Teks ucapan dasar Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Konvensyen Perikatan Nasional 2022
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
1. Apa khabar semua? Saya doakan semoga saudara dan saudari sekalian sihat wal’afiat dan sentiasa berada di dalam limpah rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.
2. Pertamanya, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia dan izin-Nya jua kita dapat berhimpun di pagi yang berbahagia ini dalam Konvensyen Perikatan Nasional sempena sambutan ulang tahun Perikatan Nasional yang kedua.
3. Kelahiran Perikatan Nasional dalam persada politik tanah air dua tahun yang lalu adalah dalam keadaan yang luar biasa. Perikatan Nasional terbentuk dalam situasi negara sedang berhadapan dengan krisis politik, ekonomi dan kesihatan yang tidak pernah terjadi di negara kita sebelum ini.
4. Atas kesedaran untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dengan tujuan untuk membawa negara kita keluar daripada suatu krisis yang belum pernah dialami – atau suatu unprecedented crisis – maka Kerajaan Perikatan Nasional dibentuk pada 1 Mac 2020 dengan didokong oleh Ahli-Ahli Parlimen dari pelbagai parti politik iaitu BERSATU, PAS, BN, GPS, PBS dan STAR Sabah.
5. Ahli-Ahli Parlimen daripada parti-parti ini telah membentuk majoriti di Parlimen dan dengan kepercayaan Ahli-Ahli Parlimen ini saya telah dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional.
6. Saya ingin rekodkan di sini penghargaan saya kepada parti-parti politik dan Ahli-Ahli Parlimen yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui Kerajaan Perikatan Nasional walaupun untuk suatu tempoh yang singkat.
Sejarah penubuhan Perikatan Nasional
7. Di awal ucapan saya ini, izinkan saya rakamkan sejarah penubuhan Perikatan Nasional supaya ia diketahui oleh semua ahli parti-parti anggota Perikatan Nasional dan rakyat seluruhnya. Rakaman sejarah ini penting untuk dijadikan rujukan dan panduan bagi semua pendokong Perikatan Nasional pada masa kini dan akan datang.
8. Selepas kerajaan Perikatan Nasional terbentuk, saya mengemukakan cadangan supaya sebuah gabungan parti-parti politik yang dikenali sebagai Perikatan Nasional ditubuhkan. Gabungan ini dianggotai oleh parti-parti yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional. Tujuannya ialah supaya kerajaan Perikatan Nasional menjadi lebih kukuh dan stabil dengan adanya dokongan daripada semua parti yang berada di dalam sebuah gabungan parti-parti politik yang membentuk kerajaan.
9. Susulan itu, pada tanggal 17 Mei 2020 suatu Memorandum Persefahaman Perikatan Nasional telah ditandatangani oleh semua pucuk pimpinan parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional iaitu BERSATU, PAS, BN, GPS, dan STAR Sabah.
10. Memorandum Persefahaman ini menggariskan beberapa perkara utama yang menjadi asas persefahaman antara part-parti politik yang menjadi pihak kepada memorandum ini iaitu:
11. Pertama, perlunya suatu gabungan parti-parti politik dibentuk sebagai wadah untuk memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukunegara dan menjamin kebajikan dan kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa;
12. Kedua, gabungan parti-parti politik ini hendaklah bergerak seiring dan sepakat dalam memastikan suatu bentuk pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri yang baik, inklusif serta bertaraf dunia yang menjurus ke arah menjaga dan memastikan kebajikan, kepentingan, kemakmuran dan keharmonian rakyat dipelihara dan dipertingkatkan serta menjamin kemajuan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan negara;
13. Ketiga, memperkukuhkan semangat perkongsian dan kekitaan Malaysia di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung demi untuk merealisasikan aspirasi dan matlamat Perjanjian Malaysia 1963.
14. Keempat, memperkukuh dan memperkasa agenda perpaduan kaum, keharmonian agama dan budaya di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara; dan
15. Kelima, gabungan parti politik ini hendaklah diperkukuhkan menerusi amalan musyawarah dan konsultasi berlandaskan kepada sikap dan sifat saling hormat-menghormati atas kepelbagaian agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
16. Demi mencapai kesemua cita-cita dan aspirasi ini, semua pimpinan parti-parti politik yang saya sebutkan telah menurunkan tandatangan di atas dokumen Memorandum Persefahaman Perikatan Nasional sebagai tanda mempersetujui pembentukan sebuah gabungan parti-parti politik yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional.
17. Namun begitu, Perikatan Nasional sebagai sebuah parti politik tidak tertubuh sehinggalah BERSATU, PAS dan STAR Sabah bersetuju untuk menjadi anggota pengasas parti Perikatan Nasional yang didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020. Parti SAPP dan GERAKAN kemudiannya memohon untuk menjadi parti anggota Perikatan Nasional dan telah diterima kemasukannya oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional masing-masing pada 19 Ogos 2020 dan 11 Februari 2021.
18. Parti BN, GPS dan PBS walau bagaimanapun memilih untuk tidak menyertai parti Perikatan Nasional, tetapi terus kekal berada di dalam Kerajaan Perikatan Nasional dengan mempunyai wakil-wakil di dalam kabinet.
19. Dengan tertubuhnya parti Perikatan Nasional dan penerusan persefahaman politik dengan parti-parti lain yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pada masa itu, maka terhasillah kestabilan politik yang membolehkan Kerajaan Perikatan Nasional memberi tumpuan kepada usaha untuk menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat.
20. Walaupun begitu, saya tidak nafikan wujud banyak gangguan politik sepanjang saya menjadi Perdana Menteri yang saya fikir saudara dan saudari pun tahu. Tetapi saya ketepikan semua itu dan menetapkan pemikiran dan jiwa saya hanya kepada usaha-usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat daripada ancaman Covid-19 dan membantu mereka meringankan beban kehidupan yang amat sukar pada masa itu.
21. It is all about saving the lives of the people and bringing food to their table with no one being left behind. It struck my mind that the Almighty God must have thrusted me into the position of Prime Minister during the most difficult of times with one single mission – that is to help the people overcome all the hardships and lead the nation in unprecedented crisis. That is why, despite a barrage of political attacks against me personally, I set my mind and my soul only on helping the people and steer the country clear from the Covid-19 pandemic and revive the economy.
22. Saya tidak perlu mengulas panjang mengenai gangguan-gangguan politik terhadap saya dan Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini. Cukulah saya katakan bahawa gangguan-gangguan ini berlaku semata-mata kerana saya selaku Perdana Menteri pada waktu itu tidak mahu tunduk kepada kehendak beberapa pihak yang sekiranya saya layan, saya terpaksa menggadaikan prinsip integriti semata-mata untuk mengekalkan kuasa. Saya tidak mahu memilih jalan itu kerana saya tahu itu adalah jalan yang salah.
23. Sebagai seorang Islam, setiap kali solat kita akan membaca surah Al-Fatihah yang di dalamnya ada firman Allah s.w.t:
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)
Yang bermaksud:
Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, Bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
24. Saya ingin berada di jalan yang lurus, bukan di jalan orang-orang yang sesat dan dimurkai Allah.
25. Ada orang berseloroh dengan saya. Sebab saya jalan luruslah mudah orang langgar saya. Kalau saya jalan bengkang-bengkok mungkin susah sikit orang nak langgar. Namun bagi saya manusia boleh langgar saya, tetapi saya takkan langgar perintah Allah s.w.t. Ini kerana hidup kita ini hanyalah sementara. Pengakhirannya, kita semua akan berhadapan dengan pengadilan Allah s.w.t. di akhirat. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 185:
كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ
Yang bermaksud:
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Dua prinsip asas Perikatan Nasional: Prihatin rakyat dan integriti
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
26. Kalau saya boleh sebutkan, ada dua prinsip utama perjuangan Perikatan Nasional. Pertamanya ialah PRIHATIN RAKYAT dan keduanya ialah INTEGRITI. Inilah dua prinsip yang mungkin agak sukar untuk kita temui dalam dunia politik yang penuh pancaroba pada hari ini.
27. Berdasarkan dua prinsip ini, kita berada di dalam Perikatan Nasional bukan untuk kepentingan politik peribadi, tetapi untuk membela kebajikan rakyat dan memajukan negara menerusi kepimpinan dan pentadbiran yang beramanah dan berintegriti. Kita mesti meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi. We in Perikatan Nasional must put the people and the country first before self.
Saudara dan saudari,
28. Cuba kita secara ikhlas bertanya kepada diri kita sendiri, adakah ini dua prinsip yang menjadi sebab keberadaan kita di dalam wadah Perikatan Nasional ini. Kalau jawapannya ya, Alhamdulillah, kita berada di landasan yang betul, di jalan yang lurus – al-siratal mustaqim. Kalau jawapannya tidak, eloklah kita bermuhasabah sehinggalah ditemui jalan yang lurus itu.
29. Kerana itu, dalam konvensyen pada hari ini, jangan kita berbincang soal diri kita sendiri, atau puak kita sendiri, atau kabilah kita sendiri. Jangan kita bicara apa aku dapat, apa puak aku dapat, apa kabilah aku dapat. Tetapi marilah kita bersama-sama memikirkan apa tawaran kita kepada rakyat. Fikir permasalahan rakyat. Suarakan rasa hati rakyat. Cari jalan penyelesaian untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat supaya kita di dalam Perikatan Nasional ini benar-benar menjadi jurubicara rakyat yang PRIHATIN akan permasalahan dan keperluan mereka.
30. Marilah kita berbincang, bermusyawarah, bertukar pandangan, bagaimana untuk menjadikan prinsip INTEGRITI sebagai landasan utama yang memandu perjalanan parti serta pengurusan dan pentadbiran negara. Kerana kita di dalam Perikatan Nasional ini mewakili suara dan rintihan puluhan jutaan rakyat di luar sana yang sudah muak, sudah jelik dan benci dengan amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang meninggalkan banyak titik hitam dalam sejarah negara kita, yang bukan sahaja merobek kantung negara malah mencalar imej watan kita di mata dunia.
31. Kerana itu, kedua-dua prinsip ini menjadi asas pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional. Ketika Perikatan Nasional mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada bulan Mac 2020, saya faham dua masalah utama yang dihadapi oleh rakyat pada waktu itu ialah Covid-19 dan ekonomi. Bagaimana rakyat nak selamatkan nyawa mereka dan keluarga mereka daripada ancaman Covid-19 dan menampung pendapatan yang terjejas akibat pandemik.
32. Jadi, saya berikan dua standing instruction yang penting kepada Menteri-Menteri dalam kabinet saya. Satu kepada YB Khairy Jamaluddin Menteri MOSTI pada masa itu yang jaga vaksin, beli mana-mana vaksin yang ada dan segerakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan supaya semua penduduk negara ini mendapat vaksin. Hasilnya pada hari ini hampir 100% populasi dewasa di Malaysia telah menerima suntikan vaksin, kes-kes Covid-19 telah menurun dengan amat ketara dan kita semua dapat menjalani kehidupan hampir seperti biasa.
33. Satu lagi standing instruction saya ialah kepada YB Menteri Kewangan. Carilah mana-mana sumber kewangan yang ada untuk kita sediakan bantuan kepada rakyat supaya rakyat dapat terus menjalani kehidupan dalam waktu yang sukar. Hasilnya, lapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM530 bilion dapat kita sediakan. Ini adalah pakej bantuan rakyat yang paling besar dalam sejarah negara kita.
