
Parlimen adalah dewan tertinggi perundangan Kerajaan Persekutuan di mana rakyat mengharapkan individu yang terpilih menduduki kerusinya adalah mereka yang berintegriti, amanah dan prihatin, bukannya perasuah dan tidak amanah.
Penzahiran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan penegakan nilai integriti, kejujuran dan amanah di dalam pentadbiran negeri atau negara, adalah seiring dengan asas serta prinsip perjuangan Perikatan Nasional (PN).
Prinsip asas PN iaitu integriti, amanah dan prihatin rakyat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, integriti membawa maksud kejujuran dan ketulusan selain mengelak daripada melakukan penyelewengan.
Atas kesedaran itu jugalah rakyat, khususnya pengundi, diharap dapat memilih PN bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Integriti sebagaimana yang dizahirkan Baginda Sultan Selangor juga adalah prinsip yang mungkin agak sukar untuk ditemukan dalam dunia politik yang penuh pancaroba sekarang.
Berdasarkan prinsip-prinsip itu, pemimpin yang berada di dalam PN – bukan menjalankan tugas untuk kepentingan politik peribadi – tetapi bagi membela kebajikan rakyat dan memajukan negara menerusi kepemimpinan dan pentadbiran yang beramanah dan berintegriti.
Pemimpin PN – meliputi Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR – mesti meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.
Dalam teguran pada Jumaat (21 Oktober 2022), Sultan Selangor mengingatkan pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, jujur dan amanah, sebaliknya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia, akan menjadi pengkhianat rakyat dan negara.
“Sesungguhnya pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan menyebabkan pemimpin itu sendiri terjerumus ke dalam aktiviti bersifat kemunafikan dan kemaksiatan seperti mengamalkan amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan menyebarkan fitnah yang mengakibatkan kerosakan sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
“Integriti adalah kepatuhan kepada prinsip-prinsip beragama, nilai dan norma sejagat dan etika yang kuat. Insan terbaik yang sangat kita cintai, iaitu junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, Baginda telah menonjolkan dirinya sebagai ikon hamba Allah yang berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, iaitu ‘yang sangat dipercayai’ dalam kalangan masyarakat Islam ketika itu,” titah baginda lagi.
Untuk rekod, UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah memerintah negara sejak merdeka, namun sejak beberapa tahun lalu ramai pemimpinnya hilang integriti dan tidak amanah, terpalit rasuah, penyalahgunaan kuasa dan mengumpul harta untuk diri sendiri.
Kemuncaknya apabila Perdana Menteri daripada UMNO sendiri, Datuk Seri Najib Razak, didapati bersalah dalam penyelewengan dana SRC International, dan kini menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Bukan itu sahaja, malah dalam kalangan anak isteri pemimpin UMNO dan BN juga turut mengambil kesempatan memperkayakan diri. Sebagai contoh, isteri najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut didakwa atas kesalah rasuah, dan mahkamah mendapati dia bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Dia kemudian dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta – tertinggi dalam sejarah.
Demikian juga Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN sekarang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi 87 pertuduhan jenayah termasuk pecah amanah jenayah dan rasuah.
Semua kes-kes tidak amanah, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan itu dilakukan pemimpin UMNO dan BN, ketika mereka memerintah negara sebelum kalah dalam PRU-14 pada 2018.
Jika tidak kerana kekalahan itu, pastinya kes-kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang rakyat, yang mereka lakukan, tertutup rapat dan kesalahan itu akan terus dilakukan.
Oleh itu, rakyat Malaysia sewajarnya menghayati bahawa untuk negara melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan gagah, kita memerlukan satu ekosistem budaya, politik dan pengurusan kerajaan yang bebas rasuah, berintegriti, amanah dan prihatin rakyat.
Pengalaman daripada pentadbiran terdahulu yang dilingkari amalan rasuah merupakan suatu kemungkaran yang rosak lagi merosakkan, perlu dijadikan pelajaran.
Amalan “ambil apa yang sempat” atau “rembat apa yang dapat” atau “sakau-menyakau” tidak boleh menjadi budaya dalam PN. Ini adalah budaya yang salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat.
Amalan ini jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun.
Sehubungan itu, rakyat, terutama anak muda, sewajarnya memberi sokongan kepada PN pada PRU-15, 19 November depan. Keluar beramai-ramai membuang undi supaya kerajaan yang dibentuk kelak berintegriti, amanah dan prihatin rakyat, bukan kerajaan yang dipimpin perasuah, tidak amanah dan tidak mempedulikan nasib rakyat.
Dek kerana itu juga, PN mengenakan syarat bahawa semua calonnya wajib menandatangani akujanji dan lafaz sumpah menolak rasuah sebagai tanda komitmen untuk tidak melanggar akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Perkara ini sudah dipraktikkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Melaka dan akan diteruskan pada PRU-15. Semua calon akan angkat sumpah lafaz ikrar dengan nama Allah bahawa mereka komited menentang dan tidak akan membuat sesuatu yang menyalahi akta SPRM.
Razali bin Zakaria
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.