Sidang Parlimen boleh dibuka, ditangguh dan apa maksud ‘segera’

Pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021 yang lalu telah memberikan banyak pengalaman bagi Malaysia. Pelbagai perkara baru berkaitan sistem dan urusan pentadbiran negara telah muncul dalam beberapa dimensi. Apatah lagi darurat atas sebab pandemik Coronavirus atau Covid-19 ini diisytiharkan dalam keadaan situasi politik negara yang mempunyai beraneka ragam kerenah.

Kita tahu keadaan politik semasa proklamasi darurat ini dibuat, yang mana kerajaan mempunyai sokongan majoriti tipis seperti yang nyata bagi kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 15 Disember 2020, iaitu seramai 111 menyokong, 108 menolak dan seorang ahli Parlimen tidak hadir. Walaupun jumlah sokongan kepercayaan itu tipis, namun bukti kewujudan sokongan majoriti itu masih lagi ada. Walauapa pun, masih terdapat pandangan yang menyatakan bahawa kerajaan telah hilang kepercayaan majoriti setelah beberapa orang ahli Parlimen menyatakan tidak menyokong Perdana Menteri melalui kenyataan media.
Sementara itu, seperti yang dilaporkan media dan tersebar melalui pesanan di media sosial, terdapat usul undi tidak percaya yang telah diserahkan kepada Dewan Rakyat. Keadaan ini telah mewujudkan naratif bahawa proklamasi darurat pada 11hb Januari tersebut adalah juga mempunyai tujuan politik.

Warta Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan pada 12hb Januari 2021 menyatakan, pada perenggan pertama, “Bahawasanya beta berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan adalah diancam berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)”. Pembuka kepada Warta Proklamasi Darurat ini menjelaskan tentang sebab proklamasi darurat dibuat, iaitu bagi tujuan memerangi Covid-19.

Walaupun begitu jelas sekali tujuan proklamasi darurat ini dibuat sebagaimana dipetik di atas, masih lagi terdapat beberapa perkara yang diangkat dalam perbincangan oleh segelintir ahli masyarakat yang mempersoalkannya. Justeru, naratif yang bertiup kencang ketika ini ialah berkaitan persidangan Parlimen. Terdapat desakan daripada beberapa pihak supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri hendaklah dibenarkan bersidang.

Menurut Kenyataan Media Istana Negara bertarikh 24 Februari 2021, Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat berkuat kuasa.

Sementara itu, terbaru, pada 16 Jun 2021, Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya Parlimen hendaklah dipanggil bersidang secepat mungkin. Di bawah saya petik titah diraja melalui Kenyataan Media Istana Negara bertarikh 16 Jun 2021 untuk kita dapatkan hasrat Yang di-Pertuan Agong di sebalik titah baginda untuk persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin:

Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Beberapa persoalan berkaitan undang-undang timbul dalam beberapa perkara berkaitan persidangan Parlimen:

Adakah Parlimen boleh bersidang semasa darurat berkuat kuasa?

Jawapan saya ialah ya. Parlimen boleh bersidang. Ini kerana Perkara 150(3) memberikan indikasi yang membolehkan Parlimen bersidang, walaupun tiada peruntukan yang mewajibkan Parlimen bersidang semasa darurat berkuat kuasa. Saya merujuk kepada Fasal (3) Perkara 150 yang menyatakan:

Proklamasi Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu.

Adakah Parlimen boleh ditangguhkan?

Jawapannya juga adalah ya. Jawapan ini juga secara implikasi kerana tiada peruntukan yang jelas tentang perkara ini dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150 (2B) menyatakan: Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.

Perkara 150 (2C) pula menyatakan: (2C) Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7); dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan ordinan di bawah Fasal (2B) boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

Fasal (2B) dibaca dengan Fasal (2C) ini memberikan gambaran, atau secara implikasi bahawa, Yang di-Pertuan Agong, melalui pewartaan sebuah Ordinan, boleh mewartakan sesuatu yang pada hemat baginda adalah perlu bagi tujuan proklamasi darurat.

Justeru, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 telah diwartakan pada 14hb Januari 2021 dengan memperuntukkan pada Seksyen 14 dan 15.

Seksyen Seksyen 14 menyatakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan (iaitu dimaksudkan Perkara 55) yang berkaitan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen adalah tidak mempunyai kesan sehinggalah suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong, sepertimana yang dinyatakan dalam seksyen 14(1)(b), “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Sementara itu, Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan supaya peruntukan dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan Perlembagaan negeri atau undang-undang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah tidak mempunyai kesan, dan Dewan Undangan Negeri hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dengan adanya peruntukan yang jelas dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 ini, maka adalah jelas bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh ditangguhkan persidangannya sehingga ke suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seterusnya, masih terdapat persoalan yang berlegar dalam kalangan masyarakat tentang hal ini walaupun undang-undang (Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021) membolehkan penangguhan persidangan kedua-dua badan Perundangan (Parlimen – Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta Dewan Undangan Negeri).

