Saya mengenali Tan Sri Abdul Hamid Bador semasa beliau bertugas sebagai Pengarah Cawangan Khas PDRM dan saya sebagai Menteri Pengangkutan.
Sekitar tahun 2018, pejabat beliau menghubungi bodyguard saya yang merupakan anggota PDRM yang ditugaskan untuk melindungi menteri untuk berjumpa dengan saya.
Kami berjumpa di sebuah kedai mamak di KL Sentral pada awal pagi. Tujuan beliau nak berjumpa dengan saya ialah untuk mendapatkan kerjasama saya sebagai Menteri Pengangkutan untuk membantu mengetatkan pintu keluar masuk di Lapangan Terbang Subang khasnya untuk terminal private jet.
Saya memberikan kerjasama dan mengarahkan pihak MAHB untuk memastikan semua pintu masuk termasuk untuk kenderaan VIP yang menghantar terus ke private jet diperketatkan dan mesti melalui semua pemeriksaan pihak berkuasa.
Selepas perjumpaan tersebut, ada banyak lagi pertemuan saya dengan Tan Sri termasuklah kunjungan hormat ke pejabat beliau dan program-program rasmi kerajaan. Selaku Ketua Polis Negara, beliau juga amat menyokong kerja saya di Kementerian Pengangkutan khususnya berkenaan agenda keselamatan jalanraya.
Saya amat kagum dengan ketegasan dan keberanian beliau sebagai seorang pegawai tinggi polis.
Persaraan beliau sebagai Ketua Polis Negara pada detik ini merupakan satu kehilangan besar untuk negara.
Kelantangan beliau untuk menyuarakan segala masalah dan isu yang membelenggu pasukan PDRM dalam sidang media finale sebagai IGP adalah sesuatu yang ‘unprecedented’.
Dalam pengetahuan saya, tidak pernah seorang IGP yang bersara mengkritik tindak-tanduk Menteri Dalam Negeri dengan begitu tajam dan terbuka, lebih-lebih lagi menuduh Menteri campur tangan dalam urusan pentadbiran PDRM.
Tuduhan ini bukan dari calang-calang orangnya. Ini dari orang nombor satu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia. Sudah tentu ini membawa weightage yang sangat tinggi dan tidak boleh disapu di bawah karpet begitu sahaja.
Demi mengembalikan kewibawaan dan kredibiliti PDRM, penubuhan Suruhanjaya Diraja Penyiasatan (Royal Commission of Inquiry) untuk menyiasat segala pendedahan oleh Tan Sri Abdul Hamid Bador adalah langkah yang wajib dilaksanakan oleh kerajaan.
Selamat bersara dan TABIK kepada Tan Sri Abdul Hamid Bador!
Jasamu kepada negara akan sentiasa dikenang
Loke Siew Fook
Ahli Parlimen (MP) Seremban