Sebentar tadi Naib Presiden PKR, Saudara Rafizi Ramli telah mengumumkan hasrat beliau untuk kembali aktif dalam arena politik, dengan membuat langkah pertama dengan menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan Parti KEADILAN Rakyat.
Pengumuman ini amat dinanti – nantikan oleh semua penyokong Saudara Rafizi Ramli dari dalam dan luar parti.
Persahabatan kami pula menjangkaui dunia politik. Terima kasih Sahabatku Rafizi Ramli kerana mempercayai silarutahim ini.
Saya merupakan salah seorang rakan dalam sebilangan yang kecil, yang telah berinteraksi dan berkomunikasi dengan beliau sejak 10 Disember 2019 iaitu tarikh pengumuman beliau untuk bercuti dari arena politik.
Sepanjang tempoh masa bercuti ini, walaupun kurang berbicara mengenai politik, beliau amat selesa berbincang mengenai masalah rakyat biasa.
Oleh sebab itu, saya yakin beliau akan pulang kerana Rafizi Ramli adalah insan yang berjiwa rakyat dan amat memahami derita rakyat biasa.
Sebelum Pilihan Raya Umum yang ke-14 yang diadakan pada 9hb Mei 2018, saudara Rafizi Ramli merupakan tunjang utama dalam membawa perubahan melalui ‘Jelajah Bina Semula Negara’. Strategi kempen beliau adalah instrumen utama dalam sejarah menjatuhkan rejim Barisan Nasional.
Hari ini, beliau membuat pengumuman bersejarah mengenai ketibaannya pada saat yang sangat genting dan kritikal, apabila beliau amat diperlukan oleh rakyat Malaysia. Karisma dan prinsip beliau untuk membantu rakyat akan mula mengubah lanskap politik di negara ini.
Dengan adanya Saudara Rafizi Ramli kembali di saat yang genting, satu perubahan memperjuangkan isu rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat amat diperlukan. Aura Saudara Rafizi Ramli akan membawa satu sinar baru untuk rakyat Malaysia.
Saya harap dengan tibanya Saudara Rafizi Ramli, satu pencorakan politik yang baru dan kebangkitan (revival) semula Parti KEADILAN Rakyat dalam usaha Selamatkan Malaysia, akan bermula dari saat ini.
Selamat Kembali Saudaraku Rafizi Ramli!
Welcome Back Brother Rafizi Ramli!
Manivanan Gowin
Timbalan Ketua Penerangan PKR
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.