[VIDEO] Muhyiddin zahir terima kasih, Perikatan tidak akan sertai kerajaan Anwar

November 25, 2022

Tawaran untuk menyertai kerajaan yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim dihargai Perikatan Nasional namun tidak akan menerimanya sama sekali, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, bagi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terjamin, Perikatan Nasional sedia bekerjasama dalam bentuk hubungan antara kerajaan dan pembangkang.

Muhyiddin turut menzahirkan terima kasih atas tawaran itu sambil menegaskan negara memerlukan pembangkang yang kuat sebagai proses semak dan imbang selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.

Bekas Perdana Menteri itu bertekad meneruskan perjuangan pimpinan demi dasar kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Ujian dan cabaran yang dihadapi oleh Perikatan Nasional sehingga kini tidak akan membuatkan mereka patah semangat dan berhenti.

Terdahulu, Perikatan Nasional mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan jumlah sokongan dimiliki bagi mengabsahkan jumlah yang diperoleh selepas dilantik menjadi perdana menteri Malaysia ke-10.

Anwar bersedia menerima cabaran itu apabila mahu keabsahannya sebagai Perdana Menteri dibuktikan di Dewan Rakyat pada 19 Disember depan.