[VIDEO] Muhyiddin tak takut disiasat, dakwaan RM600 bilion berniat jahat

December 5, 2022

Tan Sri Muhyiddin Yasin menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Perkara itu diumumkan Muhyiddin, menerusi Facebook.

Menurut Muhyiddin, beliau hairan dari mana datangnya tuduhan melibatkan RM600 bilion itu.

Jika pun dakwaan itu merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi ketika menerajui kerajaan sebelum ini, ia hanya bernilai RM530 bilion.

Beliau memaklumkan daripada jumlah keseluruhan RM530 bilion, sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal atau dalam erti kata lain tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Hal ini termasuk pengeluaran KWSP bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion, jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain.

Beliau juga turut memaklumkan tidak terdapat satu sen pun wang dimasukkan ke akaun peribadi malah menyifatkannya sebagai tidak masuk akal wang bantuan rakyat dimasukkan ke akaun beliau.

Malah, Jabatan Audit Negara dan Bank Negara sudah pastinya terlebih dahulu antara yang mengetahui tindakannya sekiranya beliau didapati menyeleweng.

Dalam pada itu, Muhyiddin kecewa dengan tindakan pemimpin Pakatan Harapan menggunakan kuasa Polis Diraja Malaysia untuk menekan pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka seperti meminta menyiasat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Kepada ahli politik Pakatan Harapan dan Umno, berhentilah daripada melemparkan tuduhan yang bukan-bukan untuk menutup kelemahan kerajaan yang mereka bentuk bersama.