
Rakyat Malaysia sudah boleh kembali menjalani kehidupan biasa dengan sektor ekonomi sudah beroperasi sepenuhnya.
Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera dan Salam Hari Kebangsaan,
Apa khabar semua?
Alhamdulillah, hari ini kita diberi kesempatan menyambut Hari Kebangsaan sempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-65.
Tanggal 31 Ogos, tarikh keramat yang diraikan setiap tahun membawa seribu satu pengertian buat kita rakyat Malaysia.
Pengorbanan generasi pembina bangsa yang menuntut kemerdekaan harus dihayati dan diinsafi setiap masa dan tidak hanya sekadar menjadi bahan rujukan dokumentari dan teks buku sejarah untuk diulang kaji.
Setelah diuji dengan cabaran yang amat getir sepanjang lebih dua tahun menempuh pandemik Covid–19 bersama, akhirnya kita semakin hampir untuk “memerdekakan” diri daripada dibelenggu pandemik ini.
Pandemik Covid-19 telah mencetuskan krisis kesihatan di negara kita sehingga menyebabkan hampir keseluruhan sektor kehidupan rakyat lumpuh.
Kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian virus Covid-19 sebelum memperkenalkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus penduduk dewasa menerima suntikan vaksin.
Kerajaan juga menyediakan peruntukan yang besar berjumlah kira-kira RM530 bilion menerusi pelbagai pakej bantuan prihatin bagi membantu menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.
Alhamdulillah, program pemberian vaksin secara percuma itu mencapai kejayaan besar dan membolehkan negara memasuki fasa pra endemik yang mana semua sektor kehidupan dibuka seperti sediakala.
Rakyat Malaysia sudah boleh kembali menjalani kehidupan biasa dengan sektor ekonomi sudah beroperasi sepenuhnya.
Kejayaan keluar daripada fasa pandemik ini dan masuk ke fasa pemulihan merupakan satu bentuk ‘kemerdekaan’ kepada kita semua.
Sesungguhnya, pencapaian ini perlu dirai dan nikmat kebebasan yang sudah mula dirasai hari ini perlu sentiasa disyukuri.
Dalam kita melangkah dengan berani memasuki fasa pra endemik ini, marilah kita kenang sejenak perjalanan awal menempuh pandemik sehingga ke hari ini.
Titipkan doa buat mereka yang tewas, dan mereka yang meratapi kehilangan.
Marilah kita berjanji kepada diri untuk tidak mempersiakan segala pengorbanan dan usaha sepanjang lebih dua tahun ini. Marilah kita semua bersatu hati, menggembleng usaha memulihkan negara supaya kemakmuran dapat dikecapi bersama dan martabat bangsa terus dijulang tinggi.
Lindungilah ibu pertiwi ini. Pastikan Malaysia kekal aman, makmur dan merdeka, kini dan selamanya.
Saya berdoa semoga Allah terus memberi kekuatan kepada kita untuk sama-sama mengharungi apa sahaja cabaran mendatang dan merahmati serta melindungi Malaysia yang tercinta ini.
Selamat Hari Kebangsaan 2022.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Bekas Perdana Menteri
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara