Selangor sudah teruk barulah MB kelam kabut

Setelah keadaan menjadi teruk dan kelam kabut, baharulah kerajaan Selangor yang ditadbir PKR mengambil langkah untuk menangani masalah Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di daerah Petaling susulan kesesakan yang berlaku di Stadium Malawati. Tapi hanya sebelah mata.

Itu pun, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika memberitahu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan ‘mungkin’ sebuah lagi CAC perlu dibuka di daerah Petaling.

Jika tidak melihat ribuan rakyat Selangor beratur panjang, di tengah terik matahari sambil menggalas beg masing-masing tidak kira tua atau muda, kerajaan negeri masih lagi belum pasti sama ada untuk membuka atau tidak CAC baharu bagi menampung keperluan.

Namun dalam pada ‘mungkin’ membuka lagi CAC untuk Petaling, Amirudin memberi alasan pula bahawa kakitangan yang terhad perlu diselesaikan kononnya untuk mempercepatkan penilaian dan rawatan.

Ketika wawancara dengan sebuah stesen televisyen malam tadi Amirudin menyuarakan pandangannya kepada Dr Noor Hisham supaya sebuah lagi CAC dibuka di daerah Petaling.

“Saya turut menyuarakan pandangan kepada mereka bahawa mungkin kita perlu membuka satu lagi CAC di daerah Petaling. Ada keperluan ia bukan hanya bangunan sahaja tetapi pegawai bertugas haruslah mencukupi.

“Kita juga mempromosikan tentang kewujudan CAC di tempat lain di mana kehadiran pesakit positif agak kurang sekitar 200 hingga 300 pada satu-satu masa,” katanya.

Apa gunanya Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor atau mereka hanya lebih mengutamakan kempen ‘menjual’ vaksin menerusi program SeLangkah, dan membiarkan Kerajaan Pusat menangani masalah kekurangan CAC.

Jika timbul masalah CAC atau kemarahan orang ramai yang terpaksa beratur panjang, pemimpin-pemimpin negeri akan menuding jari menyalahkan Kerajaan Pusat, kononnya tidak menyediakan tempat. Sedangkan Selangor negeri kaya yang mempunyai pelbagai kemudahan tidak digunakan.

Sebagaimana dimaklumkan Amirudin dalam wawancara itu bahawa keseluruhan operasi CAC dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di bawah Kementerian Kesihatan.

Kementerian Kesihatan tu bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) lah. Jadi apa-apa pun orang ramai akan marah kerajaan PN, kerajaan PKR Selangor lepas tangan.

Seperti yang berlaku dalam kes pihak berkuasa mengenakan kompaun kepada pesalah yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga.

Yang mengenakan kompaun tinggi adalah anggota pihak berkuasa, tapi orang ramai marah kepada kerajaan. Apa lagi selepas diapi-apikan oleh beberapa kerat pemimpin UMNO yang sedang berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Demikian juga pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor yang nampak kuman di seberang, tapi tak nampak gajah melintas depan mata. Begitu mudah. Tiada tanggungjawab sosial kepada rakyat sendiri.

Tok Akhi
Pemerhati politik kampung

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.