Mungkin secara kebetulan atau kena tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim!
Semalam, media melaporkan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) berdepan gesaan sama diterima Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya meletak jawatan.
Tidak jauh bezanya individu yang menggesa Jokowi dan Muhyiddin berundur. Kedua-duanya adalah ‘bekas’ pentadbir. Seorang bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), manakala seorang lagi adalah bekas menteri.
Juga tidak jauh beza apabila ibu bapa masing-masing berasal dari Indonesia. Hanya tempat dan keturunan sahaja berlainan. Seorang dari Wates, Kulon Progo, Yogyakarta (bapa) dan ibu pula dari Ponorogo, Jawa Timur.
Manakala seorang lagi dari keturunan Melayu Padang, di Sumatera Barat.
Di Indonesia, semalam, bekas Menteri Kewangannya, Rizal Ramli secara terbuka menggesa Jokowi berundur segera. Kenyataan dibuat sehari selepas bekas TPM yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat gesaan sama terhadap Perdana Menteri.
Persamaan alasan juga hampir sama.
Rizal mendakwa Jokowi gagal menangani pandemik Covid-19 yang menular dengan hebat di Indonesia – negara republik yang mempunyai jumlah penduduk keempat tertinggi di dunia.
Jokowi sudah kehabisan idea dan akal untuk memacu pentadbiran Indonesia terutama dengan keadaan pandemik bukan saja tidak berkesudahan, sebaliknya bertambah parah.
“Lebih baik Jokowi letak jawatan dengan cara terhormat,” kata Rizal yang berpendapat Jokowi perlu memberi laluan kepada pemimpin lain yang lebih berkeupayaan untuk menerajui dan mengemudi republik itu
Demikian juga di negara kita. Mungkin secara kebetulan persamaan yang berlaku itu.
Zahid pada awal pagi Khamis mengumumkan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, juga memberi alasan kegagalan kerajaan, termasuk dalam menguruskan pandemik Covid-19.
Sehinggakan orang terjun bangunan atau jambatan pun kerajaan juga dipersalahkan. Sedangkan semua orang tahu apabila berlaku wabak di sesuatu tempat hingga menjadi pandemik, tempat itu perlu ditutup. Penutupan pastinya akan memberi kesan kepada ekonomi dan sosial.
Namun jika ada persamaan antara kedua-duanya dalam menggesa Presiden dan Perdana Menteri berundur dan tarikhnya juga selang sehari, mungkin cikgu kepada Zahid, Anwar yang juga Presiden PKR, boleh menjawab.
Zahid mungkin tidak kenal pakar ekonomi Indonesia itu, tapi Anwar ‘lebih mesra’ dengan Rizal. Bukan sahaja masing-masing pernah bertemu di Jakarta pada 2018, tetapi sikap kedua-duanya sama.
Mereka berkeyakinan bahawa reformasi mampu memajukan kedua-dua negara, selain sama-sama meminati Willibrordus Surendra Broto Rendra atau WS Rendra (meninggal 6 Ogos 2009), sasterawan terkenal Indonesia.
Perlu diingat ketika Anwar dilucutkan jawatan sebelum ditangkap, beliau melaungkan reformasi. Laungan dimulai di Masjid Negara pada 20 September 1998 sehingga gema suaranya turut menjalar di Jakarta.
Tindakan Zahid dan seorang dua penyokongnya terutama bekas PM, Datuk Seri Najib Razak, dibalas dengan tepukan tangan dan senyuman panjang Anwar yang sejak sekian lama mengidam kerusi PM. Blok pembangkang pun menyokong dengan harapan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengangkat ketua mereka menjadi PM.
Anwar dan pembangkang turut melaungkan kerajaan gagal dalam menangani pandemik Covid-19. Susulan keputusan Zahid menarik diri, Anwar dan blok pembangkang gembira kerana mereka yakin kerajaan PN sekarang tidak mendapat majoriti.
Tetapi rakyat sudah tahu permainan kotor siapa yang telah memujuk MP UMNO untuk menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong Anwar.
Jika begitulah sikap ketiga-tiganya, atau sekiranya di setiap negara di dunia ini mempunyai sikap seperti Zahid, Anwar dan Rizal, pemimpin seluruh dunia kena letak jawatan hanya kerana gagal menangani Covid-19.
Sedangkan pakar-pakar lebih hebat daripada mereka telah menasihatkan penduduk supaya menjaga diri masing-masing daripada ancaman virus itu. Dan, pada masa sama kerajaan seluruh dunia berusaha menangani penularan Covid-19.
Atau mungkinkah Zahid akan mendakwa mutasi varian Delta yang dianggap paling berbahaya dan mula ditemukan di India, juga salah kerajaan PN?
Tok Akhi
Pemerhati politik kampung
p/s:
Cuma yang berbeza ialah Rizal tidak pernah diheret ke mahkamah atas tuduhan jenayah.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.