UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pahang bakal bertanding 32 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Sementara PAS yang bergabung dalam Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO dan pada masa sama menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, hanya akan bertanding 10 kerusi DUN.
Perkiraan itu dibuat berdasarkan perjanjian antara PAS Pahang dengan UMNO dan BN yang dimeterai semalam (28/4/2021), serta kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perunding dan Persiapan Pilihanraya UMNO.
Mohamad ketika merasmikan Majlis Penutup Program Bangkit 15 di Melaka pada 11 April lalu berkata, antara formula yang dipersetujui bersama PAS ialah kerusi yang dimenangi akan ditandingi oleh parti masing-masing.
“…dan formula kedua kita setuju parti mana yang dapat undi terbanyak, kerusi berkenaan akan diberikan kepada parti berkenaan,” kata Mohamad.
Pada PRU14 lalu, UMNO dan BN Pahang menang 25 kerusi iaitu Jelai; Padang Tengku; Cheka; Benta; Batu Talam; Dong; Pulau Tawar; Inderapura; Sungai Lembing; Lepar; Pulau Manis; Pramu Jaya; Bebar; Chini; Kuala Sentul; Jenderak; Kerdau; Lanchang; Kuala Semantan; Pelangai; Guai; Kemayan; Bukit Ibam; Muadzam Shah; dan Tioman.
Tujuh kerusi DUN di mana UMNO dan BN tewas, tetapi jumlah undi terbanyak melebihi PAS ialah Tanah Rata; Tras; Teruntum; Bilut; Ketari; dan Sabai; dan Triang (PAS tidak bertanding di DUN Triang).
Ini bermakna – jika mengikut perjanjian dengan PAS dan apa yang dikatakan oleh Mohamad – maka UMNO dan BN akan mendapat hak bertanding di tujuh kerusi tambahan itu.

Perjanjian antara PAS Pahang dan UMNO Pahang dimeterai pada Rabu 28 April 2021.
PAS Pahang pula hanya akan bertanding di kawasan yang mereka menangi iaitu di DUN Tahan, Damak, Beserah, Tanjung Lumpur, Panching, Luit, Chenor dan Jengka. Mengikut perjanjian, UMNO tidak akan bertanding di sini.
Dua kerusi lagi di mana undi PAS lebih tinggi daripada UMNO dan BN ialah Semambu serta Mentakab, sekali gus bermakna PAS hanya layak bertanding di 10 kerusi DUN sahaja pada PRU15 nanti.
Menurut perjanjian itu juga PAS dan UMNO tidak akan menyokong mana-mana calon daripada parti lain yang akan bertanding melawan calon mereka.
Dalam hal ini, UMNO dan BN Pahang tidak mempunyai masalah kerana perjanjian itu dilihat lebih menguntungkan mereka, tetapi PAS negeri perlu mendapatkan kelulusan PAS Pusat terlebih dahulu sebagaimana dinyatakan di dalam Perkara 6 perjanjian berkenaan.
Pada masa sama, PAS juga tidak dapat meletakkan calon mereka bertanding di sembilan kawasan Parlimen di negeri itu kerana mereka tewas sepenuhnya kepada UMNO, BN dan PKR pada PRU14.
Justeru, bagaimana kedudukan Bersatu di dalam PN yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang turut dianggotai oleh PAS Pahang? Adakah PAS akan menyerahkan ‘sedikit’ kerusi mereka untuk ditandingi Bersatu?
Kita perlu ingat bahawa dalam Perkara 5 perjanjian malam tadi menyebut UMNO Pahang tidak akan menyokong dan bekerjasama dengan mana-mana calon yang bertanding di lapan kerusi berkenaan, kecuali hanya calon daripada PAS. Noktah!
Tok Akhi
Shah Alam