1) Angkuhnya pemuda, sombongnya bila berkata, penuh dengan hasad dengki pada niat dan tuturnya dapat kita lihat dengan jelas di Persidangan Pemuda UMNO pada hari semalam.
2) Berbeza dengan Persidangan BERSATU yang lepas, kita boleh melihat pimpinan BERSATU terutamanya YAB Tan Sri Presiden BERSATU membawa mesej penyatuan kepada seluruh perwakilan BERSATU.
3) Penyatuan parti-parti politik terutamanya UMNO, PAS, BERSATU menjadi harapan besar diterjemahkan oleh YAB Tan Sri Presiden kepada ahli-ahli BERSATU supaya berpegang pada tali-tali Allah untuk menjayakan rencana besar penyatuan rakyat Malaysia khususnya Melayu Islam.
4) Mesej yang sama disuarakan oleh Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS yang sering mengucapkan ‘Perpaduan Ummah’ melalui Wacana Minda Presiden PAS di laman media sosialnya. Hatinya yang murni penuh dengan pengharapan yang tinggi ingin melihat perubahan murni dan lebih baik berlaku pada bangsanya.
5) Setiap tuturnya tidak lain tidak bukan adalah demi kebaikan ummah hari ini dan juga hari esok.
6) Malangnya, semalam kita telah melihat persidangan yang penuh dengan ‘hasad dengki’ dari Ketua Pemuda UMNO yang tanpa henti menyerang BERSATU malah turut juga menyerang PAS dengan rakus.
7) Angkuh dan sombong kata-kata Ketua Pemuda UMNO seolah-olah ‘dirasuk syaitan’ bagi menggagalkan ‘iman’ orang Islam yang mahukan penyatuan. Seolah hasad dengkinya yang mahu memporak-perandakan semangat ini seperti ingin ditanam sedalamnya dan perlu diterima pakai oleh setiap perwakilan UMNO.
8)Wahai pemuda angkuh, sedarlah bahawa YAB Tan Sri Presiden BERSATU dan Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS berdiam diri setiap kali diserang oleh sesetengah pimpinan UMNO kerana mereka memahami, agenda penyatuan ummah adalah lebih penting dan perlu dijayakan. Mereka tidak mahu ‘jambatan penyatuan’ ini rosak di tengah jalan ketika sedang dibina.
9) Kali ini, Ketua Pemuda UMNO sudah menjadi sangat melampau!
10) Dihina dan dikeji BERSATU dan PAS dengan penuh kata-kata nista di hadapan perwakilan dalam Persidangan UMNO yang terbuka seolah-olah BERSATU dan PAS tiada lagi empunya maruah!
11) Sudah tiba masanya, YAB Tan Sri Presiden BERSATU dan Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS melakukan sesuatu demi maruah parti. Sudah masanya ‘kelembutan’ hati tidak lagi diberikan kepada mereka yang sombong ini.
12) Kalau sudah berani menghina dan memijak maruah orang lain, tiada lagi pilihan yang tinggal buat mereka.
13) Pantun telah ‘dijual’ dengan kesombongan di atas pentas persidangan.
14) Oleh itu suatu tindakan yang tegas dan konkrit perlu diambil oleh Ayahanda Presiden berdua. Pantun yang angkuh telah pun dijual harus dibeli serta dibalas.
15) Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata-kata buruk padahnya.
16) Biar lipatan sejarah peristiwa ini menjadi saksi siapa yang mengagalkan rencana murni penyatuan ummah. Biar generasi akan datang tahu bahawa UMNO hari ini berjuang demi kepentingan diri mereka dan bukanlah demi kebaikan rakyat Malaysia seperti yang dilaungkan.