kepada Pak Shaykh, GPS dan GRS juga dijangka akan turut menarik sokongan.
Jika UMNO, BN, GPS dan GRS menarik sokongan, kerajaan Pak Shaykh boleh tumbang.
Jadi di manakah terletaknya kekuatan Kerajaan Pak Shaykh, pada kerisnya kah? Atau pada tenaganya kah? Atau pada Bossku.
Dr Mohd Zuhdi Marsuki
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.