Assalamualaikum saya selaku Bendahari Biro Antarabangsa Armada Nasional berpendapat bahawa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad gagal memanfaatkan kedudukan sebagai Ketua Armada Nasional untuk membawa Armada ke satu tahap yang memuaskan apatah lagi membanggakan.
Selepas beberapa siri kekalahan Bersatu dalam PRK dan PRN kita boleh melihat sejauh mana tahap pencapaian hasil gerak kerja politik beliau sebagai Ketua Armada Nasional adalah sangat mengecewakan dengan kemerosotan penyokong parti dalam kalangan anak muda .
Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya menggunakan momentum dan peluang beliau apabila menang pada pemilihan parti yang lepas untuk terus memperkasakan parti tanpa berlengah lagi.
Ketika itu parti berada dalam keadaan dimana ahli-ahli masih lagi bersemangat dengan slogan ‘Nafas Baru’ yang beliau bawa ketika pemilihan dan berharap ianya tidak sekadar slogan retorik dan yakin beliau mampu untuk membawa ‘nafas baru’ kepada Armada dan juga parti Bersatu secara keseluruhan .
Namun jelas ,terbukti dan nyata beliau telah gagal untuk membawa ‘nafas baru’ sebaliknya ‘nafas hapak’ pula yang dibawa apabila Armada tidak lagi diminati golongan muda, termasuk juga mahasiswa yang semakin menjauh daripada parti Bersatu yang satu ketika dahulu 55% daripada keahlian adalah terdiri daripada golongan muda dan mahasiswa .
Kelab Bunga Raya, sebuah kelab mahasiswa luar negara yang mesra kepada parti Bersatu dibawah Exco Antarabangsa Armada Nasional sebelum ini telah berjaya ditubuh di 9 buah negara termasuk United Kingdom, France, German, US, Jepun, Korea, Indonesia, New Zealand, Australia dan sepatutnya akan ditubuh lagi di dua buah negara iaitu di Belgium dan Australia namun terbantut setelah Wan Fayhsal mengambil alih tapuk kepimpinan Armada Nasional.
Malah Kelab Bunga Raya juga telah dikuburkan sepenuhnya kerana kononnya beliau ingin menubuh satu persatuan mahasiswa yang baru namun sehingga ke hari ini bayang kelab atau persatuan masih lagi tidak kelihatan, nama pun belum difikirkan.
Ianya jelas satu bentuk kerugian yang nyata kepada Armada dan parti Bersatu apatah lagi apabila undi 18 akan dilaksanakan kelak dan beliau masih lagi terpinga-pinga dan khayal dengan kedudukan dan jawatan selaku seorang senator dan timbalan menteri seolah olah jawatan itu akan kekal abadi.
Pada pandangan saya sejujurnya beliau perlu muhasabah dan segera bergerak pantas dalam memperkasakan kembali Armada dan parti bagi menarik lebih ramai sokongan terutama dalam kalangan belia dan anak muda.
Sudah sampai masanya beliau terkejut dari tidur yang lena dan segera menunaikan kewajipan untuk membantu memulihkan semula sokongan yang semakin layu kerana kita tidak mahu kita hanya menunggu sokongan turun dari langit tanpa berbuat apa-apa.
Armada boleh lah saya umpamakan bagai ‘Retak Menanti Belah’.
Syaiful Irfan Anang
Bendahari Biro Antarabangsa Armada Nasional
Mantan Ketua Armada Terengganu
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.