UMNO Tamak Kuasa!

UMNO sepatutnya membantu menyelamatkan negara tetapi apa yang berlaku hari ini, UMNO yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat cuba meruntuhkan negara.

Dalam keadaan negara sedang berhadapan cabaran getir pandemik Covid-19, Zahid dan sekutunya bukan bersikap `menghulurkan tangan’ untuk bantu memulihkan keadaan sebaliknya sibuk mencatur langkah menjatuhkan kerajaan dan nak jadi Perdana Menteri.

Kenapa tidak mempertahankan Kerajaan yang ada sekarang, ini bukan Kerajaan pintu belakang, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir meletak jawatan; maka terbentuklah satu Kerajaan baharu yang telah dipersetujui oleh majoriti Ahli Parlimen ketika itu dan dinamakan Kerajaan Perikatan Nasional.

Namun, Kerajaan Perikatan Nasional diuji apabila ada beberapa Ahli Parlimen menarik sokongan dek kerana hasutan dan janji-janji politik oleh “pihak tertentu” yang dahagakan jawatan dan yang gilakan jawatan Menteri untuk membentuk jajaran baharu.

Maka, tertipulah golongan Ahli Parlimen dengan menarik sokongan dan mendakwa hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin. Kalau tidak berpuas hati, duduk semeja dan berbincanglah elok-elok. Apa yang perlu diperbaiki dan apa yang perlu dibuat demi kebaikan semua pihak.

Tindakan Zahid menggunakan Majlis Tertinggi (MT) untuk mendesak Ahli-Ahli Parlimen UMNO keluar dari kerajaan jika tuntutan beliau kepada Muhyiddin agar Parlimen bersidang dalam 14 hari tidak dipenuhi, adalah muslihat semata-mata.

Zahid sengaja mengocak keadaan politik negara dengan mengumpul Statutory Declaration (SD atau surat akaun bersumpah) daripada ahli MT. Presiden UMNO itu sebenarnya mempunyai agenda dan ulterior motive.

Nafsu serakah politik Zahid adalah untuk menyelamatkan dirinya sendiri (dari 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram), dan bukannya untuk menyelamatkan kepentingan negara ini.

Setakat hari ini, Zahid memang telah berjaya mempengaruhi dua pertiga Ahli MT UMNO untuk menandatangani SD bagi menyokong tindakan keluar dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ironinya, Zahid, Timbalan Presiden, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan gagal memujuk Pengarah Pilihanraya UMNO yang juga Ahli MT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk menyokong usaha “murni” mereka menumbangkan kerajaan.

Waktu bertentang lapan mata dengan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung, di Ibu Pejabat UMNO minggu lalu, Zahid gagal menjawab 3 persoalan yang dilontarkan Tajuddin;

  1. Dengan persetujuan semua Ahli MT menandatangani SD, adakah UMNO mampu membentuk kerajaan?
  2. Siapa rakan gabungan UMNO dalam ‘jajaran baru’ untuk membentuk kerajaan selepas PN ditumbangkan?
  3. Adakah pemimpin UMNO akan kembali menjadi Perdana Menteri? Prinsip Tajuddin senang dan mudah, kenapa nak hancurkan Kerajaan sekarang kalau UMNO bukan menjadi PM, lebih baik kekalkan Kerajaan sedia ada dan fokus pada kesusahan rakyat dan bila keadaan kembali normal kita turun ke medan pilihanraya sebagai anak jantan.

Bagi ‘panglima perang UMNO’ ini, beliau tidak akan teragak-agak menandatangi SD untuk menarik sokongan daripada PN sekiranya Presiden UMNO itu berjaya memberi jawapan yang meyakinkan. Namun, hal itu tidak berlaku!

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu menyaksikan UMNO tidak lagi menjadi sebuah parti yang dominan di negara ini. UMNO memerlukan `kawan’ untuk kembali menjadi kerajaan.

Sekiranya UMNO `tidur sekatil’ dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP untuk tumbangkan kerajaan dan bergabung membentuk kerajaan baru –  maka UMNO akan menjadi parti yang paling dibenci oleh orang Melayu di negara ini!

Banyak kali Ahli Parlimen Pasir Salak itu menegaskan, bergabung dengan Anwar dan DAP bukan sahaja akar umbi UMNO tidak terima, malah orang Melayu dan penyokong UMNO sendiri akan tolak UMNO pada PRU-15 yang akan datang.

Tindakan memaksa MT menandatangani SD dan menjual watikah pencalonan PRU untuk keluar dari kerajaan serta-merta dalam keadaan negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19 juga akan memusnahkan UMNO kerana rakyat akan melihat UMNO sebagai parti yang tamak kuasa dan rakus!

Selain Tajuddin, dua lagi Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid juga tidak menyokong usaha menjatuhkan kerajaan melalui surat akuan bersumpah itu.

Barisan Menteri dan Timbalan Menteri serta majoriti Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga bertegas menolak dan tidak menandatangani SD yang diilhamkan oleh Zahid.

Bagi mereka, permainan poltik yang digerakkan oleh Zahid, bermatlamatkan kepentingan peribadi untuk menyelamatkan dirinya sendiri dan bukan sangat untuk menyelamatkan kepentingan negara dan orang Melayu.

Gerakan coup d’état yang dipimpin oleh Zahid ini, menambah satu lagi krisis yang bukan saja memudaratkan parti politik yang ada tetapi memburukkan ekonomi dan reputasi negara di mata dunia.

Jangan salahkan rakyat kalau mereka terus melihat UMNO sebagai parti yang tidak boleh menjadi tempat mereka bergantung harap. Rakyat akan menolak UMNO sekiranya parti ini bergabung dengan PKR dan DAP yang merupakan musuh tradisi UMNO sejak lebih dua dekad yang lalu sehingga ke hari ini.

Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Ahmad Maslan, Noraini Ahmad dan lain-lain pemimpin UMNO, janganlah kerana rakus dek inginkan kuasa, pangkat dan jawatan sehingga derita yang rakyat hadapi tidak diendahkan dan berjuang untuk kepentingan peribadi.

Jika UMNO terus begini, UMNO hanya tunggu masa ditolak rakyat di pilihanraya nanti. Jangan tertipu dengan propaganda DAP yang kononnya rakyat sedang marah pada Kerajaan sebenarnya itu adalah muslihat semata-mata dan ambil iktibar modus operandi yang sama digunakan PKR/DAP untuk menjatuhkan UMNO pada Mei 2018.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.