Sifat cemburu membabi buta boleh membawa padah

June 15, 2021 · Viral

Kes pertama

Pada 9 Mac lalu,  seorang lelaki tergamak menetak isterinya yang sedang mengandung di bahagian leher sehingga mati dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit, Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata, dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa dikenali sebagai Norhasnah Sahanin, 20-an, ditemui meninggal dunia di ruang tamu sebuah rumah kongsi pekerja buruh ladang tidak bernombor dekat Kampung Tanah Merah Checkpoint, Kilometer 50, Jalan Tawau-Semporna.

Kes Kedua

Pada 5 Mac lalu, Misteri kehilangan seorang wanita  akhirnya terungkai apabila mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di dalam tong air berwarna biru.

Lebih menyayat hati, mangsa disyaki telah dibunuh oleh suaminya sendiri akibat  cemburu. Mayat mangsa ditemui ditanam di sebuah ladang kelapa sawit dekat Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis telah menerima laporan polis mengenai kehilangan mangsa, seorang  kerani di syarikat swasta berusia 38 tahun  pada 1 Mac lalu. Mangsa dikatakan keluar dari rumah pukul 2 pagi selepas berlaku perselisihan faham dengan suaminya.

Kes dipercayai disebabkan cemburu suspek ke atas isterinya berdasarkan penemuan  surat tuntutan fasakh di kediaman mereka.

Benarkah cemburu tanda sayang?

Ada yang berpendapat bahawa cemburu itu tanda sayang dan sihat. Benarkah? Namun, cemburu yang melampau tergolong dalam penyakit emosi yang akhirnya akan membawa kepada kemurungan.

Cemburu merupakan perasaan yang selalu dialami oleh manusia biasa. Ia suatu perasaan yang normal tetapi kompleks. Mengikut kamus dewan bahasa cemburu juga bermaksud perasaan kurang percaya ataupun syak wasangka kepada seseorang.

Ini bermakna perasaan atau kemarahan yang ditunjukkan pada seseorang yang dianggap sebagai pesaing.

Daripada definisi tersebut kita mengetahui bahawa isu utama kepada cemburu tersebut adalah disebabkan perasaan wujudnya persaingan.

Namun, bagaimana pula cemburu dalam rumah tangga? Mengulas berita baru-baru ini berkenaan kes seorang isteri dibunuh oleh suaminya menggunakan senapang angin akibat cemburu, jelas menggambarkan ketidakstabilan masyarakat kini.

Ini dapat dilihat bahawa kemahiran mengurus konflik dalam rumah tangga amat penting. Panas baran yang tercetus akibat cemburu adalah penyakit jiwa yang sering membawa kepada implikasi yang lebih buruk seperti pergaduhan, penderaan seterusnya kepada pembunuhan.

Menurut Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sg Petani, Dr. Mohammad Farris Iman Leong Abdullah, dari segi psikologi, cemburu merupakan emosi negatif  iaitu seseorang individu itu memarahi orang yang ketiga yang telah merampas ataupun seperti telah merampas perasaan sayang orang yang disayangi oleh individu tersebut.

Menjelas lanjut, Dr. Mohammad Farris memberitahu, terdapat beberapa faktor mendorong seseorang menjadi cemburu termasuk takut kehilangan sesuatu yang disayangi, kurang keyakinan diri dan kesedihan terhadap sesuatu disayangi yang dianggap telah hilang .

“Selain itu, seseorang itu menjadi cemburu kerana ketidakpastian dalam hidup dan kebosanan hidup, takut kehilangan seseorang yang penting dalam hidup kepada orang lain  dan kurang kepercayaan pada orang lain,” jelasnya.

Tambah beliau, tahap cemburu individu yang berbeza adalah tidak sama. Ada yang titik ambang untuk menjadi cemburu adalah agak rendah, ada yang agak tinggi. Justeru, ia bergantung pada orang.

Namun, kebiasaannya cemburu adalah perkara biasa dalam hubungan suami isteri. Tetapi, cemburu buta yang normal biasanya tidak akan menyebabkan terjadinya tindakan agresif selagi suami atau isteri tidak berlaku curang atau niat untuk curang.

