Gaya hidup mewah keterlaluan perlu disiasat basmi rasuah dan kartel

Semua pihak harus memainkan peranan masing – masing bagi membenteras rasuah dan salah guna kuasa dalam yang ada negara kita. Ini susulan pembokaran kewujudan sebuah sindiket kartel yang mengendalikan lebih 150 syarikat yang memonopoli tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion yang telah berjaya ditumpaskan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru – baru ini.

Menurut sumber, tujuh suspek termasuk seorang berusia 47 tahun yang mengetuai sindiket terbabit berjaya diberkas. Ketua sindiket kartel tersebut dikatakan mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat.

Sindiket kartel berkenaan telah beroperasi semenjak tahun 2014 yang lalu. Sindiket kartel terbabit menumpukan projek penyelenggaraan fasiliti dan projek pembangunan.

Apa yang lebih merisaukan ramai pihak adalah sindiket kartel berkenaan dipercayai mendapat kerjasama dari “orang dalam” di kementerian dan agensi terlibat.

Sindiket kartel berkenaan dikatakan akan membayar rasuah kepada “orang dalam” untuk mendapatkan maklumat berhubung dengan tender, termasuk spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan “masa yang sesuai” untuk menghantar borang tender.

Sejumlah besar syarikat di bawah sindiket kartel itu kemudian akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza – beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan untuk “mengepung harga”.

Sejumlah RM3.5 juta wang tunai turut ditemui di rumah ketua sindiket kartel tender kerajaan yang terlibat. Selain itu, kenderaan mewah bernilai RM15.7 juta serta nilai hartanah termasuk banglo, rumah kedai, pejabat bernilai RM29 juta yang disyaki berhubung kait dengan sindiket kartel terbabit turut disita.

Menurut sumber lagi, sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta dibekukan dalam siasatan kes berkenaan.

Isu yang melibat rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam negara kita tidak boleh dibiarkan berterusan berlaku kerana ia sudah pasti memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara kita.

Rakyat kita pun sudah muak mendengar isu yang melibatkan rasuah dan salah guna yang kerap kali berlaku dalam negara kita.

Sekiranya kita ingin mewujudkan sebuah negara yang benar – benar bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa semua pihak dalam negara kita perlu aktif memainkan peranan masing – masing dengan melakukan proses pemantauan serta tampil berani melaporkan sebarang kegiatan salah laku yang disyaki berkenaan kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk proses siasatan lanjut dilakukan.

Orang ramai perlu sentiasa sensitif dan peka dengan keadaan sekeliling mereka serta perlu sentiasa rajin bertanya sekiranya terdapat sebarang perkara yang mencurigakan dan tidak masuk akal yang berlaku disekeliling mereka.

Antara perkara yang boleh memberi kecurigaan pada orang ramai ialah kekayaan luar biasa atau gaya hidup mewah dan keterlaluan yang dipamerkan oleh suspek salah laku rasuah dan salah guna kuasa.

Kekayaan luar biasa atau gaya hidup mewah luar biasa atau keterlaluan yang ada pada mana – mana individu termasuk pada penjawat awam tanpa adanya sebab yang munasabah mengenai punca kekayaan dan kemewahan yang dimiliki oleh mereka selalunya akan mengundang rasa syak wasangka atau perasaan curiga kepada setiap manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras.

Setiap manusia yang waras pemikirannya akan sentiasa inginkan jawapan terhadap perkara – perkara yang dilihat mereka sebagai perkara yang pelik serta diluar kebiasaan.

Malangnya, kebanyakan rasa syak wasangka dan perasaan curiga berkenaan hanya menjadi buah mulut serta cerita gosip semasa yang tidak membawa sebarang makna tanpa ada sebarang tindakan lanjut diambil terhadapnya.

Daripada menjadi buah mulut serta gosip semasa, adalah baiknya sekiranya rasa syak wasangka dan perasaan curiga terbabit disalurkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti pihak PDRM ataupun SPRM untuk siasatan lanjut dilakukan dengan lebih teratur dan teliti mengikut peruntukan undang – undang sedia ada dalam negara kita.

Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, pihak berkuasa yang terlibat boleh mengambil sebarang tindakan undang – undang terhadap pihak yang disyaki di dalam mahkamah.

Perlu diketahui, kebanyakan kes yang melibatkan rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang melibatkan wang selalunya akan memberi kesan terhadap gaya hidup diri suspek serta ahli keluarga rapat mereka.

Sudah menjadi fitrah setiap manusia untuk berbelanja serta menikmati gaya kehidupan yang lebih selesa setelah memiliki sejumlah wang.