34. Ini yang kita lakukan untuk rakyat atas dasar prihatin kita terhadap nasib mereka.
35. Sekadar perbandingan, baru-baru ini saya lihat satu video yang viral tentang ucapan Pengerusi Barisan Nasional di Konvensyen BN Selangor. Dia bagi arahan kepada Menteri Kewangan – “jangan ambil kesempatan, tapi ambillah mana yang sempat!” Dia sebut ini secara serius dan disambut dengan gelak ketawa oleh para hadirin. Seolahnya semua yang hadir faham apa maksud dia.
36. Ya, saya pun faham maksud dia dan saya fikir saudara dan saudari pun faham apa maksudnya. Tak perlu saya terangkan.
37. Saudara-saudari, inilah beza Perikatan Nasional dan Barisan Nasional. Saya beri arahan kepada Menteri Kewangan supaya cari duit untuk diberikan kepada rakyat yang susah. Pengerusi Barisan Nasional arah Menteri Kewangan supaya kaut apa yang ada selagi sempat untuk kepentingan suku-sakat mereka.
38. Jadi, walaupun Perikatan Nasional dan Barisan Nasional namanya hampir sama, tetapi bezanya jauh ibarat langit dan bumi. Saya harap para pengundi jangan salah memilih dalam PRU 15 nanti. Pilih Perikatan Nasional, bukan Barisan Nasional.
Dasar ekonomi prihatin rakyat
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
39. Yang penting ialah apa situasi negara kita pada masa ini dan apa haluan kita di masa hadapan.
40. Dari segi ekonomi, saya percaya asas-asas ekonomi negara kita masih kukuh. Misalnya, Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan yang menarik bagi para pelabur di peringkat global. Saya nak ucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan MITI atas kejayaan Malaysia menarik sejumlah RM309.4 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri utama pada tahun 2021. Pada separuh pertama tahun ini, pelaburan berjumlah RM99.2 bilion telah diluluskan dalam sektor-sektor ini.
41. Sejak ekonomi dunia dibuka semula selepas pandemik, jumlah dagangan antarabangsa Malaysia juga telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Sehingga Julai tahun ini, dagangan antarabangsa Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 29.9%, iaitu mencecah RM1.61 trillion.
42. Ekonomi negara kita juga telah berkembang sebanyak 8.9% pada suku kedua 2022 yang sebahagiannya adalah hasil daripada pelaksanaan pelbagai Pakej Rangsangan ekonomi sebelum ini. Ini menunjukkan kegiatan ekonomi juga semakin kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik dan sempadan negara dibuka semula.
43. Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, saya menyambut baik petunjuk-petunjuk yang positif ini. Namun begitu, masih terdapat perkara-perkara penting yang perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan dalam memacu pemulihan ekonomi negara yang lebih tangkas dan mapan.
44. Misalnya, pertumbuhan ekonomi negara kita banyak dipacu oleh sektor pembuatan, manakala sektor-sektor lain masih menunjukkan prestasi pertumbuhan yang agak perlahan. Sektor pembinaan sebagai contoh, walaupun telah menunjukkan sedikit penambahbaikan, namun masih mengalami penguncupan.
45. Laporan Statistik Pembinaan Suku Tahun Pertama 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan nilai kerja pembinaan menguncup 6.1 peratus kepada RM29.5 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun lepas. Sektor ini juga masih menghadapi cabaran untuk mendapatkan tenaga kerja yang diperlukan selain kini berhadapan dengan kenaikan harga bahan binaan seperti bar keluli, simen, batu baur, pasir dan batu bata. Cabaran-cabaran ini pastinya memberikan tekanan yang hebat kepada kontraktor-kontraktor kecil, terutamanya kontraktor Bumiputera. Oleh yang demikian, penyelesaian segera perlu dikenal pasti bagi membendung masalah yang sedang dihadapi oleh sektor ini daripada terus meruncing.
46. Majlis Pemulihan Negara dalam mesyuaratnya yang lalu telah mendengar pembentangan oleh Kementerian Kerja Raya mengenai cabaran dan langkah ke hadapan bagi pemulihan dalam sektor pembinaan di negara ini dan bersetuju dengan syor-syor pihak kementerian untuk mengatasi masalah kenaikan kos bahan pembinaan, termasuk barangan elektrik dan elektronik yang menjadi sebahagian daripada kos projek, serta menangani dengan segera masalah kekakangan tenaga kerja di dalam sektor ini.
47. Selain itu, isu utama yang terus mengekang kehidupan rakyat ialah kos sara hidup yang tinggi dan pendapatan isi rumah yang rendah. Kesan daripada pandemik Covid-19, ramai yang telah jatuh miskin. Menurut Laporan Anggaran Pendapatan Isirumah dan Insiden Kemiskinan 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, 20 peratus isirumah dari kumpulan M40 yang berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 sebulan telah jatuh ke kumpulan B40. Isirumah kumpulan T20 yang berpendapatan lebih RM10,959 sebulan juga terkesan dengan pandemik Covid-19 di mana 12.8 peratus isirumah dari kumpulan ini telah beralih ke kumpulan M40. Berdasarkan kajian ini, jumlah isirumah miskin telah bertambah daripada 405.4 ribu pada tahun 2019 kepada 639.8 ribu pada tahun 2020.
48. Kajian terkini oleh sebuah badan pengkaji bebas, Mindshare, juga menunjukkan kumpulan B40 tidak menjadi B40 lagi kerana kumpulan ini telah membesar kepada 61 peratus. Jadi sekarang ini kumpulan kelas pendapatan terkebawah B40 telah menjadi B60. Manakala kumpulan kelas pendapatan teratas iaitu T20 telah menyusut kepada 18 peratus dan kumpulan kelas pendapatan pertengahan yang disebut sebagai M40 telah menurun kepada 14 peratus. Terdapat 7 peratus yang kumpulan pendapatannya tidak dapat dikenalpasti.
49. Pendapatan isirumah rakyat yang menyusut adalah suatu isu besar yang perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan. Oleh kerana pendapatan yang menyusut inilah, kesan kenaikan harga barang dan inflasi amat dirasai oleh rakyat. Walaupun petunjuk-petunjuk ekonomi membayangkan kedudukan ekonomi negara semakin pulih, namun ianya masih belum dapat dirasai secara nyata oleh sebahagian besar rakyat yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik Covid-19.
50. Oleh sebab itu, dalam satu kajian yang dijalankan oleh Merdeka Centre for Opinion Research pada bulan Mac hingga April 2022, sentimen rakyat terhadap kerajaan dan hala tuju negara tidak berada pada kedudukan yang positif. Hanya 31 peratus responden menyatakan negara kita mempunyai hala tuju yang betul dan 36 peratus berpuas hati dengan pengurusan ekonomi oleh kerajaan. Manakala hanya 31 peratus responden menyatakan keadaan kewangan isi rumah mereka adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Manakala 46 peratus mengatakan keadaan kewangan isirumah mereka lebih teruk berbanding tahun sebelumnya dan 24 peratus menyatakan tiada perubahan.
51. Sentimen ini adalah cerminan rasa hati sebahagian besar rakyat yang disokong oleh data-data mengenai pendapatan isi rumah yang kian menyusut dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
52. Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan. Walaupun ekonomi negara telah dibuka semula pasca pandemik, masih ramai yang memerlukan sokongan dan bantuan kerajaan untuk bangun semula. Ada peniaga kecil yang memerlukan bantuan modal untuk memulakan perniagaan. Ada pengusaha yang memerlukan bilangan pekerja yang mencukupi untuk menjalankan operasi perusahaan. Ada pekerja yang kehilangan pekerjaannya yang asal dan terpaksa mencari pekerjaan baharu dengan upah yang lebih rendah. Ramai keluarga yang walaupun mempunyai pendapatan, tetapi tidak mampu menampung keperluan harian kerana kos barangan dan perkhidmatan yang meningkat.
53. Dengan pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka berkembang lebih perlahan pada tahun hadapan, saya menjangkakan tekanan ke atas kehidupan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, akan menjadi lebih meruncing.
54. Justeru, selaras dengan prinsip PRIHATIN RAKYAT, Perikatan Nasional menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera untuk menangani masalah ini. Tumpuan mesti diberikan kepada penyediaan pakej bantuan yang komprehensif dan bersasar kepada golongan yang memerlukan dan merangka tindakan yang lebih komprehensif untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan menstruktur semula ekonomi negara.
55. Saya mencadangkan supaya sebuah agensi sehenti (one-stop centre) khusus diwujudkan untuk mengumpul data mengenai individu dan isirumah yang benar-benar memerlukan bantuan serta menyelaras segala bentuk bantuan yang hendak disalurkan. Agensi ini boleh mengambil model Centrelink yang dilaksanakan di Australia dalam mengurus penyaluran bantuan kepada penerima yang layak. Suatu sistem semakan kelayakan penerima bantuan dan penyaluran bantuan yang cekap, cepat dan seragam boleh diwujudkan untuk memastikan tiada pertindihan penerima bantuan dan tiada seorang pun yang layak menerima bantuan tercicir daripada menerimanya. Dengan cara ini sumber kewangan kerajaan dapat dioptimakan di samping memastikan no one is left behind.
56. Kerajaan membelanjakan lebih RM 70 bilion setahun dalam bentuk subsidi. Jumlah ini kian meningkat saban tahun dan tidak mapan untuk jangkamasa yang panjang. Justeru, suatu bentuk penyaluran subsidi yang lebih bersasar perlu diwujudkan untuk memastikan subsidi kerajaan dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan, tiada ketirisan dan tiada seorang pun yang ketinggalan.
57. Menerusi penyaluran subsidi yang lebih bersasar, sistem bantuan rakyat yang lebih seragam dan pengurusan kewangan kerajaan yang lebih optima, beberapa bentuk bantuan baharu juga boleh diwujudkan. Misalnya, bantuan sewa rumah kepada kumpulan miskin bandar untuk memastikan setiap individu dan keluarga di negara ini mempunyai tempat untuk berteduh di samping mengatasi masalah gelandangan. Selain itu, bantuan penjagaan anak atau child care juga boleh diberikan kepada isirumah berpendapatan rendah atau ibu tunggal untuk membolehkan golongan wanita yang mempunyai anak kecil keluar bekerja bagi meningkatkan pendapatan.
58. Selain itu, pelbagai bentuk bantuan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran khususnya untuk golongan muda yang sedang mencari pekerjaan juga mesti diberikan keutamaan.
59. Kita tahu isu pendapatan rakyat yang tidak meningkat adalah berkait dengan masalah struktur ekonomi negara. Sejak sekian lama, negara kita bergantung kepada industri intensif buruh dengan nilai ditambah yang rendah dan gaji yang kecil. Untuk mengatasi masalah ini, negara kita perlu segera beralih kepada industri berteknologi tinggi dengan nilai ditambah yang lebih tinggi dan tawaran gaji yang lebih lumayan. Walaupun usaha ini telah dimulakan, namun hasilnya masih belum dapat dilihat secara ketara. Justeru, suatu daya usaha yang lebih terfokus, pantas dan tangkas mesti digembeleng dengan melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan industri untuk memastikan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 di negara ini berlaku dengan lebih deras.
60. Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara kita juga perlu menjalani proses transformasi. PMKS di negara kita tidak boleh terus berada di takuk lama. Lebih 90 peratus perusahaan di Malaysia berstatus PMKS tetapi hanya menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
61. Ini menunjukkan terdapat jurang besar yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan untuk meningkatkan daya saing PMKS terutamanya dalam meningkatkan nilai ditambah khususnya melalui penguasaan automasi dan pendigitalan. Rantaian nilai dalam PMKS mesti ditingkatkan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi (high income jobs) kepada rakyat Malaysia.
62. Kerajaan juga perlu mengambil serius tentang peratusan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK atau CEGDP negara yang masih rendah. Komponen pendapatan yang terkumpul hasil daripada pengeluaran iaitu pampasan pekerja hanya menyumbang 34.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2021, iaitu merosot 2.3 peratus berbanding 37.1 peratus pada tahun 2020. Ini bermakna pekerja di negara kita secara umumnya menerima upah yang lebih rendah dengan tahap produktiviti yang juga rendah. Jika trend ini berterusan, sasaran 48 peratus CEGDP pada tahun 2030 seperti yang ditetapkan di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 masih jauh untuk dicapai.
Transformasi politik bebas rasuah dan berintegriti
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
63. Untuk melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan gagah, Malaysia perlu mempunyai suatu ekosistem budaya, politik dan pengurusan kerajaan yang bebas rasuah dan berintegriti. Pengalaman lalu mengajar kita bahawa budaya politik yang dilingkari amalan rasuah merupakan suatu kemungkaran yang rosak lagi merosakkan.
64. Amalan “ambil apa yang sempat” atau “rembat apa yang dapat” atau “sakau-menyakau” tidak boleh menjadi budaya dalam Perikatan Nasional. Ini budaya yang salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat. Amalan ini jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun.
65. Saya ingin memetik tulisan YBhg Prof Tan Sri Muhammad Kamal Hassan, seorang sarjana Islam yang dihormati, di dalam bukunya “Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation”. Beliau mengutarakan pandangan bahawa fenomena rasuah politik dan hipokrisi yang menyebabkan kejatuhan pemimpin politik Melayu-Islam dan membawa keaiban kepada ummah di Malaysia akan berterusan kecuali ada, saya petik tulisannya dalam bahasa Inggeris:
First, a major transformation of Muslim political culture, parties and behavior based upon a holistic and overarching ideology that is not based on valorisation of racial origin, ethnicity or language.
Second, a new breed of leaders …. who would be the main drivers for the process of transformation.
Apa yang beliau maksudkan dengan “a holistic and overarching ideology that is not based on valorisation of racial origin, ethnicity or langauge” ialah “the worldview of Tawhid”, iaitu kepercayaan kepada ke-Esaan Allah s.w.t.
66. Profesor Muhammad Kamal Hassan memberikan pandangan yang kritis tetapi jujur mengenai amalan rasuah politik terutamanya dalam kalangan pemimpin Melayu-Islam di Malaysia. Beliau tidak mengatakan rasuah tidak berlaku dalam kelompok ahli politik bukan Melayu-Islam, tetapi tumpuan beliau ialah bagaimana untuk memulihkan budaya dan amalan rasuah yang membarah dalam parti politik Melayu-Islam.
67. Saya bersetuju dengan banyak pandangan beliau di dalam buku ini yang wajar dijadikan bacaan wajib oleh setiap ahli parti anggota Perikatan Nasional dalam usaha untuk mewujudkan budaya politik yang bebas rasuah dan berintegriti. Caranya ialah kembali kepada asas keimanan dan ketuhanan. Do what Allah says is right, not what we think is right. Ingat bahawa Allah s.w.t. sentiasa memerhati perbuatan kita. Ingat bahawa hidup kita di dunia ini hanyalah sementara. Walaupun seseorang yang melakukan amalan mungkar mungkin boleh terlepas hukuman di dunia, tetapi mahkamah keadilan di akhirat adalah sesuatu yang pasti. Ini prinsip yang paling asas dalam mewujudkan budaya dan amalan politik yang bebas rasuah dan berintegriti dalam sesebuah parti politik, masyarakat dan negara.
68. Transformasi budaya politik yang bebas rasuah mesti bermula dari diri kita sendiri dan di dalam parti kita sendiri. Jika dilihat dari sudut yang positif, Perikatan Nasional adalah sebuah gabungan parti politik yang baharu. Kita berpeluang untuk memupuk dan membina budaya politik baharu yang berlandaskan kepatuhan kepada nilai-nilai agama, moral dan etika untuk mewujudkan sebuah budaya politik yang sihat, bebas rasuah dan berintegriti.
69. Saya tahu PAS mempunyai sistem tarbiyyahnya yang tersendiri. Begitu juga BERSATU, sebagai sebuah parti yang baharu, kita telah memulakan siri-siri latihan untuk menerapkan dalam kalangan ahli-ahli suatu sistem nilai yang murni yang mesti menjadi panduan dalam menentukan sikap dan tatakelakuan ahli. Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang lalu, saya telah meminta YBhg Tan Sri Radzi Syeikh Ahmad, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, supaya menggubal buku etika ahli BERSATU sebagai kitab rujukan setiap ahli mengenai panduan etika dan moral sebagai ahli BERSATU. Walaupun kita telah ada kod etika ahli, tetapi buku ini akan memperincikan setiap kod etika itu dari segi hubung kaitnya dengan nilai agama dan moral yang mesti dijadikan panduan oleh setiap ahli. Saya percaya parti GERAKAN, STAR dan SAPP juga mempunyai panduan etika dan moral untuk setiap ahli.
70. Saya mahu subjek transformasi politik yang bebas rasuah dan berintegriti ini menjadi agenda utama Perikatan Nasional yang boleh dibahas dengan lebih lanjut di dalam konvensyen ini dan dikemukakan syor-syor untuk diteliti oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional dan diambil tindakan susulan.
71. Saya sedar bahawa terdapat garis pemisah yang amat kabur antara pendanaan politik dan rasuah. Justeru, dalam usaha untuk melaksanakan transformasi politik bagi mewujudkan budaya politik yang bebas rasuah dan berintegriti, saya berpandangan sebuah Akta Pendanaan Politik wajar digubal. Sebuah jawatankuasa di peringkat Perikatan Nasional boleh ditubuhkan untuk mengkaji cadangan ini dengan lebih terperinci sebelum dikemukakan kepada kerajaan.
72. Saya juga memerhatikan perkembangan yang positif mutakhir ini berhubung kebebasan badan kehakiman di negara kita. Beberapa dekad yang lalu, kebebasan badan kehakiman di Malaysia merupakan suatu topik yang hangat dibicarakan di dalam negara dan di luar negara. Dalam tahun-tahun 80-an, pernah berlaku krisis yang serius antara badan eksekutif dan badan kehakiman di negara kita. Kebebasan badan kehakiman dipersoalkan oleh sebab wujud dakwaan campurtangan oleh badan eksekutif dalam urusan mahkamah.
73. Namun, selepas itu telah berlaku perubahan-perubahan yang positif berhubung kebebasan badan kehakiman di negara kita. Hakim-hakim dilindungi oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan dalam menjalankan tugas dan fungsi mereka menegakkan keadilan.
74. Sebagai sebuah parti yang bertunjangkan integriti sebagai landasan perjuangan, adalah menjadi prinsip Perikatan Nasional untuk menjunjung kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara. Tidak adil bagi mana-mana parti politik untuk mempersoalkan kebebasan badan kehakiman, apa lagi membuat ugutan terhadap para hakim, apabila pemimpin mereka dijatuhkan hukuman. Akurlah dengan keputusan mahkamah.
Penghargaan kepada menteri-menteri dan kerajaan negeri Perikatan Nasional
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
75. Saya percaya Menteri-Menteri dan Kerajaan-Kerajaan Negeri di bawah Perikatan Nasional telah melakukan yang terbaik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara. Untuk itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan di atas pencapaian-pencapaian yang telah terhasil.
76. Saya telah rakamkan penghargaan dan tahniah kepada YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan MITI atas kejayaan menarik pelaburan ke Malaysia di awal ucapan saya tadi.
77. Seterusnya saya ingin rakamkan ucapan tahniah kepada YB Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, yang telah memberikan tumpuan sepenuh masa kepada usaha menjamin akses murid kepada pendidikan sepanjang tempoh pandemik menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), saluran Didik TV dan platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia. Cabaran selepas pandemik tentunya lebih hebat di mana murid-murid memerlukan suatu tempoh masa untuk catch-up dalam pembelajaran serta menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran secara hybrid atau pun bersemuka sepenuhnya. Walau apa pun cabarannya, pendidikan mestilah dijadikan fokus utama kerajaan dalam menyediakan modal insan yang berdaya saing yang boleh memacu pembangunan dan kemajuan negara di masa hadapan, lebih-lebih lagi dalam rangka kita untuk menstruktur semula ekonomi dalam era Industri 4.0 yang sememangnya memerlukan tenaga kerja yang berdaya saing, berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi.
78. Tahniah juga kepada YB Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, di atas kejayaan menggubal Undang-Undang Anti Gangguan Seksual, pelaksanaan Program Wanita Bangkit, Skuad WAJA, MyKasih Kapital, Kit Asas Kebersihan Wanita (Kit-Seri), Bantuan Khas Ibu Tunggal, Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita dan Penubuhan Majlis Wanita Negara. Perikatan Nasional memandang tinggi peranan wanita di dalam pembangunan negara dan prihatin akan kebajikan kaum wanita. Semoga dengan penggubalan undang-undang untuk melindungi hak wanita dan pelaksanaan program-program untuk memelihara kebajikan kaum wanita di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat pimpinan YB Datuk Seri Rina selaku Menteri telah membantu untuk memartabatkan kedudukan kaum wanita di negara ini.
79. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia dan Sukan atas pencapaian cemerlang atlet-atlet negara dalam beberapa temasya sukan di peringkat antarabangsa baru-baru ini. Saya berharap pembangunan sukan di Malaysia akan terus menyerlah di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal. Begitu juga dengan program-program kepimpinan belia dan latihan kemahiran untuk belia yang mesti diberikan tumpuan utama dalam usaha kita untuk menggilap bakat anak muda di negara ini sebagai penyumbang besar kepada pembangunan dan kemajuan negara di masa hadapan.
80. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Dalam Negeri, di atas kejayaan menggubal Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 dan pelanjutan tempoh kuatkuasa Sub-Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang telah diluluskan oleh Parlimen dalam sidang yang lalu. Saya memuji tindakan tegas pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri dalam mencegah jenayah dan memelihara keselamatan negara yang merupakan suatu elemen penting dalam memberikan rasa selamat kepada rakyat.
81. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air di atas usaha-usaha pihak kementerian untuk melestarikan alam sekitar di Malaysia. Secara khusus saya menghargai usaha-usaha yang dilaksanakan oleh KASA di bawah kepimpinan Datuk Tuan Ibrahim dalam membantu menyelesaikan masalah air di negeri Kelantan. Ini termasuk melaksanakan projek penggantian paip-paip lama dan meningkatkan kadar liputan bekalan air di Kelantan dengan peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) menerusi pelaksanaan empat projek Loji Rawatan Air (LRA) di negeri Kelantan.
82. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, yang telah berjaya menyelesaikan krisis bekalan bahan api untuk penjanaan elektrik negara dengan meningkatkan hubungan dan membuat perjanjian dengan Indonesia bagi pembekalan arang batu, memperkenalkan beberapa teknologi dan inisiatif terkini yang lebih mesra alam untuk penjanaan tenaga elektrik masa hadapan negara seperti turbin gas tersedia hidrogen, program peluasan solar tenaga hijau untuk kegunaan industri dan domestik, dan memperkenalkan polisi tidak membenarkan eksport tenaga boleh baharu (renewable energy) ke luar negara yang merupakan suatu dasar strategik untuk Malaysia menuju negara rendah karbon.
83. Saya juga mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan khususnya di atas usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kementerian untuk memastikan jaminan keselamatan makanan negara (food security) di Malaysia sentiasa berada di tahap yang terbaik menusi pelaksanaan Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan. Sektor pertanian adalah satu sektor yang amat penting kepada negara kita dan saya berharap MAFI di bawah kepimpinan Datuk Seri Ronald akan dapat terus memajukan sektor pertanian negara dengan penggunaan teknologi baharu yang dapat meningkatkan mutu dan produktiviti hasil pertanian.
84. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Haji Idris bin Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di atas usaha-usaha yang dilakukan untuk memartabatkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menyebarkan syiar Islam menerusi pelbagai program yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
85. Saya juga mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar, atas usaha-usaha yang dilakukan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara luar dan meningkatkan hubungan kerjasama multi-lateral khususnya dengan negara-negara serantau untuk memelihara kepentingan Malaysia dalam hubungan serantau dan antarabangsa. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Saifuddin yang telah menyuarakan pendirian tegas Malaysia berhubung konflik di Myanmar baru-baru ini.
86. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada YB Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di atas kejayaan menyediakan Rancangan Malaysia Ke-12, penubuhan myDigital Corporation dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, melancarkan National Oil and Gas Services and Equipment Industry Blueprint, menggubal Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan melaksanakan Pelan Pemulihan FELDA yang melibatkan penstrukturan semula kewangan FELDA melalui pemberian sukuk bernilai RM9.9 bilion dan penyelarasan hutang pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang memanfaatkan 112, 638 orang peneroka. Ini adalah antara sumbangan besar Kerajaan Perikatan Nasional kepada FELDA dan peneroka FELDA di seluruh negara.
87. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada YB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) khususnya di atas usaha-usaha yang telah dilakukan dalam pengurusan bencana negara dan penyaluran bantuan kepada mereka yang terjejas.
88. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yaakob di atas kejayaan Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan 82 peratus daripada akujanji di dalam Manifesto PRU-14 sehingga bulan Mei 2022. Ini adalah suatu pencapaian yang membarangsangkan dan boleh dikatakan on-track kerana ianya dicapai dalam tempoh 4 tahun daripada keseluruhan 5 tahun tempoh penggal pilihan raya. Saya percaya dalam tempoh masa yang masih berbaki, Kerajaan Negeri Kelantan akan berjaya melaksanakan 100% janji di dalam manifesto, insyaAllah.
89. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Datuk Seri Dr Samsuri Ahmad, Menteri Besar Terengganu, di atas kejayaan Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan dasar dan inisiatif prihatin rakyat termasuk menyediakan tapak rumah atau rumah untuk rakyat negeri Terengganu yang layak. Saya dimaklumkan sebanyak 18,124 lot tanah telah diluluskan di bawah Rancangan Tanah Berkelompok Tapak Rumah, menyediakan wad kelas 3 secara percuma di 6 buah hospital kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM4.2 juta, menyediakan bantuan lesen motosikal bernilai RM300 untuk belia berumur 16-40 tahun, mewujudkan 16,000 peluang pekerjaan baharu sehingga bulan Jun 2022, memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat untuk membantu golongan B40 membina rumah di atas tanah sendiri, dan menyediakan kad sejahtera dengan nilai bantuan RM500 setahun kepada 18,991 orang penerima untuk mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
90. Ketika saya jadi Perdana Menteri dulu, Datuk Seri Dr Samsuri datang berjumpa saya. Beliau kata di zaman PH bayaran tunai Petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu dipotong 25% dan bayarannya selalu lewat. Saya buat keputusan setuju bayaran tunai petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu dibayar 100% tanpa ada potongan. Ini juga adalah antara sumbangan besar Kerajaan Perikatan Nasional kepada rakyat Negeri Terengganu.
91. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, yang telah berjaya mentadbir negeri Kedah dengan baik sejak peralihan kepimpinan kerajaan negeri pada tahun 2020 yang lalu. Kejayaan mentadbir negeri Kedah dengan cekap ini terbukti apabila Kedah berjaya mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM20 bilion pada suku kedua tahun ini yang saya diberitahu merupakan angka tertinggi di Malaysia setakat ini. Kejayaan ini pastinya akan dapat membantu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu kepada rakyat di negeri Kedah dan meningkatkan hasil negeri yang boleh disalurkan kepada rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif prihatin rakyat.
92. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Datuk Seri Panglima Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah di atas kejayaan meningkatkan kutipan hasil negeri Sabah sebanyak RM5.4 bilion pada tahun 2021. Ini adalah kali pertama dalam sejarah Sabah sejak merdeka dan membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, hasil negeri Sabah melepasi paras RM5 bilion.
