[VIDEO] Annuar Musa, 2 pemimpin wanita sah dipecat dari UMNO

December 9, 2022

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Tan Sri Annuar Musa adalah antara tiga yang dilucutkan keahlian hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu, semalam.

Turut dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran Datin Seri Fatimah Kassim dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau Datin Seri Shamsiah Yassin.

Tindakan pelucutan keahlian itu adalah mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO selepas ketiga-tiga mereka didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO yang juga berkaitan tata etika ahli.

Ironinya, Zahid yang berdepan pendakwaan di mahkamah dan melanggar ketetapan parti dengan menjalinkan kerjasama bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP tidak dikenakan sebarang tindakan.

Fatimah merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abd Muttalib manakala Shamsiah adalah isteri kepada Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dalam pada itu, UMNO juga sedang meneliti senarai ahlinya yang disyaki melanggar perlembagaan parti kerana terlibat menentang parti pada pilihan raya lalu.