
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu turut bersolat Jumaat di Masjid Jamek Haji Yaakob Lenga, Pagoh, semalam (9 September 2022).
Assalamualaikum wrth
Hari ini saya turun ke Pagoh bagi menyertai beberapa program sembang santai dan ramah mesra dengan penduduk di kawasan Parlimen saya.
Di Kampung Sebasu, Paya Redan saya berpeluang bertemu dengan Md Aliff Danial Muhammad Asri, 19, yang merupakan ikon pemotoran cub prix di Bengkel Motor Asri kepunyaan bapanya.
Saya kagum mendengar cerita Aliff Danial, satu-satunya pelumba dari Malaysia yang terpilih menyertai Yamaha VR46 Master Camp di Tavullia, Itali pada bulan Jun lalu.
Dia bersama empat lagi pelumba lain dari seluruh Asia berpeluang menjalani pelbagai latihan di akedemi milik Valentino Rossi itu.
Saya mengucapkan tahniah kepada Aliff Danial dan berharap kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada dia untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan selain menjadi motivasi kepada anak-anak muda lain untuk berjaya dalam bidang masing-masing.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu bergambar kenangan bersama ahli kelab permotoran Pagoh, semalam (9 September 2022).
Di kampung yang sama saya sempat bersarapan dengan penduduk setempat di Warung Salina Rossa yang turut disertai oleh kumpulan bacaan yasin dan marhaban kampung tersebut dan Kampung Tengah.
Saya sempat bertanya khabar dan menjawab pertanyaan beberapa penduduk berhubung isi-isu semasa termasuk Pilihan Raya Umum Ke-15.
Saya menjelaskan sebagai Ahli Parlimen Pagoh, Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) agenda membantu rakyat merupakan agenda nombor satu bagi parti ini.
Ini termasuk usaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kemahiran usahawan kepada orang muda dan graduan universiti.
Langkah ini perlu kerana saya sedar ramai yang terkesan dengan impak pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu termasuk golongan muda yang kehilangan pekerjaan.
Saya juga mengambil peluang menziarahi dua warga emas di kampung tersebut iaitu Haji Hasni Hamzah atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Bakar, 86, dan Puan Asmah Nasir, 80. Saya doakan mereka diberi kesihatan.
Sementara menunggu waktu untuk solat Jumaat di bersama penduduk Masjid Jamek Haji Yaakob Lenga , saya singgah sebentar di Kedai Kopi Keng Wah beramah mesra dengan pelanggan berketurunan Tionghoa di situ.
Sebelum beredar, saya menyampaikan bantuan kebajikan berupa barangan keperluan asas untuk pesakit kanser, kerusi roda dan wang tunai kepada beberapa penduduk yang tidak bernasib baik di pekan tersebut.
Saya juga menyertai jemaah Masjid Jamek Haji Yaakob Lenga dalam jamuan makan tengah hari di pekarangan masjid tersebut usai solat Jumaat.

Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu masyarakat Cina di Kedai Kopi Keng Wah, dalam lawatannya di Parlimen Pagoh, semalam (9 September 2022).
Pada sebelah petang pula, saya hadir bagi menyampaikan hadiah acara sukaneka masyarkat Orang Asli di Kampung Sentosa.
Acara sukaneka itu meriah kerana diadakan sempena majlis perkahwinan satu pasangan Orang Asli di situ.
Saya turut menunaikan permintaan masyarakat di situ untuk memiliki sebuah balai raya dengan memberi peruntukan sebanyak RM100,000 serta menyampaikan sumbangan bot dan enjin bot untuk membolehkan mereka keluar mencari rezeki di sungai.
Dalam ucapan ringkas, saya berpesan kepada masyarakat Orang Asli agar sentiasa menitikberatkan pendidikan demi masa depan generasi muda selain sentiasa menjaga kesihatan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Bekas Perdana Menteri
Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu