Situasi semasa Covid-19 di Malaysia, global semakin membimbangkan

Sehingga 3 Mei 2021, kes positif Covid-19 yang direkodkan di seluruh dunia telah melonjak kepada 152 juta kes, dengan angka kematian melebihi 3.2 juta (berdasarkan statistik terkini Universiti Johns Hopkins).

Amerika Syarikat kekal melaporkan kes tertinggi di dunia (32.4 juta), diikuti oleh India (19.9 juta kes) dan Brazil (14.8 juta kes). Kebanyakan negara di dunia mencatatkan kenaikan mendadak kes jangkitan dan kematian Covid-19 walaupun sebahagian besar telah pun memulakan program imunisasi di negara masing-masing.

Kelesuan pandemik (pandemic fatigue) di seluruh dunia menjadi salah satu penyebab peningkatan kes akhir-akhir ini.

Masyarakat mulai lesu, lalu alpa dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setelah program imunisasi Covid-19 mula diperkenalkan bermula hujung tahun 2020.

Selain itu, kelonggaran beberapa perintah larangan termasuk pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi, pembukaan semula sempadan-sempadan negara, penganjuran perhimpunan beramai-ramai telah menyebabkan kes Covid-19 meningkat secara mendadak di kebanyakan negara.

Situasi ini menjadi lebih membimbangkan dengan kemunculan mutasi baharu virus SARS-CoV-2.

Situasi yang sama dapat dilihat di Malaysia sejak awal bulan April 2021. Malaysia mencatatkan pertambahan sebanyak 61,984 kes baharu dan 235 kes kematian Covid-19 dalam masa 4 minggu.

Seperti diketahui umum, peningkatan kes baharu dan kematian yang mendadak ini telah meningkatkan bebanan sektor kesihatan Negara. Susulan itu, kapasiti hospital telah ditingkatkan dan lebih ramai petugas kesihatan telah dimobilisasikan ke kawasan-kawasan wabak bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.

Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal / ICU Covid-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Berdasarkan situasi kritikal ini, pelbagai inisiatif telah dan sedang diambil oleh KKM dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan dan swasta bagi membendung penularan wabak Covid-19 menjadi lebih parah di Malaysia iaitu:

i) Survelan genomik giat dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap lebih banyak sampel kes COVID-19. Menerusi aktiviti ini sebanyak tiga (3) Variant of Concern (VOC) iaitu varian B.1.351, B.1.1.7,dan B.1.1.28 dan satu Variant of Interest (VOI) iaitu B.1.617.1 telah dikenalpasti;

ii) Kawalan sempadan Negara telah diperketatkan dengan menyekat kemasukan pengembara bukan warganegara dari India dan memanjangkan tempoh kuarantin menjadi 14 hari kepada pengembara dari negara-negara yang melaporkan penularan tempatan VOC;

iii) Kawalan sempadan daerah dan negeri diperketatkan melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara. Merentasi sempadan adalah bagi tujuan tertentu sahaja dan perlu mendapat kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum membuat perjalanan;

iv) Mempertingkatkan kapasiti hospital dan ICU;

v) Melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2;

vi) Menggiatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP dengan bantuan pelbagai agensi seperti PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dewan Bandaraya, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);

vii) Memperkasa komuniti dalam menghadapi ancaman wabak Covid-19 di seluruh negara dengan melancarkan Agen Basmi Covid-19 (ABC-19); dan

viii) Melancarkan Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia bagi merangka strategi intervensi bersasar dengan berpandukan ramalan ‘hotspot’. Intervensi yang dijalankan boleh dijalankan di lokaliti setempat, daerah, mukim, bahagian, sebahagian daripada negeri ataupun keseluruhan negeri.

Selain itu, KKM juga ingin menyeru semua penduduk Malaysia supaya bersama-sama menggalas tanggungjawab dalam membendung penularan Covid-19 di Negara kita dengan memainkan peranan masing-masing. Kita perlu bersatu padu tanpa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak dalam menghadapi ujian ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan