Tidak ada yang lebih membanggakan pihak penjajah dan kolonialis daripada mengekalkan warisan penjarahan dan perhambaan mereka ke atas negara, wilayah dan bangsa yang pernah dijajah oleh mereka.
Fort Cornwalis, Kellie’s Castle, Sekolah Henry Gurney dan dermaga Butterworth sebagai contoh hanyalah sekelumit sahaja sebutan sejarah tentang keberadaan mereka di Tanah Melayu. Demikian juga yang akan kita dapati di hampir semua tanah jajahan dan wilayah penguasaan mereka di seluruh dunia, khususnya dalam dunia Islam.
Penguasaan dan dominasi ke atas Dunia Islam menduduki tempat istimewa di sisi mereka sebagai kesinambungan kepada agenda tentera Salib yang tidak pernah meletakkan senjata mereka.
Dalam konteks di atas, saya tidak terkejut dengan kemunculan nama TIMAH pada label botol arak, yang dijulang sebagai pemenang pertandingan wiski antarabangsa bagi tahun 2021.
Seperti dijangka, pihak penganjur meremehkan bantahan umat Islam dan rakyat Malaysia dengan alasan-alasan yang terlalu bodoh. Pihak bukan-Islam (seperti biasa juga) menanggapi isu ini secara jengkel dan mentertawakan pendirian umat Islam dan pihak pemerintah, dengan memgambil jalan selamat, tidak berbuat apa-apa.
Ini bukan kali pertama episod-episod yang menyentuh sensitiviti umat Islam dibangkitkan. Setiap kali berlaku dan apabila sudah terkantoi, kita pasti akan mendengar permohonan maaf yang tidak jujur, akan dikeluarkan secara terpaksa dari pihak yang memulakannya.
Kali ini ia dipaparkan melalui pemilihan nama yang berunsurkan Melayu pada minuman keras (wiski) buatan tempatan. Pengeluar dan pengilangnya adalah syarikat tempatan yang bisnes utamanya ialah mengeluarkan minuman-minuman keras yang sudah puluhan tahun beroperasi di negara ini.
Saya tidak akan percaya (dan mustahil) kalau mereka mendakwa tidak tahu akan sensitiviti nama yang dipilih, meskipun produk atau minuman berkenaan bukan disasarkan kepada umat Islam.
Sama seperti pemilihan nama-nama produk (berasaskan makanan khususnya) yang berbunyi “Islam tetapi bertujuan untuk memperdayakan dan mempengaruhi umat Islam supaya membeli dan seterusnya menguntungkan kantung-kantung wang dan pelaburan mereka.
Kalau diperhatikan secara mendalam, strategi dan fenomena ini sangat ketara di kalangan kapitalis bukan-Melayu/Muslim dan juga syarikat-syarikat korporat mereka. Ini kerana majoriti pengguna adalah terdiri dari umat Islam dan bangsa Melayu.
Isu pemilihan nama ini bukan satu insiden yang terpencil atau secara kebetulan sahaja. Saya lebih suka menilainya dari perspektif dan sudut pandang yang berbeza sedikit.
Mereka mendakwa nama minuman tersebut “represents the enduring symbol of enterprise in Malayan history that led to cascades of development for the country at the dawn of the 20th century”.
Terjemahan bebas: Nama minuman tersebut “mewakili simbol mendalam keusahawanan di dalam sejarah Malaysia yang membawa kepada curahan tanpa henti pembangunan/kemajuan negara di permutan abad ke 20”. (Terjemahan bebas).
Dalam ertikata lain, minuman arak ini sebenarnya melambangkan simbol kejayaan penjajah dan kolonialis dalam mengeksploitasi sumber alam dan bahan-bahan mentah serta “membawa balik” semuanya ke negara asal meraka.
