Saudara Pengarang,
Baru-baru ini, beberapa pemimpin atasan Umno telah secara terbuka menyeru agar ahli-ahli parti menyokong DAP di dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi. Sudah hampir 40 tahun saya menyertai Umno. Macam-macam saya pernah dengar dan pelbagai liku saya pernah lalui bersama parti sebagai ahli akar umbi.
Tapi bila pemimpin atasan menyeru akar umbi untuk menyokong DAP di PRN, saya seperti berkhayal dan berada di alam mimpi. Saya dan ramai akar umbi Umno masih tidak dapat menerima DAP sebagai rakan kongsi politik, lebih-lebih lagi nak pangkah roket semasa membuang undi.
Selama berdekad-dekad lamanya, kami telah diberitahu pemimpin parti dan diindoktrin bahawa DAP adalah musuh utama yang menentang hak istimewa Melayu dan merendahkan agama Islam. Yang peliknya, dalam seketika sahaja, segala kesalahan DAP telah diputihkan.
Bagi saya, ini semua strategi yang hanya menguntungkan segelintir pemimpin Umno yang ingin mempertahankan jawatan serta mengelak daripada dipenjarakan atas kesalahan-kesalahan salah guna kuasa dan rasuah sebelum ini. Saya tidak nampak bagaimana ia dapat memanfaatkan parti yang telah sejak sekian lama, berjuang demi agama, bangsa dan negara.
Terus terang, perasan curiga dan syak wasangka antara Umno dan DAP amat dalam dan tebal, walaupun Kerajaan Perpaduan sudah berusia enam bulan. Kami tidak boleh melupakan sejarah panjang persaingan dan pertentangan antara kedua-dua parti ini.
DAP masih DAP. Begitulah pendapat saya. Seekor harimau tidak akan mengubah belangnya semalaman.
Mustahil sebuah parti yang sebelum ini hanya meraih undi dengan membakar isu perkauman dan menyemai kebencian terhadap Umno dapat bertukar pendirian dalam sekelip mata, terutamanya di peringkat akar umbi.
Saya khuatir, jika calon-calon DAP memenangi lebih banyak kerusi di PRN akan datang, ia akan menjadi lebih bongkak dan menenggelamkan suara Umno dan Melayu di persada politik negara. Di peringkat kebangsaan, DAP sudah mempunyai 40 buah kerusi di Dewan Rakyat, berbanding Umno, yang hanya memiliki 26.
Lebih membimbangkan, Kerajaan Perpaduan ini mungkin tidak kekal lama. Sudah ada ura-ura menjatuhkan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui kenyataan bersumpah (statutory declaration) seperti yang dilakukan di Langkah Sheraton. Jika ini berlaku dan dan DAP dapat membolos banyak kerusi di PRN nanti kerana sokongan Umno, ada kemungkinan besar bekas musuh politik Umno akan “menelan” parti keramat kami.
Umno ditubuhkan untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam. DAP pula dilihat sebagai parti yang menentang idealisme-idealisme Umno, terutamanya slogan “Malaysian Malaysia”. Falsafah-falsafah ini adalah tidak serasi, malah bercanggah.
Jelaslah seruan untuk menyokong DAP suatu perbuatan yang bertentangan dengan asas parti kami. Mengapakah pemimpin atasan Umno ingin mengkhianati prinsip-prinsip Umno dengan memberikan sokongan kepada DAP? Adakah ini sebahagian daripada percaturan segelintir elitis Umno demi kepentingan individu?
Bagi saya, strategi terbaik untuk Umno adalah untuk tidak bekerjasama dengan DAP semasa PRN. Ini adalah satu-satunya cara untuk memastikan keselarasan dengan prinsip-prinsip asas parti kami. Sudah cukup buruk apabila kami terpaksa menjalinkan “perkahwinan paksa” dengan DAP di peringkat persekutuan. Tidak perlu meluaskan kolaborasi ini ke peringkat negeri pula.
Biar putih mata, jangan putih tulang. Prinsip perjuangan Umno mengatasi segala-galanya, termasuk kelangsungan politik pemimpin parti.
Saya dan ramai akar umbi Umno telah mengutarakan keprihatinan kami kepada pengerusi bahagian dan menulis surat kepada kepimpinan pusat parti, tetapi suara kami tidak didengar.
Akhir kata, biarpun gajah terbang, saya tidak akan sekali-kali memberikan undi saya kepada DAP. Dalam politik, kita tidak boleh mengkhianati prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang kita pegang teguh. Bagi saya dan ramai ahli akar umbi Umno, DAP masih tetap menjadi musuh politik.
Saifuddin Ayob
Alor Star, Kedah
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.