93. Saya masih ingat kali pertama saya mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah melalui sidang maya. Antara permintaan beliau kepada saya selaku Perdana Menteri pada waktu itu ialah supaya Petronas menunaikan sepenuhnya tanggungjawab membayar Cukai Jualan Negeri, iaitu cukai yang baharu diperkenalkan oleh negeri Sabah untuk produk berasaskan minyak dan gas. Saya usahakan sebaiknya permintaan tersebut dan Alhamdulillah, saya gembira bila mendapat laporan bahawa Cukai Jualan Negeri yang dibayar oleh Petronas adalah antara penyumbang utama peningkatan hasil Negeri Sabah bagi tahun 2021.
94. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan Negeri Sabah kerana dengan peningkatan hasil tersebut, Kerajaan Negeri sabah telah dapat melaksanakan inisiatif prihatin rakyat seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ). Di bawah inisiatif ini, Kerajaan Negeri Sabah akan menyediakan 1,500 Rumah Mesra SMJ setiap tahun untuk rakyat dalam kategori miskin dengan anggaran kos RM125 juta setiap tahun.
95. Semua pencapaian ini membuktikan bahawa Perikatan Nasional mampu untuk mentadbir negara dan negeri dengan baik dan cemerlang sekiranya diberikan mandat oleh rakyat dalam PRU-15 nanti, insyaAllah.
Perpaduan di dalam PN dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
96. Kekuatan sesebuah parti politik terletak pada perpaduan dalam kalangan ahli-ahli. Sebagai parti gabungan yang menggabungkan parti-parti politik, kekuatan Perikatan Nasional terletak pada perpaduan dalam kalangan parti-parti anggota, iaitu BERSATU, PAS, GERAKAN, SAPP dan STAR Sabah.
97. Perpaduan ini hendaklah dibina di atas perkongsian prinsip perjuangan yang sama dan rasa saling hormat menghormati antara parti-parti anggota. Di dalam Perikatan Nasional, tidak ada parti abang besar atau parti adik kecil. Semuanya adalah sama dan menerima layanan sama rata. Apa-apa keputusan yang hendak dibuat juga mesti melalui proses musyawarah di dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang mana setiap parti mempunyai wakil di dalamnya. Semua bebas untuk bersuara dan memberikan pandangan. Tidak ada mana-mana parti yang boleh memaksa pandangannya diterima oleh parti-parti lain.
98. Saya percaya Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan parti-parti politik yang diasaskan atas perkongsian prinsip perjuangan yang sama dan dibina atas semangat saling hormat-menghormati serta layanan sama rata antara parti-parti anggota, akan menjadi sebuah gabungan politik yang mantap, kukuh dan utuh. Apa lagi jika pemimpin dan ahli-ahlinya bersatu hati dan berganding bahu bersama-sama untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara.
99. Tujuan sebuah parti politik ditubuhkan tentulah untuk menyertai pilihan raya dan membentuk kerajaan. Kita tahu bahawa pilihan raya umum ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada tahun hadapan, walaupun kita dengar ura-ura berkemungkinan ianya diadakan dalam masa terdekat. Semasa kita berhimpunan di sini, pihak di sebelah sana juga berhimpun. Dengar katanya nak desak Perdana Menteri supaya bubar Parlimen lebih awal.
100. Kalau mengikut perjanjian antara Perikatan Nasional dan Perdana Menteri yang saya dan Perdana Menteri tandatangan, bila Perdana Menteri nak tentukan tarikh pilihan raya, beliau kena runding dengan kita dulu kerana kita juga adalah sebahagian daripada kerajaan. Tak tahu lah saya samada Perdana Menteri masih ingat adanya perjanjian itu.
101. Walau apa pun, kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Kalau ikut adat kebiasaannya pun, kita telah masuk ke tahun terakhir bagi penggal pilihan raya ini. Jadi kalau esok Perdana Menteri menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang!
102. Saya baca kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional. Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini bukan tahun depan. Kalau tunggu tahun depan, Barisan Nasional mungkin akan kalah. Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka tu taklah kuat sangat.
103. Kita juga dapat laporan bahawa kepercayaan rakyat terhadap BN makin merosot. Apatah lagi tujuan desakan supaya pilihan raya diadakan lebih awal adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu daripada hukuman mahkamah. Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Jadi samada pilihan raya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja. Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itu lah tujuan kita berada di dalam wadah Perikatan Nasional.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
104. Sudah tiba masanya untuk kita memalu gendang perang dan mempersiapkan bala tentera kita dengan segala kekuatan bagi melawan musuh. Yang penting dalam peperangan ini ialah wahdah – iaitu kesatuan antara kita.
105. Apabila kita mempunyai kesatuan baik dalam pemikiran, tindakan dan tujuan kita, maka mudah lah kita mengatur gerakerja bagi memenangi pilihan raya. Kita telah tunjukkan kesatuan ini di dalam pilihan raya negeri Sabah, Melaka dan Johor. Walaupun keputusan pilihan raya negeri Melaka dan Johor tidak memihak kepada kita, tetapi kita telah memperolehi peningkatan sokongan yang ketara daripada pengundi dan gerakerja kita semakin tersusun dan lancar.
106. Marilah kita bersama-sama perbaiki prestasi kita. Marilah kita semarakkan bara perjuangan Perikatan Nasional untuk memikat hati rakyat supaya bersama-sama kita untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih prihatin rakyat, berintegriti dan bersih daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
107. Marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah s.w.t. semoga perjuangan kita ini diberkati dan dirahmati oleh-Nya dan semua kerja kebaikan kita diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t.
108. Sempena bulan kemerdekaan ini, saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-65 kepada semua hadirin dan seluruh rakyat Malaysia.
109. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen Perikatan Nasional 2022 dan sambutan Ulang Tahun Perikatan Nasional Kedua.
Perikatan….Nasional!
Perikatan….Nasional!
Perikatan….Nasional!
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi Perikatan Nasional
Presiden Bersatu
27 Ogos 2022