Kesilapan utama Bersatu adalah menunggu terlalu lama untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15. Sekiranya mereka melakukan PRU15 lebih awal, sudah tentu mereka mempunyai peluang untuk menang.
Pada fasa awal kerajaan Perikatan Nasional, kita dapat melihat rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu ‘membeli’ naratif ABAH yang dipasang oleh pasukan komunikasi kerajaan.
Hal ini turut dibantu dengan hakikat Pakatan Harapan kurang berkesan dalam melawan propaganda ‘PH anti-Melayu’ yang digunakan untuk mencalar imej mereka.
Akibatnya, naratif Malaysia diselamatkan melalui pembentukan kerajan di luar pilihan raya telah diterima sebahagian rakyat Malaysia – terutamanya mereka yang percaya PH mengabaikan masyarakat Melayu dan Islam.
Malangnya, naratif ini tidak bertahan lama, kerana prestasi Perikatan Nasional yang lemah dan konflik UMNO-Bersatu.
Sekiranya UMNO mengambil langkah ‘menunggu’, mereka mungkin akan menyesal seperti Bersatu
Semangat berapi-api yang ditunjukkan oleh pimpinan Umno ketika Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) harus diterjemahkan dalam bentuk aksi yang lebih tegas dan tuntas.
Melalui PAU, kita dapat melihat akar umbi dan para perwakilan negeri konsisten menolak kerjasama dengan Bersatu menjelang PRU15.
Kemudian, ada desakan supaya ahli-ahli Kabinet UMNO segera meletakkan jawatan untuk menoktahkan perceraian Umno-Bersatu.
Beberapa hari selepas PAU, ahli-ahli Kabinet UMNO mengatakan akan terus memegang jawatan mereka sementara menunggu PRU15. Beberapa menteri turut menyarankan pemilihan UMNO segera dilakukan sebelum PRU15 berlaku.
Keadaan ini telah menyebabkan Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi UMNO dilihat lemah. Sekiranya keadaan ini dibiarkan dan tidak ditangani dengan serius, saya pasti pemimpin-pemimpin UMNO yang mendukung Perikatan Nasional akan mula mendapat momentum untuk mendesak diadakan pemilihan UMNO.
Pemilihan ini pastinya akan mewujudkan dua kelompok besar dalam UMNO; mereka yang masih ingin bersama Bersatu, dan mereka yang ingin bercerai.
Kita harus ingat, pendukung Bersatu dalam UMNO kebanyakannya memiliki jawatan – ia akan memberikan mereka kelebihan dari sudut sumber dan pengaruh.
Kita sebenarnya sedang melihat ‘perang dingin’ dan perlumbaan di antara UMNO dan Bersatu. Buat masa ini, UMNO sedang berada di hadapan kerana mereka memiliki akar umbi dan sejarah yang kuat.
Bersatu pula memiliki sumber kerajaan yang besar; dan boleh digunakan untuk melemahkan UMNO – misalnya mengambil ahli-ahli Parlimen yang sudi melompat.
Kes-kes mahkamah Zahid dan Najib juga sedang berjalan – jika mereka didapati bersalah sebelum PRU15, ia akan sedikit sebanyak menjejaskan imej UMNO.
Cuma, UMNO memiliki pilihan untuk menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional dengan segera – seterusnya memberi tekanan untuk perdana menteri meletakkan jawatan dan menjadi perdana menteri interim sementara menunggu perintah darurat tamat.
Sekiranya UMNO lambat bertindak, ia hanya akan memberi ruang kepada lawan mereka untuk menyusun strategi – termasuklah memusnahkan UMNO dari dalam.
Imej baik yang dimiliki UMNO pula tidak akan wujud selamanya, perlahan-lahan ia akan merosot jika UMNO mengambil sikap ‘bercakap tanpa mengambil tindakan’.
Penyokong setia mereka pula akan mula mempersoalkan tindakan ‘menunggu’ setelah keputusan sebulat suara menolak Bersatu dimuktadkan pada PAU lepas.
Akhirnya, mereka akan menyesal kerana sebab yang hampir serupa dengan Bersatu – kerana lambat bertindak.
Sebentar lagi kita akan memasuki fasa pasca pandemik Covid-19, situasi yang memerlukan kita memiliki kerajaan yang stabil, ahli-ahli Kabinet yang kompeten, dan dasar negara yang jelas.
Semua ini tidak akan dicapai sekiranya ahli-ahli politik terlalu sibuk untuk mengekalkan kedudukan dan mencipta konflik yang tak berkesudahan.
Pada akhirnya, kita perlu kembali kepada semangat demokrasi yang selama ini kita pegang, biarkan rakyat melakukan pilihan dan buka Parlimen untuk sesi perbahasan dasar-dasar penting kerajaan.
Rakyat yang akan menjadi mangsa daripada semua pergaduhan ahli-ahli politik yang sesekali lupa diri kerana wang dan kuasa.