Kebanyakan suspek yang terlibat dalam kes rasuah serta salah guna kuasa ini juga akan mudah tergoda untuk berbelanja wang yang mereka perolehi serta gemar untuk menunjuk – nunjuk pada orang sekeliling segala kemewahan yang dimiliki oleh mereka.

Dengan wujudnya pelbagai jenis media sosial moden pada ketika ini seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan lain – lain, segala usaha untuk tunjuk – menunjuk ini akan menjadi lebih kerap dilakukan oleh suspek serta ahli keluarga rapat mereka untuk tujuan tantapan umum.

Rekod sejarah yang melibatkan proses tangkapan yang dilakukan terhadap suspek rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini banyak melibatkan hasil rampasan barangan mewah seperti rumah besar, barang kemas, jam berharga, kenderaan mewah dan lain – lain lagi yang berharga ribuan dan jutaan ringgit. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa rata – rata suspek yang terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini gemar berbelanja mewah diatas hasil kegiatan rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh mereka.

Perubahan ketara hidup seseorang ke arah gaya kehidupan yang luar biasa mewah tanpa adanya sebarang sebab yang munasabah serta yang berlaku dalam sekelip mata dan hasil rampasan segala barangan mewah yang dimiliki dari pihak suspek serta ahli keluarga mereka kelak boleh dijadikan sebahagian daripada bahan bukti di dalam mahkamah bagi menyokong pertuduhan kes yang melibatkan rasuah ataupun penyalahgunaan kuasa.

Pada masa yang sama, kita juga harus berani melakukan perubahan drastik terhadap polisi dan dasar yang ada dalam negara kita bagi membendung rasuah dan salah guna kuasa.

Sekiranya kita tidak melakukan perubahan drastik ini, kegiatan rasuah dan salah guna kuasa akan terus berulang kali berlaku dalam negara kita sekaligus mengugat kedudukan negara kita di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun – tahun akan datang.

Antara cadangan perubahan drastik yang boleh diberi pertimbangan dan perlu dilakukan adalah dengan memastikan jumlah kekayaan yang dimiliki oleh pihak yang diberi kuasa untuk melakukan proses pemberian tender dan projek kerajaan terbabit diketahui umum dan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Langkah ini telah diperkenalkan pada era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dulu dan ianya perlu diteruskan dan dimantapkan lagi. Langkah ini akan memudahkan pihak SPRM memantau setiap harta dan aset yang dimiliki oleh pihak – pihak yang terlibat dengan lebih dekat serta memudahkan sebarang tindakan segera diambil terhadap mana – mana individu yang didapati memiliki harta kekayaan luar biasa secara tiba – tiba tanpa sebab yang logik atau munasabah.

Perubahan drastik lain yang perlu diambil adalah dengan memastikan tiada kakitangan di kementerian dan agensi kerajaan bertugas di tempat yang sama untuk satu tempoh jangka masa yang lama, khususnya kakitangan yang bekerja di unit atau jabatan yang sensitif yang melibatkan pengurusan kewangan dan perolehan aset.

Proses pemindahan kakitangan dari satu tempat kerja ke tempat kerja yang lain ini perlu dilakukan bagi mengelakkan mereka bertugas ditempat kerja yang sama untuk jangka masa yang lama.

Jika kakitangan berkenaan dibiarkan bertugas terlalu lama sesebuah tempat, ia dibimbangi akan menyebabkan rasuah dan salah guna kuasa akan timbul sekaligus memberi peluang kepada kewujudan sindiket kartel.

Perubahan drastik lain yang perlu diambil adalah dengan memastikan kebebasan sepenuhnya badan penguatkuasa dan penyiasat seperti SPRM itu sendiri. SPRM perlu dipisahkan sepenuhnya daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan harus dipertanggungjawab sepenuhnya kepada pihak Parlimen dimana sebuah jawatankuasa akan dibentuk bagi memastikan segala aduan yang diterima oleh pihak SPRM disiasat dengan baik dan dan pihak SPRM dapat menjalankan segala tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih sempurna dan professional.

Pembongkaran sindiket kartel yang melibatkan tender kerajaan oleh pihak SPRM baru – baru telah mengugat integriti perkhidmatan awam dalam negara kita.

Sekiranya kita tidak melaksanakan segala langkah drastik seperti yang telah dinyatakan, sukar untuk kita memperbaiki integriti perkhidmatan awam kita yang sudah tercalar ini.

Oleh itu, kita perlu bertindak dengan cepat dan bertindak dari sekarang bagi membendung masalah rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam negara kita.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya, USIM

YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,
Ahli Parlimen, Muar