Sedih saya dengar ada sebahagian kecil doktor di luar sana memberi rawatan Covid secara semberono tanpa memikirkan akibat dari preskripsi ubatan mereka.
Mereka tahu rawatan untuk Covid kategori berbahaya sebahagiannya adalah anti viral, anti radang dan anti pembekuan darah. Jadi mereka pun beri rawatan tersebut dari klinik.
Masalahnya mereka beri jenis ubat yang salah, kepada pesakit yang salah, pada masa yang salah. Langsung tak sama dengan rawatan sebenar yang pesakit perlukan.
Saya tahu ada satu kes seorang doktor memberi steroid berdos tinggi kepada ahli keluarga sendiri yang baru dapat Covid kategori 2.
Pesakit Covid kategori 2 sebenarnya tak memerlukan apa-apa rawatan apatah lagi ubat steroid. Ubat steroid ada banyak kesan sampingan.
Jika diberi pada fasa viraemia ia boleh menggalakkan pembiakan virus berpuluh kali ganda. Pesakit boleh meninggal kerana jangkitan virus melampau.
Benar. Ahli keluarga beliau meninggal tak sempat nak dibawa ke hospital.
Itu hanya sebahagian kecil kesan sampingan satu jenis ubat. Kalau berjenis ubat?
Belum lagi masuk cerita mereka beri anti parasit. Dah berapa ramai pesakit yang tak mahu vaksin tapi ambil anti parasit, masuk ICU dalam keadaan kritikal tak juga sembuh-sembuh walau dah masuk 3 minggu.
Pesakit lain yang ambil vaksin dan tak ambil anti parasit sekejap je dah sembuh.
Anda di luar memang tak nampak. Kami yang hadap perkara sebegini setiap hari.
Itu kes yang sempat sampai ke hospital. Yang makan ubat mengarut dan tak sempat ke hospital?
Tolong jangan jadi penyumbang kenaikan kes kematian di rumah atau BID.
Dr Hana Hadzrami