Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kita masih berpeluang untuk melalui bulan Ramadhan al-Mubarak 1442H pada tahun ini.
Seruan Allah untuk berpuasa di bulan Ramadhan adalah khusus untuk orang yang beriman bagi mencapai darjat yang lebih tinggi sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini iaitu daripada seorang muslim yang beriman kepada seorang mukmin yang bertaqwa.
Seruan kewajiban berpuasa di bulan Ramadhan ini meliputi semua umat manusia yang beriman merentasi batas kaum, warna kulit, kaya, miskin atau ideologi politik. Apabila kita beriman dan menyahut kewajiban berpuasa di bulan Ramadhan ini, kita dapat lihat kebersamaan umat Islam di seluruh negara dan seluruh dunia.
Kita menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa pada waktu yang sama dan berbuka puasa pada waktu yang sama.
Inilah diantara hikmah berpuasa ke atas orang-orang yang beriman. Kita dapat lihat umat Islam itu lebih ramai dah lebih luas merentasi batas negara, mazhab dan parti politik semata-mata.
Inilah semangat Penyatuan Ummah yang diperjuangkan oleh PAS. Usaha perpaduan dalam kalangan umat Islam di atas aqidah yang satu, dan cara hidup Islam yang satu.
Penyatuan ke arah melaksanakan syariat secara sepenuhnya sehingga ke peringkat bernegara dan menolak gerakan yang anti Syariat Islam, melampau di dalam perkauman sempit dan khianat amanah kuasa politik demi kepentingan kelompok serta individu-individu tertentu.
Bulan Ramadhan juga adalah bulan madrasah tarbiah untuk umat Islam ‘reset’ iman dan akhlak. Di bulan Ramadhan ini, pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka, syaitan dirantai dan pahala bagi setiap amalan dilipat gandakan.
Bulan Ramadhan telah mempersiapkan kepada kita semua umat Islam satu suasana yang kondusif (Bia’h Solehah) ibarat sebuah inkubator untuk umat Islam muhasabah kembali dan ‘reset’ cara hidup yang telah rosak selama 11 bulan sebelum ini kepada cara hidup Islam yang lebih berdisiplin bermula daripada kita bangun tidur sehingga kita melelapkan mata kembali.
Selain itu, bulan Ramadhan juga memupuk semangat bermuafakat dalam kalangan umat Islam iaitu dengan saling mengenali, memahami serta bantu membantu dalam sesama kita umat Islam.
Dengan berpuasa kita dapat merasai keresahan serta kesusahan umat Islam lain yang tidak berkemampuan untuk makan setiap waktu sepertimana kita pada hari kebiasaan.
Di bulan inilah kita dapat hayati keperitan hidup mereka yang dibuang kerja kerana Covid-19, terpaksa gulung tikar kerana Covid-19, terpaksa mencatu makanan demi anak-anak, dan terpaksa buat 3 kerja demi menyara keluarga.
Alhamdulillah di bulan Ramadhan ini kita digalakkan untuk bersedeqah dan diwajibkan membayar zakat agar kita semua dapat merasai keperitan hidup mereka (dengan berpuasa) serta berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
Inilah hikmah disebalik Ramadhan yang mesti difahami oleh kita semua. Ramadhan bukan semata-semata bulan kita tidak boleh makan dan tidak boleh minum. Ia lebih luas daripada itu dan bersifat ‘upgrade’ yang holistik kepada setiap muslim yang beriman dari sudut zahir dan batin.
Bulan Ramadhan adalah bulan taqwa, bulan keampunan, bulan ibadah, dan bulan perjuangan.
Akhir kata, saya berharap agar kita dapat menghayati dan menghargai setiap detik madrasah tarbiah Ramadhan yang kita lalui bermula daripada hari ini sehingga ke akhirnya.
Semoga Allah menerima segala amalan kita dan berjaya beroleh martabat taqwa di sisi Allah SWT.
Senator Ir Khairil Nizam Khirudin
Ahli Dewan Negara