1. Ramai tidak ambil berat tentang catatan terperinci setiap kali keluar darah sama ada darah haid atau nifas.
2. Catatan terperinci maksudnya bagi setiap tarikh keluar darah, mesti catat warnanya, pekat atau cair, berbau atau tidak dan lain-lain catatan seperti banyak ke sedikit.
Juga perlu catat pada hari pertama keluar darah, pukul berapa mula keluar kerana ini penting untuk kira secara tepat bila berakhir tempoh maksimum haid (15 hari 15 malam) dan juga pada tarikh mula suci, catat pukul berapa mula suci. Ini penting untuk kira secara tepat minimum suci (15 hari 15 malam).
Sediakan buku khas (hard copy) atau fail khas dalam komputer. Terserah cara masing-masing. Lebih kurang perlu ada 5-6 kolum untuk item-item yang saya sebut termasuk kolum catatan.
3. Kenapa kena catat secara terperinci? Sebab bila berlaku istihadhah, memang saya akan minta semua maklumat berkenaan. Dan saya atau mana-mana asatizah tidak boleh membagi jawapan dengan tepat jika tidak diberi maklumat tersebut.
Ingat! Bila berlaku istihadhah, bukan kita putuskan 15 hari pertama haid dan 15 hari berikutnya istihadhah. Ini satu silap faham yang sudah sekian lama bertapak dalam diri ramai orang termasuk asatizah sendiri.
Penentuan mana satu darah haid (jika bab haid) atau nifas (jika bab nifas) dan mana satu darah istihadhah, ada kaedahnya yang khusus, dan istihadhah ada tujuh jenis.
Maklumat terperinci diperlukan bagi menentukan kaedah mana satu yang nak diaplikasi dalam menentukan mana satu darah haid dan mana satu darah istihadhah.
4. Jika nak saya bantu, bagi maklumat terperinci. Sebab ada juga bila saya minta maklumat terperinci, terus senyap. Maaf sangat-sangat, saya tak boleh nak bantu jika sekadar bagi tarikh semata-mata.
Saya kata wajib catat sebab ia melibatkan ibadah solat dan puasa. Salah dalam tentukan mana satu haid dan mana satu istihadhah akan melibatkan juga sah atau tidak sah ibadah kita.
Belajar bab darah ni fardhu ain bagi setiap muslimat dan bukannya fardhu kifayah. Berdosa jika tak belajar.
Semoga semua boleh memahami bahawa saya dan asatizah lain kadang-kadang bersengkang mata hendak menyelesaikan masalah istihadhah pihak yang bertanya terutama jika kesnya kes yang rumit.
Ustazah Dr Shamsiah Mohamad