[VIDEO] Mahkamah arah Anwar fail pembelaan saman RM150 juta Dr Mahathir

May 31, 2023

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi masa sehingga 14 Jun untuk Anwar Ibrahim memfailkan pembelaanya dalam saman fitnah RM150 juta oleh Dr Mahathir Mohamad.

Peguam Dr Mahathir perlu memfailkan maklum balas mereka pada 6 Julai dan pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 7 Julai.

Saman itu dibuat selepas Anwar mendakwa Dr Mahathir mengumpul kekayaan ketika berkuasa dan seorang yang bersifat perkauman.

Mahathir dalam samannya mendakwa kenyataan Anwar dibuat atas kapasitinya sebagai perdana menteri, oleh itu ia mempunyai kesan lebih teruk terhadapnya berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa.

Katanya, dakwaan itu menjatuhkan imejnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.

Beliau menuntut Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah yang dibuat terhadapnya, yang disiarkan di media arus perdana dan media sosial.

Dr Mahathir juga mahukan permohonan maaf tanpa syarat dengan jaminan beliau tidak akan mengulangi kenyataan yang sama atau serupa pada masa hadapan.