1. Pada 29 September lalu, saya telah berkesempatan menyertai satu misi bantuan banjir di Wilayah Sindh, selatan Pakistan. Kami adalah pasukan perubatan pertama dari Malaysia yang melaksanakan operasi bantuan seperti membuat pemeriksaan kesihatan serta bekalan ubat-ubatan.
2. Banjir kali ini adalah yang paling teruk dalam sejarah Pakistan, berbeza daripada yang pernah berlaku sebelum ini. Hampir 33 juta rakyat terjejas, 7.6 juta hilang tempat tinggal dan 1,700 kehilangan nyawa. Beberapa wilayah telah diisytiharkan darurat.

Misi bantuan banjir di Pakistan Foto Kredit: Syed Azwan
3. Perkampungan mereka ditenggelami air sehingga menyebabkan banyak jalan raya rosak dan terputus hubungan. Ini mengakibatkan ada kawasan yang kekurangan sumber makanan dan bermula penularan penyakit bawaan air seperti malaria, denggi, taun dan penyakit kulit.
4. Air berlumpur yang digelar banjir mati melaut sejauh mata memandang. Pengurusan operasi bantuan mereka hampir lumpuh kerana bencana ini di luar jangkaan mereka. Persediaan mereka jauh berbeza daripada apa yang diramalkan. Satu pengalaman baru yang tragis dan memberikan kesan mendalam kepada diri saya secara peribadi.
5. Di Malaysia, Jabatan Meteorologi meramalkan negara ini bakal berdepan dengan bencana banjir seperti lumrahnya apabila tiba musim monsun yang melanda negara ini saban tahun. Monsun pada kali ini dianggarkan bermula sekitar pertengahan November dan dijangkakan beberapa negeri bakal terjejas akibat banjir melibatkan hampir 10 juta rakyat.

Misi bantuan banjir di Pakistan Foto Kredit: Syed Azwan
6. Apabila parlimen dibubarkan akan berlakulah satu pilihan raya umum di seluruh negara. Di kala negara diramalkan berada di ambang bencana alam, saya cuba membayangkan keadaannya sekiranya ianya dilakukan semasa negara sedang bergelut dengan banjir.
7. Kejadian banjir di Lembah Klang pada Disember 2021, di kawasan pusat segala kemajuan di negara ini telah mengakibatkan puluhan ribu mangsa terjejas dan lebih daripada 30 kematian. Beberapa negeri lain juga turut terlibat. Seluruh agensi kerajaan dengan dibantu oleh syarikat swasta, NGO serta rakyat berganding bahu menghadapi bencana alam ini dan proses pemulihannya memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Misi bantuan banjir di Pakistan Foto Kredit: Syed Azwan
8. Mungkin sehingga kini ada mangsa yang masih trauma, kerana kehilangan ahli keluarga dan tak kurang juga harta benda.
9. Jadi, rasional apakah yang menjadi justifikasi parlimen dibubarkan dan seterusnya pilihan raya wajib diadakan dalam masa terdekat ini?
10. Saya tak berminat mengulas daripada perspektif politik. Sebagai seorang yang menimba ilmu dalam bidang perubatan, saya hanya mampu memberi pandangan dari sudut pandang nilai kemanusiaan. Di manakah letaknya kewarasan kita?
11. Bersediakah Malaysia untuk menghadapi PRU 15 dalam keadaan banjir?
Wallahualam.
*Dr Alan Raman, seorang doktor bertauliah yang banyak terlibat dalam program bantuan kemanusiaan dan merupakan pembaca Agenda Daily. Beliau baharu pulang daripada misi kemanusiaan di Pakistan baru-baru ini yang dilanda banjir besar.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.