Cemburu melampau

Dalam kes cemburu melampau, ia juga dikaitkan dengan masalah mental misalnya cemburu patologi (pathological jealousy).

“Ia merupakan sejenis kecelaruan delusi ataupun satu simptom psikotik yang boleh berlaku dalam penyakit mental seperti skizofrenia atau penyakit bipolar jenis I iaitu  seseorang itu percaya dengan yakin bahawa pasangan mereka berlaku curang, dengan bukti yang tidak kukuh, minima atau tiada bukti langsung.

“Namun, mereka akan cuba mengaitkan perkara yang berlaku dalam kehidupan harian mereka dengan pasangan untuk dijadikan ‘bukti’ bagi menyokong dakwaan mereka. Ia biasa dialami oleh golongan lelaki dan menyebabkan pesakit untuk mengintip pasangannya, mengintip secara maya (dengan Facebook, Instagram dan sebagainya), sabotaj ‘orang yang ketiga’ yang disyaki pasangan mereka menjalinkan hubungan dan sehingga tahap agresif seperti mencederakan atau membunuh pasangan mereka atau ‘orang yang disyaki’ merampas cinta mereka,” katanya.

Jelas beliau, cemburu patologi ini juga kerap berlaku dalam kalangan mereka yang mengalami kebergantungan alkohol, masalah seksual seperti mati pucuk dan mereka yang mengalami kecederaan otak.

Jika seseorang berdepan dengan situasi lelaki  yang cemburu bertukar menjadi baran, Dr. Mohammad Farris menasihatkan, cuba jangan berkeras dengan orang yang sedang cemburu itu dan minta dia supaya mengelak daripada berada di situasi tersebut untuk sementara waktu bagi mencari ketenangan. Ini boleh dilakukan bagi mereka yang berdepan dengan situasi cemburu normal.

Selepas bertenang, barulah boleh mendengar penjelasan orang yang mereka cemburu itu dan bawa berbincang.

Cemburu patologi

Jika ia cemburu patologi, maka kemarahan orang cemburu itu sukar dileraikan dan perlu rawatan dengan ubat antipsikotik serta ubat penenang (benzodiazepin). Punca yang menyebabkan cemburu patologi juga perlu dirawat agar cemburu patologi itu akan pulih. Oleh itu, rujukan kepada pakar psikiatri adalah penting untuk orang yang mengalami cemburu patologi.

“Jika pasangan telah naik angin, jangan berkeras dengannya dan terus mencetuskan kemarahannya dengan mencari kesalahan pasangannya itu. Ini akan memburukkan keadaan apabila pasangannya itu ditegur dengan kesalahan yang tidak berkaitan dengan isu yang sedang dibincangkan itu.

“Cuba pujuk pasangan untuk bertenang dulu dan keluar dari tempat yang berlakunya pertelingkahan itu. Selepas bertenang barulah berbincang tentang punca cemburu dan menyelesaikan segala masalah salah faham yang ada. Ia adalah penting untuk membezakan cemburu normal daripada cemburu patologi. Ini kerana cemburu patologi perlu dirujuk dan menerima rawatan daripada pakar psikiatri,” ujarnya.

Berita berkaitan
Laporan psikiatri sahkan Yasin tidak waras
July 6, 2023· Isu semasa
Hadi dibenar keluar hospital, berehat di rumah
July 2, 2023· Politik
Orang kuat PKR doakan kematian Hadi, Dr Mahathir: Laporan
July 1, 2023· Politik
Derma darah – Selamatkan insan yang memerlukan
June 28, 2023· Isu semasa
Popular

Sorry. No data so far.

Lagi Viral terkini
Kesan lokasi penyakit berjangkit ciri baharu MySejahtera: Khairy
May 3, 2022 · Isu semasa Viral
Elak jadi mangsa umpan cinta ‘Love Scam’, wanita kesepian jadi sasaran
June 4, 2021 · Viral
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok