Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
1. Saya terpanggil sekali lagi untuk mengucapkan rasa syukur serta bangga yang tidak terhingga kerana kita semua dapat berkumpul dan berjumpa semula pada hari ini.
2. Yang ada dalam dewan pada hari ini, terutamanya para perwakilan yang datang dari jauh dan dekat, adalah kerana demi satu wadah perjuangan parti yang disulami dengan roh kekeluargaan, setiakawan dan perjuangan sejati.
3. Inilah Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Parti yang lahir bagi memenuhi tuntutan perjuangan bangsa Malaysia khususnya masyarakat pribumi – dan seterusnya mengangkat serta menjulang maruah pertiwi ke persada dunia.
4. Kita ucapkan tahniah kepada SRIKANDI dan ARMADA yang telah berjaya melaksanakan Persidangan Agung Tahunan masingmasing. Tahniah juga kepada SRIKANDI MUDA yang julung-julung kalinya mengadakan konvensyen SRIKANDI MUDA dengan jayanya.
5. Kita semua amat berbangga dengan semangat juang serta nilai patriotisme tinggi yang diperlihatkan SRIKANDI, ARMADA dan SRIKANDI MUDA. Sekali lagi, syabas dah tahniah kepada mereka semua.
6. Hari ini kita boleh lihat akan kesungguhan, komitmen, kesetiaan, pengorbanan masa serta keringat yang ditunjukkan oleh semua perwakilan dan pemerhati yang hadir dalam Perhimpunan Agung Tahunan parti pribumi yang kita sayangi ini.
7. Parti yang kini menjadi tempat untuk rakyat, khususnya bumiputera bergantung harap. Parti yang mendapat dukungan besar pengundi dalam PRU-15 lalu terutamanya daripada golongan muda. Parti yang telah banyak berjasa kepada rakyat, walaupun umurnya baru menginjak 6 tahun – terutamanya ketika Presiden kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin negara.
8. Kekuatan inilah yang ditakuti oleh musuh-musuh politik kita. Sinar inilah yang tidak disenangi oleh mereka. Marak gelombang sokongan rakyat inilah yang mahu dibunuh oleh mereka dengan cara yang paling kejam, kotor dan zalim – dengan cara merosakkan imej pemimpin serta parti kita.
9. Satu demi satu pemimpin kita disiasat dan didakwa dengan pertuduhan politik. Tidak cukup dengan fitnah jahat ke atas pemimpin, akaun parti juga dibekukan dan seboleh mungkin mereka mahu parti ini dilumpuhkan. Inilah dia politik kotor yang dimainkan oleh mereka.
PENDAKWAAN TERPILIH – BERMOTIF POLITIK & PENGANIAYAAN
Sidang perwakilan sekalian…
10. Penguasa zalim tidak akan bertahan lama. Penindasan demi penindasan yang bersulam dendam kesumat ini bakal menjerat leher mereka sendiri.
11. Kezaliman akan dibalas dengan kehancuran – sebagaimana Allah SWT menghancurkan kekuasaan Raja Jalut iaitu seorang raja yang zalim, yang angkuh dengan kekuatannya, yang menindas rakyat serta musuh-musuhnya hanya dek kerana merasa dia paling berkuasa TETAPI akhirnya tersembam menyembah bumi dan tewas ditangan pemuda belasan tahun.
12. Pemuda belasan tahun inilah akhirnya yang mengambil alih kuasa pemerintahan, menggantikan Raja Jalut dan diangkat kemuliaannya oleh Allah SWT dengan diberi pangkat kenabian. Pemuda inilah Nabi Daud A.S dan kisah ini diriwayatkan dalam surah al-Baqarah ayat 251 untuk dijadikan pedoman oleh kita semua.
13. Hari ini kerajaan campuran PH-BN menzalimi kita. Menzalimi BERSATU dan Perikatan Nasional. Mereka memperalatkan agensi-agensi kerajaan untuk melakukan character assassination ke atas pemimpin serta parti kita.
14. Mereka melakukan pendakwaan terpilih – yang bermotif politik serta penganiayaan. TETAPI YAKINLAH, PERCAYALAH, KITA DIPIHAK YANG BENAR.
15. Masakan tidak. Siasatan belum pun lengkap, kertas pertuduhan telah pun tersedia dan sengaja disebarkan untuk memalukan pemimpin kita – dan sudah tentu untuk memalukan parti kita.
16. Malah ketika dalam mahkamah, sesudah pertuduhan telah pun dibacakan – apabila diminta dokumen lengkap oleh para peguambela kita, pihak mereka belum pun ada dokumen lengkap pertuduhan itu. Maknanya apa? Maknanya jelas, iaitu mereka hanya mahu melakukan pertuduhan politik bagi merosakkan imej BERSATU dan Perikatan Nasional.
17. Mereka mahu menutup kebobrokan sendiri dan mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalan pentadbiran kerajaan campuran ini dengan cara memfitnah dan menuduh kita TETAPI RAKYAT TIDAK BODOH. RAKYAT SEDAR YANG MANA INTAN – YANG MANA KACA. RAKYAT TAHU YANG MANA SEKADAR TIN KOSONG – DAN YANG MANA BENAR-BENAR LAYAK MEMIMPIN NEGARA.
18. BUKTINYA SEJAK KHAMIS, BERBAKUL-BAKUL KRITIKAN, KUTUKAN dan MAKI HAMUN RAKYAT ke atas Perdana Menteri Ke-10. Cuba kita lihat isu KWSP. Bukan cagaran yang rakyat mahukan, rakyat mahukan wang mereka. Sebab itu banyak cemuhan, kata nista dan kemarahan yang ditimbulkan oleh rakyat.
NAFIRI PERANG
Sidang Perwakilan Sekalian…
19. Nafiri perang Pilihan Raya Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sudah dibunyikan. Makanya, kita tidak boleh sedikit pun terlalai dan berada dalam silent mood.
20. Pilihan Raya bukanlah satu pertarungan yang enteng. Mereka akan melakukan apa sahaja demi untuk mengalahkan kita.
21. Pilihan raya bukan sekadar penentu kepada survival dan hala tuju parti kita – malah ianya akan menentukan berapa lama hayat kerajaan campuran ini mampu untuk bertahan.
22. Bangunlah wahai pejuang dan penyokong parti, bangunlah. Wajib kita bersedia untuk berperang demi mempertahankan kebenaran. Bangunlah demi untuk menjaga parti keramat yang kita cintai ini. Ikan parang sudah disalai, Siap bahan hendak menggulai, Tegar berumah di tepi pantai, Usah gentar ombak membadai.
23. Ingin saya ingatkan kepada semua perwakilan, semua ahli parti, semua penyokong -tidak kira tua atau muda, kita turun ke medan perang Pilihan Raya Negeri dengan satu azam iaitu untuk meraih kemenangan.
24. Insya-Allah kita kekalkan KEDAH, KELANTAN, TERENGGANU dan insya-Allah kita tawan SELANGOR, NEGERI SEMBILAN DAN PULAU PINANG.
25. Dalam peperangan ini, kita tidak harus merasa gentar walaupun badai yang melanda, dengan manusia rakus yang sanggup menghalalkan apa jua tindakan mereka. Jangan bimbang lawan tetap lawan.
26. Yakinlah, kerajaan yang ada ini adalah kerajaan yang rapuh dan kerajaan yang sarat dengan kepentingan peribadi.
27. Ini adalah kelompok yang dimaksudkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Al Hasyar ayat 14 yang bermaksud:
“Kamu melihat mereka itu macam bersatu. Tetapi sebenarnya hati mereka berpecah-belah.”
28. Cuba kita lihat mereka hari ini. Mereka hanya bergabung atas kepentingan masing-masing. Marriage Of Conveniece ini tidak berlandaskan keikhlasan. Mereka cuma saling gunamempergunakan antara satu sama lain.
29. Yang pasti mereka cuma berkongsi bantal tetapi mimpinya lain-lain. Isnya-Allah, mimpi mereka ini tidak akan berpanjangan.
30. Hari ini pun, rakyat sudah nampak retak-retak perpecahan sesama mereka. Mereka sudah bercakaran secara terbuka semasa sendiri. Mereka saling menyerang secara terbuka antara satu sama lain.
31. Tok Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang pun dah berkata, kalau rumah kita berdinding kaca, jangan ganggu jiran sebelah – tetapi mereka ini sombong, angkuh dan bongkak.
32. Isu dan kepentingan rakyat tidak ditangani. Kehendak rakyat mereka tidak santuni. Ekonomi negara mereka tidak uruskan dengan baik tetapi sibuk mencari dan mereka cipta pertuduhan ke atas musuh politik.
33. Percayalah mereka ini ibarat buah busuk, dia akan jatuh dengan sendiri dan insyallah tidak lama lagi.
RAPATKAN SAF & SOLIDARITI BERSATU
Para Perwakilan Sekalian…
34. Sekarang bukanlah masa untuk kita bersengketa sesama kita. Sekarang bukanlah masa untuk kita bermasam muka. Sekarang bukan masa untuk mengadu-domba antara penyokong pemimpin itu dan ini, tetapi sekarang adalah masa untuk kita buktikan kita adalah satu kumpulan yang padu dan kukuh demi masa depan perjuangan parti yang kita sayangi ini.
35. Kita buktikan solidariti kita bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin. Marilah kita sama-sama gerakkan jentera kita di seluruh negara. Marilah kita tunjukkan solidariti dan kekuatan kita ibarat LIMA JARI YANG DIGENGAM MENJADI TUMBUKAN MAUT.
36. Cubit paha kanan, paha kiri juga terasa dan biarlah ringan sama dijunjung, berat sama dipikul. Sir, we all stand together with you.
37. Sebab itu, jangan sekali-kali dicicirkan semangat yang telah membara ini di siring-siring jalan kerana Pilihan Raya Negeri hanya datang sekali dan inilah peluang terbaik untuk kita membuktikan kepada semua bahawa rakyat menolak kerajaan yang ada pada hari ini.
38. Kita akan jadikan Pilihan Raya Negeri ini sebagai referendum keyakinan rakyat kepada Perikatan Nasional untuk memimpin negara.
39. Insya-Allah, jika semangat inilah yang digalas bersama kita sehingga Pilihan Raya Negeri, kejayaan akan menjadi milik Perikatan Nasional. Saudara-Saudari Perwakilan Sekalian…
40. Perjuangan demi agama, bangsa dan negara tidak mudah. Ujian dan kepayahan dalam perjuangan adalah sunnatullah yang perlu dilalui dengan sabar dan tabah kerana perjuangan itu tidak akan sunyi daripada cabaran. Di depan kita api, di belakang kita duri.
41. Kita diuji dengan fitnah dan mehnah tetapi semua itu tidak akan mematahkan semangat kita.
42. Fitnah tidak akan memperlahankan tempo BERSATU dan kemenangan tidak akan melalaikan jiwa Perikatan Nasional.
Kerana…
Bila pendayung sudah di tangan.
Bila perahu sudah dikayuh ke tengah.
Meski bagaimana besarnya gelombang.
Walau sekali pun kemudinya patah.
Walau sekalipun layarnya robek.
Tidak sesekali kita berbalik haluan pulang.
KITA ORANG-ORANG BERSATU TIDAK AKAN MENGALAH. KITA TIDAK AKAN BERUNDUR WALAU SEINCI PUN. KITA TIDAK AKAN MERELAKAN DIRI KITA, PARTI KITA BERTERUSAN DIHINA & DICERCA. KERANA KITA TAHU, KITALAH SEBENARNYA DI PIHAK YANG JUJUR, YANG SELAMA INI MEMPERJUANGKAN NASIB AGAMA, BANGSA DAN NEGARA.
KITA TIDAK PERNAH BERDOLAK DALIK. MAKA ITU WAHAI AHLI BERSATU SEKALIAN…
AYUH! AYUH!
BANGKITLAH KITA…
BERDIRI KITA SEMUA…
BERDIRILAH KITA DENGAN SEPENUH KEYAKINAN….
BIAR PATAH SAYAP SEKALIPUN TETAPI KITA AKAN TETAP BERDIRI…
DEMI KEMENANGAN DALAM PILIHAN RAYA NEGERI NANTI.
JANGAN MENYERAH USAH MELATAH,
RAKYAT TERUS BERSAMA KAMI,
MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH,
PH TERSUNGKUR MENYEMBAH BUMI.
HIDUP BERSATU!!! HIDUP PERIKATAN NASIONAL!!! HIDUP PERIKATAN NASIONAL!!!
Wabillahi Tuafik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahiwabaraqatuh.
Datuk Seri Hamzah Zainudin,
Setiausaha Agung Bersatu.