Isu yang dibawa dalam persoalan ini ialah:

Adakah penangguhan persidangan Badan Perundangan ini relevan atau berkaitan dengan tujuan proklamasi darurat?

Persoalan ini timbul kerana masyarakat tidak dapat melihat rasionalisasi kenapa persidangan Parlimen ditangguh.

Namun, dari segi undang-undang, bagi menjawab persoalan ini, sekiranya dilihat kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 150(8) menyatakan seperti berikut:-

Walau apapun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini –

(a) hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan

(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan—

(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1); (ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;

(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau (iv) penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu

Fasal (8) Perkara 150 ini bermaksud menjadikan keputusan Yang di-Pertuan Agong Fasal berkenaan proklamasi darurat dan Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan darurat adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah. Justeru, Fasal (8) ini juga menafikan bidang kuasa mana-mana mahkamah untuk mendengar atau memutuskan apa-apa permohonan yang dibuat bagi menentukan kesahan mana-mana Ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) yang telah dipetik di atas.

Walau apapun, masyarakat mungkin tidak mengabaikan rasional di sebalik penangguhan atau penggantungan persidangan Badan Perundangan pada peringkat Persekutuan dan negeri ini. Sebaliknya, masyarakat tidak dapat mencari rasional pada ketetapan Warta yang menangguhkan persidangan Badan Perundangan tersebut.

Mungkin satu rasional yang dapat saya kongsikan ialah, supaya tidak lagi berlaku pergeseran, percakaran politik sehingga menjatuhkan sesebuah kerajaan, Persekutuan atau negeri. Sehingga sesebuah kerajaan itu jatuh, maka ia memberi kesan ke atas kelancaran pentadbiran kerajaan yang seterusnya akan menyebabkan ketidakcekapan pentadbiran.

Saya menyatakan rasional ini sebagai “mungkin” kerana ketetapan kepada penggantungan atau penangguhan Badan Perundangan ini tidak disebut atau tidak dihuraikan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa) Perlu tersebut.

Rasional seterusnya ialah bagi mempercepatkan urusan kerajaan membuat tindakan wajar bagi menangani hal berkaitan pandemik, seperti pindaan undang-undang berkaitan, umpamanya, seperti yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri semasa membuat perutusan yang mengandungi penjelasan terkini mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat pada 4hb Februari 2021.

Antara lain, Akta yang dipinda bagi tujuan darurat ialah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

Walau apapun, adalah tidak dapat disangkal bahawa, Parlimen merupakan institusi penting dalam demokrasi berparlimen. Ia adalah forum semak dan imbang ke atas pihak eksekutif dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Adalah juga menjadi tugas utama para wakil rakyat untuk memastikan pihak eksekutif menepati peraturan undang-undang dalam melaksanakan apa juga aspek pentadbiran negara, termasuklah hal berkaitan kewangan.

Selain daripada persoalan rasional di sebalik proklamasi darurat, terdapat juga beberapa persoalan lain yang sering diutarakan dalam kalangan masyarakat, persoalan yang berkait rapat dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara baru-baru ini.

Siapakah yang menentukan tarikh mesyuarat pertama bagi penggal ini? Adakah Yang di-Pertuan Agong atau Perdana Menteri?

Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 menyatakan: Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peruntukan ini jelas menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenan dan menetapkan suatu tarikh yang sesuai bagi persidangan Parlimen.

Adakah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat masih terpakai?

Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dibuat di bawah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan. Pada prinsip umum, semua undang-undang, termasuk Peraturan adalah masih terpakai, kecuali dinyatakan sebaliknya oleh Ordinan yang dibuat semasa darurat berkuatkuasa. Sekiranya tiada, Peraturan tersebut masih lagi terpakai. Kenyataan ini boleh disokong oleh Seksyen 17 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan:

Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, Bagi kuasa yang diberikan di bawah Ordinan ini adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh, atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa.

Namun Seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga menyatakan:

Sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselaran antara peruntukan Ordinan ini dengan mana-mana undang-undang bertulis lain, peruntukan Ordinan ini hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselarasan.

“Undang-undang bertulis” tidak diberikan definisi konklusif oleh Perlembagaan Persekutuan. Pada Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, “undang-undang bertulis” ditafsirkan sebagai termasuklah Perlembagaan ini [Perlembagaan Persekutuan] dan Perlembagaan mana-mana negeri.

