Elak jadi mangsa umpan cinta ‘Love Scam’, wanita kesepian jadi sasaran

Penipuan atau sindiket Love Scam kian meningkat dan ramai wanita tertipu atas alasan cinta.-Gambar hiasan

Anda pernah menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali? Kalau belum pernah, jangkat cuba-cuba untuk angkat telefon tu!

Sebab kemungkinan besar untuk anda ditipu dan terlibat dengan jenayah sindiket penipuan melalui panggilan telefon adalah amat tinggi.

Pelbagai cara akan dilakukan oleh penjenayah untuk menipu mangsa, termasuk dengan tawaran bercinta, kemudian memperdaya dengan meminta wang dan akhirnya tertipu dengan penjenayah terbabit.

Baru-baru ini, seorang guru wanita kerugian RM63,440 selepas diperdaya sindiket Love Scam menerusi Instagram sejak April lalu.

Mangsa dari Sik, Kedah mula berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Muhammed Zamzuree berasal United Kingdom.

Mangsa yang telah bercerai seterusnya berhubung dengan suspek menggunakan aplikasi WhatsApp. Suspek kemudian memaklumkan ada mengirimkan barang kepadanya seperti beg tangan, kasut, jam tangan, satu set perhiasan dan telefon bimbit.

Selepas itu mangsa dihubungi seorang individu yang mengaku sebagai Pegawai Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mangsa seterusnya diminta membuat bayaran cukai dan denda bagi mendapatkan barangan tersebut.

Atas dasar kepercayaan yang melampau, mangsa telah membuat pemindahan wang simpanannya secara dalam talian ke satu akaun diberikan suspek sebanyak tujuh kali pada bulan lalu.

Mangsa mula menceritakan perkara sebenar kepada adiknya apabila mula menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Kuala Nerang pada Isnin lalu.

Ini merupakan sebahagian kisah benar tentang penipuan sindiket Love Scam yang kian aktif menjalankan kegiatan mencari dan memperdaya mangsa khususnya golongan wanita.

Menurut Kaunselor Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Md Noh Saiman, kejadian jenayah berpunca daripada kewujudan pemangsa, mangsa, ruang dan peluang.

“Begitu juga dengan Love Scame, ia berlaku kerana pemangsa mempunyai ruang dan peluang untuk memerangkap mangsa dengan umpan percintaan, mangsa termakan umpan tersebut lantas termasuk dalam perangkap dan menjadi mangsa yang diambil kesempatan termasuk kerugian harta benda dan maruah diri.

“Biasanya seseorang itu berkencenderungan menjadi mangsa apabila merahsiakan perkara tersebut kerana termakan dengan pujuk rayu dan janji pemangsa menyebabkan identiti pemangsa dilindungi oleh mangsa sendiri atas nama cinta konon-kononnya,” katanya.

Justeru, kaedah terbaik untuk mengelakkan diri daripada menjadi adalah dengan berkongsi dengan orang yang boleh dipercayai sekiranya merasakan diri menjadi mangsa untuk mendapatkan pandangan kedua sekiranya merasakan ada sesuatu yang mencurigakan.

Dalam pada itu, Md. Noh menasihatkan orang ramai, jangan mendedahkan maklumat peribadi anda kepada orang yang tidak dikenali terutamanya maklumat kewangan dan dokumen sulit.

“Seterusnya, mangsa perlu mendapatkan maklumat daripada pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), talian kasih 15999 dan sebagainya sebagai sumber rujukan yang boleh dipercayai sekiranya mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

“Akhir sekali elakkan diri anda daripada berhadapan dengan situasi terdesak seperti date line atau ancaman sendirian tanpa mendapatkan sebarang bantuan kerana biasanya serigala hanya akan membaham biri-biri yang terpisah daripada kawanan,” jelasnya.

Tambah Md. Noh, sekiranya terjebak jangan panik dan berterusan menjadi mangsa, putuskan rantaian ikatan cinta yang menyeksakan itu, kerana cinta itu sifatnya membahagiakan bukan menjanjikan derita.

“Hubungi pihak berkuasa seperti PDRM sekiranya menjadi mangsa, namun sekiranya tidak kuat atau keliru boleh dapatkan bantuan daripada sahabat karib, saudara mara terdekat atau pihak berkuasa.

“Penipuan kewangan yang dilindungi atas nama cinta mempunyai dinamika tersendiri dan kadangkala memerlukan bantuan pakar seperti kaunselor atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menghadapinya. Pendek kata jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Tuhan,” jelasnya.

POPULAR

Sorry. No data so far.