Pelbagai persepsi dan dakwaan yang tidak berasas melibatkan kerjasama politik di antara KEADILAN dan UMNO.
Namun yang perlu dipertahankan, ianya hanya sekadar buah mulut dan tiada sebarang kerjasama rasmi sehingga pada saat ini.
Jika alasan terhadap semua dakwaan tersebut hanya merujuk rakaman audio yang tular sekitar sebulan yang lepas, maka ianya tidak perlu diperbesarkan lagi kerana Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menafikan tuduhan tersebut.
Kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang menolak kerjasama di antara Keadilan dan UMNO benar-benar menggambarkan beliau tidak sedar diri.
Beliau perlu sedar bahawa kerusi yang dimenanginya telah melibatkan dokongan dan sokongan daripada parti-parti di dalam koalisi Pakatan Harapan pada ketika itu dan telah menumpang logo Parti Keadilan Rakyat pada kertas undian.
Ahli Parlimen Muar itu sewajarnya fokus terhadap proses dan cabaran untuk meluluskan parti baru yang diasaskan oleh beliau.
Sekiranya pendaftaran tersebut sudah diluluskan dan menang dalam Pilihanraya Umum yang akan datang bersama koalisi dan gabungan yang dipilih, maka beliau mempunyai hak yang sepenuhnya untuk menyokong mana-mana individu.
Secara realitinya, Parti MUDA bukan sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan dan jika wujud perbincangan melibatkan kerjasama di antara Pakatan Harapan dan UMNO, mereka tidak ada sebarang hak untuk turut terlibat.
Dzulhilmi Zainol
Naib Ketua AMK Selangor
Ketua AMK Damansara