Justeru, Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat juga boleh ditafsirkan sebagai sebuah undang-undang bertulis kerana ia diluluskan oleh Dewan Rakyat menurut Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya kita lihat, Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat perlu diberi perhatian, terutamanya Peraturan 11 yang menyatakan:-

11. (1) Persidangan Majlis yang mula-mula bagi tiap-tiap penggal hendaklah diadakan di tempat, pada hari dan waktu yang diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

(2) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan (1), Ketua atau Timbalan Ketua (2) Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam Penggal itu:

Tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Peraturan Peraturan 11 ini memperuntukkan tiga perkara utama iaitu (i) penentuan tempat, hari dan waktu bagi Persidangan Majis yang mula-mula bagi tiap-tiap penggal, (ii) penetapan tarikh-tarikh mesyuarat oleh Ketua atau Timbalan Ketua Majlis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan setiap penggal, dan (iii) perubahan tarikh-tarikh mesyuarat yang boleh dilakukan oleh Ketua atau Timbalan Ketua Majlis dari semasa ke semasa.

Tidak dinafikan perkara ketiga menggunakan frasa “disyaratkan” tanpa menyatakan keperluan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong. Walau bagaimanapun, perangkaian syarat tersebut dengan perkara kedua memberi tafsiran bahawa sebarang perubahan kepada tarikh mesyuarat juga perlu melalui proses diberi perkenan yang sama.

Walaupun terdapat perbezaan dari segi perincian proses penetapan tarikh mesyuarat, peruntukan Seksyen 14 Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa dan Peraturan 11 pada Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini mempunyai satu persamaan, iaitu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan untuk mengisytiharkan tarikh mesyuarat yang mula-mula atau yang pertama untuk Parlimen.

Perkara utama di sini adalah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Inti kata, peruntukan dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa) Perlu 2021 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong menentukan tempat, masa dan hari mesyuarat pertama bagi sesuatu penggal Parlimen.

Walaupun undang-undang atau Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan tentang perkenan Yang di-Pertuan Agong, beberapa proses pentadbiran akan dilalui bagi menyusun perjalanan mesyuarat dan hal berkaitannya. Sekiranya diperhatikan dalam amalan ketika keadaan biasa, iaitu keadaan tanpa darurat, amalan menentukan tarikh mula-mula mesyuarat, atau hari pertama mesyuarat serta hari-hari lain, pihak pentadbiran Parlimen, bersama dengan Menteri bertanggungjawab bagi Parlimen menentukan tarikh mesyuarat. Setelah itu, tarikh tersebut dibawa untuk perbincangan dan dipersetujui oleh Kabinet dan kemudiannya perkenan Yang di-Pertuan Agong akan diperolehi.

Suka dikongsi bahawa, penentuan tarikh persidangan Parlimen juga melalui proses pentadbiran dan mengambil kira pelbagai aspek. Mungkin proses pentadbiran ini boleh dikendurkan tanpa mengabaikan keperluan asas persidangan Parlimen, seperti keperluan teknikal dan kakitangan bertugas dari Parlimen atau kakitangan kementerian, sekiranya persidangan perlu disegerakan. Turut perlu diketengahkan bahawa, dalam sebarang keadaan yang bukan dalam keadaan darurat, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Ketua Majlis, iaitu YAB Perdana Menteri.

Apakah punca kuasa untuk Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat? Ia adalah menurut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

(1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang (1) persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Oleh itu, persoalan yang timbul adalah,

Dalam keadaan darurat, adakah amalan bertindak atas nasihat Perdana Menteri terus berkuat kuasa?

Terdapat ahli akademik yang berpendapat ya. Hujahnya ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa) Perlu 2021 tidak menafikan pemakaian Perkara 40. Justeru Perkara 40 adalah terpakai. Maka, ada yang mencadangkan supaya Yang di-Pertuan Agong memperkenan satu Ordinan lain bagi menafikan pemakaian Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Walau ap pun pandangan di atas, saya fikir, Seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) hendaklah diberikan tafsiran dan bacaan yang menyeluruh. Ini kerana seksyen tersebut menyatakan, seperti yang telah dipetik, undang-undang bertulis adalah disifatkan sebagai digantikan oleh Ordinan ini setakat mana undang-undang bertulis tersebut bercanggah atau tidak selaras dengan Ordinan.

Dengan kata lain, sekiranya terdapat “percanggahan atau ketidakselarasan”, maka peruntukan Ordinan adalah mengatasi undang-undang bertulis tersebut.

Justeru, dalam konteks pemakaian Perkara 40, adakah terdapat ketidakselarasan atau percanggahan dengan Sekyen 14(1)(b) Ordinan Darurat? Ada kemungkinan untuk ditafsirkan begitu, dan Seksyen 14(1)(b) mungkin boleh dianggap lebih tinggi daripada Perkara 40. Seperti yang telah dinyatakan, dalam amalan gerak kerja Parlimen, pada kebiasaannya pentadbiran Parlimen membuat takwim mesyuarat, yang kemudiannya dipersetujui oleh Kabinet. Seterusnya, barulah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Akhir sekali, apabila Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan supaya Parlimen bersidang secepat mungkin, maka persoalan utama yang timbul ialah:

Apakah yang dimaksudkan sebagai secepat mungkin?

Dalam konteks ini, persoalan utama ialah tentang tarikh mesyuarat pertama, walaupun mungkin juga berkaitan tarikh-tarikh mesyuarat yang lain. Saya melihat kepada perspektif tafsiran frasa yang lebih kurang sama dalam Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara Perkara 5(3) menggunakan frasa “seberapa segera” atau dalam Bahasa Inggeris “as soon as may be”. Frasa ini pernah ditafsirkan oleh mahkamah. Antara lain, terdapat keputusan kes yang menyatakan tafsiran kepada frasa “as soon as may be” tersebut sebagai:

The words ‘as soon as may be’ mean, ‘as nearly as is reasonable in the circumstances of the particular case’ … – Aminah v Superintendent of Prison Pengkalan Chepa [1968] 1 MLJ 92

“in the shortest possible time” – Ooi Ah Phua “in the shortest possible time” – Ooi [1975] 2 MLJ 198

“at the earliest possible moment” – Chong Kim Loy [1989] 3 MLJ 121

Walaupun terdapat tafsiran-tafsiran sebegini, tidak perlulah kita melihat frasa “secepat mungkin” ini dalam bentuk terlalu legalistic. Semua keputusan kes yang dipetik di atas adalah melibatkan hak orang yang ditangkap untuk diberitahu sebab atau alasan mereka ditangkap. Ia tidak melibatkan hal-hal berkaitan persidangan Parlimen.

Titah diraja Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya dibahaskan sedemikian rupa. Titah diraja tidaklah terikat dengan pemahaman perundangan semata-mata terutamanya apabila ia berkaitan dengan peringatan atau mesej untuk bacaan umum.

Dalam konteks keadaan semasa, frasa “secepat mungkin” boleh difahamkan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk memberi penekanan terhadap keperluan semasa untuk menangani kesan pandemik terhadap masyarakat umum tatkala negara dan rakyat dalam keadaan suntuk untuk kembali pulih ke kehidupan pra-pandemik.

Sebagai rumusan, terdapat dua senario yang saya boleh utarakan:

1. Apabila Parlimen tidak bersidang, rakyat mengharapkan kerajaan tetap menegakkan kedaulatan undang-undang dan apa yang penting ialah tujuan proklamasi darurat itu dicapai, iaitu pandemik ini perlu dilandaikan grafnya dan pada masa sama, kebajikan rakyat adalah terjamin.

2. Apabila Parlimen bersidang, rakyat juga mengharapkan supaya wakil-wakil mereka dapat menyuarakan hasrat rakyat dan pada masa sama, rakyat mengharapkan pemulihan negara daripada pandemik, pemulihan ekonomi, pemulihan suasana politik dan pemulihan keadaan sosial negara menjadi lebih mantap dan berkesan.

Titah Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan:-

“bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara”.

Pandangan yang telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong ini perlulah dijadikan rujukan oleh semua pihak, termasuk kerajaan, semua wakil rakyat dari pelbagai dimensi kefahaman politik dan juga rakyat sekaliannya.

Seterusnya, adalah nyata bahawa Institusi Diraja dan Badan Perundangan mempunyai peranan dalam bidangkuasa masing-masing dalam usaha menangani kemelaratan pandemik. Yang di-Pertuan Agong berperanan menetapkan tarikh mesyuarat pertama Parlimen, kerajaan berperanan mengambil langkah-langkah seperlunya untuk melindungi kepentingan menyeluruh masyarakat manakala pihak pembangkang turut berperanan untuk melaksanakan proses semak dan imbang terhadap langkah-langkah yang telah diambil serta memberikan maklum balas dan kerjasama yang sewajarnya.

Peranan-peranan ini perlu dilaksanakan menerusi keserasian dan keharmonian antara semua pihak bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia. Perlu diingatkan bahawa rakyat adalah pemerhati yang berwibawa dan kini memeriksa dengan lebih teliti setiap tindak tanduk dan tingkah laku para pemain politik.

Akhir kata, moga pancuran keadilan daripada hasil pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dapat dirasai oleh hamba rakyat pada segala pelosok negara. Insya-Allah.

Profesor Dr Shamrahayu Abdul Aziz
Pakar Perlembagaan