Sesi pertemuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah (YDPA) bersama pemimpin-pemimpin parti politik sehari dua ini menimbulkan pelbagai spekulasi dan teori di kalangan pencatur, pemerhati, penganalisa dan netizen.
Namun mesti ditegaskan, apa sahaja perkara yang melibatkan Tuanku YDPA sebagai payung teduhan rakyat jelata dan Raja Berperlembagaan adalah perkara yang amat serius.
Tiada apa yang lebih serius dan penting kepada rakyat jelata buat masa sekarang, selain daripada menjaga nyawa diri dan keluarga, mendapatkan vaksin (dah tak kisah jenama apa pun) dan menyediakan makanan di atas meja.
Apa guna bersidang Parlimen kalau hanya untuk salah menyalahi, apa guna hak bersuara kalau hanya untuk menambahkan pertelingkahan yang membuang masa.
Kita mendoakan Duli Tuanku sesungguhnya dapat melaksanakan nawaitu menyatukan “political will” sekalian pemimpin politik agar memberikan tumpuan kepada ikhtiar memerangi wabak COVID-19, mempertahankan kelangsungan ekonomi sekaligus menjaga kebajikan rakyat yang sedang dihimpit dari pelbagai sudut.
Sewaktu temu bual awal selepas pelantikan sebagai YDPA ke-16, Tuanku pernah bertitah: –
“Memang YDPA simbol perpaduan, tetapi kalau boleh jangan jadi (simbol) semata-mata. Kalau boleh saya mahu jadikan ini realiti. Saya sudah terima hakikat bahawa saya YDPA dan cuba nak jadikan ini (kedudukan) antara misi yang boleh menyatukan”.
Titah YDPA pastinya boleh bertegas untuk menjayakan misi solidariti politik nasional. Ini bukan masa untuk mencatur kedudukan atau mencari political milleage. Bukan masa untuk cari publisiti.
Usaha memerangi Covid-19 sedang gigih berjalan. Frontliners, infra hospital dan petugas keselamatan terus ditambah dan bertarung setiap hari. Vaksinasi roll out nampak positif dengan jumlah 150 ribu divaksin setiap hari dan akan meningkat. Segala macam bantuan kepada yang terjejas disampaikan oleh Kerajaan.
.
Kalau pandangan awam dikhuatiri, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang Duli Tuanku sendiri lantik, cukup wibawa untuk sampaikan terus keresahan kepada Tuanku YDPA. Wakil industri ada. Wakil Sabah, Sarawak ada. Ahli akademik ada. Mantan Panglima pun ada. Wakil politik (UMNO, DAP, PKR, Bersatu, Amanah) pun ada. Nama pun Jawatankuasa Bebas, bebas dari sebarang ‘vested interest’.
Jangan kerana mahu memuaskan hati beberapa individu; kita berakhir dengan yang lebih goyah dan lemah. Tiada siapa yang gagal kerana kita masih berjuang dengan gigih dan bersemangat waja.
Gandingan pembangkang yang ada tu pula sebenarnya mimpi ngeri politik Malaysia. Nightmare. Risau nanti persoalan siapa nak jadi Pengerusi Mesyuarat pun tak selesai.
Perang Covid-19 mesti menjadi prioriti dan keutamaan kepada setiap seorang kita yang berpijak di bumi Malaysia ini.
*Rudi Hairi Aziz