
Polis rejim pengganas Israel menutup beberapa laluan di Masjid Al-Aqsa bagi memboleh pendatang haram Yahudi menceroboh pekarangan Al-Haram Al-Shariff, hari ini. - Gambar Anadolu
Puluhan pendatang haram Yahudi dengan dikawal pasukan khas bersenjata api, menceroboh pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur awal hari ini, memarakkan lagi ketegangan beberapa jam selepas umat Islam Palestin dipukul dan diserang oleh polis rejim Zionis
Memetik saksi, agensi berita Palestin, WAFA, melaporkan polis rejim Israel pada awalnya menyerang umat Islam yang mengerjakan solat Maghrib di Masjid Al-Aqsa dan memukul mereka untuk memberi laluan kepada pendatang haram Yahudi menceroboh pekarangan Al-Aqsa.
WAFA melaporkan sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin ditangkap, termasuk penjara Masjid Al-Aqsa, Fadi Alyan, dan pekerja Majlis Wakaf Islam, pihak yang dipertanggungjawabkan oleh Jordan untuk memantau pekarangan masjid berkataan, Ali Wazouz.
Rejim Zionis itu juga meningkatkan perintah larangan di gerbang laluan ke Masjid Al-Aqsa dengan melarang umat Islam berusia di bawah 45 tahun daripada memasuki masjid.
Pekarangan Masjid Al-Aqsa yang diperbuat daripada marmar dan batu zaman dulu kala dikenali sebagai Al-Haram Al-Sharif menempatkan Masjid Al-Aqsa dan Dome of the Rock yang dibina pada abad ke tujuh.
Tindakan pada Ahad mengingatkan kembali punca meletusnya perang antara rejim pengganas Israel dan pasukan pejuang diketuai Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) pada 10 Mei lalu.
Dalam kejadian itu, pasukan keselamatan Israel (IDF) menyerang penduduk Palestin yang mengadakan demonstrasi membantah kediaman dan tanah mereka dirampas oleh rejim Zionis di penempatan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur bagi pembinaan perumahan pendatang haram Yahudi.
Polis rejim Israel dan IDF turut menyerang umat Islam yang beribadat pada hari-hari terakhir bulan Ramadan lalu, menyebabkan Hamas menerusi sayap tenteranya, Briged Izzuddin Al-Qassam, memberi kata dua.
Perang tercetus setelah rejim Zionis terus bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan di Masjid Al-Aqsa menyebabkan Al-Qassam menembak roket ke arah Israel, sebelum dibalas dengan serangan udara besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza.
Gencatan senjata kemudian dicapai antara rejim Israel dan Hamas, setelah kedua-dua pihak bertempur selama 11 hari yang menyaksikan lebih 232 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak dan 39 wanita, terbunuh manakala lebih 1,500 lagi cedera sejak 10 Mei lalu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula melaporkan sekurang-kurangnya 75,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal susulan serangan berterusan rejim pengganas Israel ke atas Semenanjung Gaza. – Agensi