Sebagai balasan kepada “pengorbanan” ini, negara dan rakyat yang dijajah hanya dapat menikmati lebihan dan serpihan hasil mahsul yang berbaki atas nama kemajuan dan pembangunan fizikal, dalam keadaan anak-anak watannya sudah hilang jatidiri, terpasung dalam kitaran perhambaan jiwa dan kekosongan agenda hidup.
Isu ini hanyalah satu aspek dari suatu senario besar yang lebih luas dan kritikal – yakni agenda Normalisasi terhadap budaya mungkar – dari minuman keras kepada penerimaan dan pengiktirafan terhadap kesesatan faham Liberal, penyelewengang akidah Syi’*h, muslihat halus Kris*ianisasi dan kesongsangan El-Ji-Bi-Ti (termasuk Gender Ketiga) serta memperjuangkan kesongsangan ini sebagai satu isu hak asasi manusia.
Situasi ini lebih diburukkan dengan wujudnya anak-anak didik penjajah dan pentaksub tamadun Barat (Neo-Kolonialis) yang berperanan sebagai jurubicara, barisan pertahanan (frontliners) dan juga penggerak-penggerak Normalisasi ini di kalangan segelintir umat dan bangsa.
Tidak terlalu sukar untuk mengenali mereka- pandangan minda, budaya hidup, cara bertutur, berpakaian, makan minum dan bertingkahlaku … sangat sinonim dengan “tuan-tuan “ mereka terdahulu.
Mereka mendapat dokongan media, sokongan (dan mungkin juga dana) antarabangsa, berselindung di sebalik gerakan-gerakan sivil dan pusat-pusat kajian, memegang jawatan-jawatan kritikal dan mungkin juga terlibat dalam penggubalan dasar-dasar dan polisi-polisi negara.
Mereka inilah yang sedang menjuarai dan meneruskan agenda kolonialis dan Normalisasi pada hari ini.
Maka penentangan atau bantahan umat Islam dan bangsa Melayu perlu dibuat secara berstrategi dan berterusan, dengan mengambilkira muslihat dan ancaman Normalisasi ini terhadap kedaulatan negara dan keselamatan generasi akan datang.
Percubaan-percubaan untuk memenangkan agenda Normalisasi ini tidak akan berhenti, meskipun memakan puluhan tahun. Entiti haram Isra*l dan Gerakan Zi*nis Antarabangsa sanggup menunggu 100 tahun lebih untuk diiktiraf dan diterima oleh beberapa negara Arab/Islam, meskipun sejarahnya penubuhan dan kewujudannya penuh dengan kezaliman, penindasan, kekejaman dan perlanggaran hak-hak asasi dan undang-undang antarabangsa.
Apakah penggerak-penggerak Normalisasi terhadap kemungkaran dan kesongsangan ini akan menjadi malas, menyerah kalah atau membatalkan niat dan rancangan mereka untuk “menewaskan” umat Islam dan bangsa Melayu yang masih mampu bertahan lagi hingga hari ini?
Mereka sudah berjaya menghancurkan benteng-benteng pertahanan umat dan bangsa di negara-negara jiran sekitar. Normaliasi sedang berlaku dengan rancak dan agresif tanpa sekatan mahupun campurtangan pihak pemerintah.
Bayang-bayang ke arah Normalisasi tersebut juga sudah mula kelihatan dalam negara kita. Lebih menakutkan, ia berlaku “di siang hari” tanpa berselindung lagi dan dikepalai oleh pihak-pihak yang kita harapkan sanggup mempertahankan negara, umat dan bangsa dari ditimpa kesan akibat yang menderitakan ini.
Malangnya, mereka telah mengecewakan kita semua secara tidak bertanggungjawab, termasuk para pemimpin parti-parti politik Melayu/Islam.
Yang tinggal hanyalah kita, umat Islam dan bangsa Melayu, untuk menghadapi ancaman dan serangan Normalisasi ini dengan tulang empat kerat kita dan kudrat yang dimiliki.
Itupun kalau kita masih memiliki sekelumit saki baki kesedaran dan keinsafan …
Mohd Luttfi
Aktivis masyarakat
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.