Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri merangkap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Keesokan harinya, terus Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyiarkan di media sosial beliau, jemputan menghadiri Taklimat Khas Presiden UMNO Tentang Isu Semasa
Terkini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada pukul 2 petang, hari Sabtu, 27 Ogos, kepada semua ahli jawatankuasa UMNO bahagian dan pimpinan parti yang ingin hadir.
Serentak itu, berlegar di media sosial pendedahan mengenai gerakan mahu memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di hadapan ribuan perwakilan bahagian dan pimpinan parti UMNO dalam majlis taklimat khas tersebut.
Serentak itu juga, tentatif majlis taklimat khas tersebut turut beredar, antara lain membabitkan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang membaca doa dan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengulas mengenai keputusan penghakiman ke atas Najib.
Selainnya ialah ucapan alu-aluan oleh Ahmad; ucapan dua peguam bela Najib, iaitu Tan Sri Shafee Abdullah dan Datuk Zaid Ibrahim; serta ucapan dua anak Najib, iaitu Mohd. Nizar dan Nooryana Najwa; sebelum diakhiri dengan taklimat khas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan diakhiri lagu Teman Sejati.
Tokoh yang mula-mula membangkitkan sentimen dan emosi hadirin adalah Zaid yang menyebut betapa Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan beliau membawa bukti baharu mengenai Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang dikatakan tidak sepatutnya menghakimi kes Najib
Disebut oleh Zaid: “Kalau anak Tun Razak tidak dapat proses perundangan yang adil, apakah kita marhaen Malaysia ini dapat?” diikuti oleh tuduhan, “Kepincangan dalam pentadbiran undang-undang negara kita telah terlalu berat untuk kita seorang UMNO.”
Ahmad turut menaikkan suhu dengan berulang kali menanyakan kepada hadirin, “Adil atau tidak?” yang dijawab oleh hadirin, “Tidak” sebelum suhu dipanaskan lagi oleh Azalina.
Azalina antara lain mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan penangguhan kes dengan menyebut, “Takkanlah takut sangat?”, “Agaknya dia tak nak orang tahu cerita sebenar” dan “Mesti masukkan (Najib ke penjara) hari ini juga.”
Disebutkan juga oleh Azalina bahawa dalam kes-kes jenayah, ada apa-apa bukti yang boleh dilihat menggoyangkan keputusan itu dibawa masuk dibenarkan.
Turut disentuh oleh Azalina mengenai kuasa besar Peguam Negara serta kenyataan, “Siapa jadi Perdana Menteri, dia mesti jadikan Peguam Negara orang dia” dan “Kalau kita tengok sejarah mana-mana negara demokrasi, Peguam Negara akan ditukar mengikut suara kepimpinan negara tersebut.”
Kenyataan Azalina ini pula dipuji oleh Ahmad Zahid yang menyifatkan beliau sebagai seorang wanita besi yang ucapannya dikatakan menambahkan lagi keyakinan serta membakar semangat untuk terus berjuang bagi memastikan keadilan dan sistem perundangan negara tidak dirobek oleh tangan-tangan yang menjadikannya sebagai papan catur.
Kurang cerdik
Dalam taklimat khas beliau juga, Ahmad Zahid mendakwa UMNO terkilan kerana apa yang Najib mohon, iaitu ruang dan sedikit masa untuk mengemukakan bukti baharu, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan. Ini menyebabkan beliau bertanya, “Apakah salah jika rakyat mula membuat pelbagai andaian serta mempertikaikan proses pendakwaan yang sebegini tidak adil?”
Sebenarnya, isu pengemukaan bukti baharu tidak patut dibangkitkan lagi.
Ini kerana Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac lalu menolak permohonan peguam Najib untuk memasukkan bukti baharu membabitkan dakwaan bahawa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan kontroversi yang diburu pihak berkuasa, Jho Low terhadap diri beliau.
Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos juga menolak permohonan peguam Najib untuk memasukkan bukti baharu bagi mewujudkan keraguan terhadap hakim bicara, iaitu Mohd Nazlan kerana kesemua usul dikemukakan didapati tidak relevan dengan pertuduhan asal ke atas Najib.
Pemimpin UMNO sepatutnya bertindak lebih waras dengan tidak mempersoalkan secara terbuka keputusan Mahkamah Persekutuan kerana ia akan merisikokan mereka untuk didakwa atas kesalahan menghina mahkamah berikutan scandalising the court. Ingatlah, sebelum ini sebuah portal berita pernah menerima nasib sebegini.
Gesaan menukar Ketua Hakim Negara atau/dan Peguam Negara yang didakwa dilantik oleh lawan juga boleh memberi masalah kepada imej UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana terdapat peruntukan yang ketat mengenainya dalam sistem perundangan negara.
Mencadangkan ditukar semata-mata kerana mereka membuat keputusan yang tidak memihak kepada pemimpin parti adalah satu tindakan kurang cerdik yang boleh memaparkan kegelojohan untuk menguasai semua cabang pemerintahan dengan mengetepikan doktrin pengasingan kuasa.
Pilihan yang lebih baik sepatutnya ialah dengan menasihatkan dan membantu peguam Najib membuat permohonan semakan di bawah Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 bagi mengkaji semula dan mengetepikan keputusan yang dibuat oleh panel Mahkamah Persekutuan ini kepada panel lain.
Sejarah akan menyaksikan bahawa tindakan ‘mempersoalkan’ Perdana Menteri yang menghormati doktrin pengasingan kuasa di dalam majlis yang dihadiri mereka yang ‘diatur’ adalah tindakan kebudak-budakan dan pada akhirnya pemimpin yang cuba dimalukan inilah yang akan menjadi penyelamat kepada UMNO dalam PRU15 nanti. – UTUSAN
Dr Suharmile Rosli
Pemerhati politik bebas
Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Utusan pada 29 Ogos 2022.